Pengasuhan Positif

COVID-19: Hikmah di Sebalik Ujian

Ada pengajaran daripada setiap pengalaman, walaupun yang sukar.

Wabak COVID-19 telah memberikan kesan besar ke atas ketamadunan manusia dan menghentikan perjalanan hidup kita yang normal. Pada bulan September, jumlah kematian seluruh dunia akibat COVID-19 telah mencecah lebih 1 juta orang. Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), sebagai perbandingan, sejumlah 8,098 orang di seluruh dunia telah jatuh sakit semasa penularan wabak SARS pada tahun 2003. Ini amat mengejutkan, kerana walaupun dua dekad telah berlalu sejak SARS, ditambah dengan kemajuan dalam bidang teknologi dan kesihatan, COVID-19 masih dapat mencetuskan huru-hara di seluruh dunia, sehingga negara-negara maju juga turut terjejas teruk.

Di Malaysia, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah bermula pada 18 Mac, apabila sekolah, pejabat dan perniagaan diarahkan tutup segera. Ini merupakan satu strategi kesihatan awam, yang turut diambil oleh negara-negara lain, dalam usaha untuk “mendatarkan keluk” atau memperlahankan penyebaran COVID-19 yang sedang mengancam nyawa. Hanya sektor penting dibenarkan beroperasi ketika itu, dan orang ramai diarahkan duduk di rumah.

Hampir dua bulan kemudian, pada 4 Mei, Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat pula dikeluarkan dan beberapa peraturan telah dilonggarkan. Namun, kesan situasi ini amatlah besar: perniagaan menjadi bankrup, pekerja dibuang kerja, pendapatan berkurangan, keluarga terpisah daripada orang tersayang dan kanak-kanak terpaksa meneruskan pembelajaran secara maya.

Walaupun terdapat pelbagai berita buruk, para pakar juga bersetuju bahawa masih terdapat hikmah di sebalik ujian koronavirus ini – orang mula menghargai semula perkara-perkara kecil yang membahagiakan dalam hidup yang sering kita terlepas pandang – seperti keseronokan memasak dan makan bersama di rumah, berkebun dan kehidupan lestari, serta bergembira bersama keluarga dengan menyanyi, bermain dan bersenam! Perbuatan semudah membasuh tangan dan mengamalkan kebersihan juga sering ditekankan, dan dalam jangka masa panjang, ini bermanfaat untuk semua. Kereta juga berkurangan di atas jalan, membuatkan alam sekitar lebih bersih.

Datuk Dr Zulkifli Ismail, Pengerusi Program Pengasuhan Positif, memberitahu pengurangan kenderaan di jalan raya telah
mengurangkan pencemaran udara, dan kerana kilang yang membuang sisa juga kurang beroperasi, sungai kita makin bersih.

“COVID-19 secara ironinya bagus untuk set semula hidup kita! Kita perlu hidup dengan lumrah baru sekarang,” kata Dr Zulkifli, lalu menambah bahawa pandemik ini juga memberi peluang untuk kanak-kanak belajar tentang jangkitan dan virus. “Kerana PKP, kanak-kanak dapat meluangkan masa berkualiti dan secukupnya dengan ibu bapa, dan cara pengasuhan ini mempunyai kesan berpanjangan.”

Apabila terkurung di rumah lebih daripada dua bulan, ibu bapa harus mencari cara untuk memanfaatkan tempoh PKP, dengan meluangkan masa melakukan aktiviti keluarga, malah beribadat bersama- sama dengan lebih kerap. Dr Zulkifli berkata: “Menyedari bahawa ada musuh halus yang tak diketahui, yang boleh menjangkiti dan membunuh pada bila-bila masa, ramai orang mula menekankan aspek kerohanian agar keluarga kekal tenteram. Ini antara perubahan positif yang boleh kita saksikan.” Tambah beliau, “Apabila keluarga perlu meluangkan masa bersama dan terpaksa saling berhadapan, mereka mula berbual dengan satu sama lain.”

Komuniti juga mula berganding bahu melawan virus itu – kita boleh lihat tukang jahit dan suri rumah menjahit pakaian perlindungan, para tukang dan jurutera membina alatan perubatan, pekerja sosial dan aktivis memasak dan memberi makan golongan terpinggir dan memerlukan, dan semua orang mula menyatakan sokongan dan berterima kasih kepada pekerja barisan hadapan dan wira-wira perubatan yang merisikokan nyawa mereka untuk menjaga para pesakit.

Pandangan baharu

Pakar perunding perkembangan kanak-kanak, Dr Rajini Sarvananthan, juga bersetuju bahawa bagi kebanyakan keluarga, hidup di rumah lebih bermakna. “Bagi saya sendiri, PKP membolehkan kami meluangkan masa bersama keluarga. Malah,

ini Hari Ibu pertama dalam lima tahun disambut bersama ketiga-tiga anak saya di rumah! Dengan ketiadaan pembantu rumah, anak-anak saya juga bekerjasama membantu mengemas rumah dan memasak.”

Selain itu, Dr Rajini berkata PKP membuatkan ramai ibu bapa merenung semula peranan mereka.

“Anak-anak telah kekurangan masa bersama ibu bapa kerana tanggungjawab kerja, kesesakan lalu-lintas, kelas-kelas tambahan dan aktiviti sukan. Ibu bapa terpaksa mengupah perkhidmatan luar untuk mengasuh, mendidik dan menjaga anak mereka,” kata beliau. “Namun, tempoh berkurung di rumah ini membolehkan kita berhubung semula dengan anak dan membentuk ikatan lebih kuat.”

Jelas beliau, ibu bapa berpeluang untuk mengenalpasti kelebihan dan kelemahan anak mereka yang tidak diketahui sebelum ini, dan masa tambahan bersama-sama juga membolehkan mereka memupuk kemahiran adaptif sambil membuat kerja rumah.

“Hanya dengan membuat aktiviti bersama-sama di rumah, adik-beradik belajar untuk berkongsi, menunggu, mengambil giliran, bertolak-ansur, bekerjasama dan berkongsi idea. Perbalahan juga boleh jadi bermanfaat kerana ia juga satu bentuk perbincangan!”

Dr Rajini turut berkongsi beberapa contoh perkembangan sihat yang berlaku ketika tempoh ini. “Sebelum PKP, tiga kanak-kanak berumur antara 18-24 bulan dengan kemahiran perhubungan sosial yang lemah hadir ke klinik saya. Ketiga-tiganya dijaga oleh pengasuh yang memasang TV sepanjang masa, dan seorang kanak-kanak mempunyai dua iPad – satu di rumah dan satu di tempat asuhan. Ketika PKP, dua daripada mereka dapat mengurangkan masa skrin dan meningkatkan masa bermain, dan perkembangannya dilihat dalam masa enam minggu saja! Kami akan terus memantau perkembangan mereka,” kongsi Dr Rajini. “Seorang lagi ibu menghantar emel kepada saya bahawa dia berjaya melatih anak istimewanya yang berumur lima tahun untuk ke tandas – selepas 18 bulan mencuba!”

Memasak dengan cinta

Satu lagi perubahan positif yang boleh dilihat dalam beberapa bulan ini adalah lebih ramai orang mula memasak dan makan di rumah, serta berkebun. Pakar pemakanan dan Presiden Persatuan Pemakanan Malaysia, Dr Tee E Siong, gembira melihat perkara ini.

“Terutamanya ketika ini, amat penting untuk anda terus mengambil hidangan buah dan sayur secukupnya, kerana kandungannya yang kaya dengan fitonutrien, vitamin dan mineral boleh bertindak sebagai antioksidan untuk menyokong sistem imun anda. Anda perlu kuat untuk melawan virus itu,” kata Dr Tee sambil menekankan kepentingan pemakanan sihat. “Ini masa terbaik untuk mengubah tabiat makan dan mengamalkan corak pemakanan lebih sihat. Saya harap semua keluarga boleh teruskan memasak dan makan di rumah kerana pemakanan sihat tidak hanya terhad untuk melawan COVID-19.”

Jika anda mengikuti media sosial, anda pasti melihat bagaimana para ibu bapa dan anak-anak saling berkongsi resepi dan gambar masakan mereka. Nampaknya dalam sekelip mata ramai telah menjadi chef, malah ada yang boleh membuat roti sendiri! Dr Tee berharap semua keluarga akan terus mengamalkan cara masakan dan pemakanan sihat untuk jangka masa panjang. Apabila anda memasak di rumah, anda boleh mengawal bahan masakan anda sepenuhnya.

“Dan jika anda terus berlatih, anda boleh mengasah bakat memasak anda dan membuat keluarga anda bangga! Apabila semuanya kembali normal, jadikan memasak hidangan sihat sebahagian daripada cara hidup anda. Ini satu pelaburan agar anda dan keluarga anda dapat melawan penyakit kronik lain yang disebabkan oleh pemakanan kurang sihat, seperti penyakit jantung, kencing manis dan kanser.”

Ikatan keluarga

Meluangkan masa di rumah juga memberi perspektif baharu kepada suami isteri mengenai apa yang pasangan mereka perlu hadapi di rumah atau di tempat kerja.

Dalam satu temu bual bersama Pengasuhan Positif, Abdul Hadi Kassim, 31, daripada Cyberjaya berkongsi bahawa bekerja di samping keluarganya merupakan satu pengalaman menarik. Eksekutif projek tersebut berkata: “Ia sememangnya mencabar. Tapi pasangan saya sangat memahami dan semua urusan berjalan lancar. Sebagai suami, saya juga kini dapat menghargai betapa sukar dan mencabarnya bagi isteri saya sebagai seorang suri rumah untuk menguruskan keperluan seluruh keluarga sepanjang hari. Semua suri rumah di luar sana layak mendapat penghargaan sewajarnya. Ia satu tugas yang mulia.”

Menurut pakar psikologi kelakuan, Alexius Cheang, sesiapa yang melihat bagaimana pasangannya menguruskan rumah tangga berserta anak-anak pasti akan membuka matanya jika dia tidak menyedari tahap kerja yang diperlukan dalam tugas ini sebelum ini.

Selain itu, ramai ibu bapa terpaksa bergilir-gilir antara menghadiri mesyuarat dalam talian dan tugas membasuh baju dan memasak, kemudian menolong anak-anak dengan kerja rumah, serta kerja tambahan seperti memotong rambut ketika duduk di rumah. Pelbagai meme dan kisah lucu di internet membuktikan situasi ini, dan ia boleh jadi mencabar tanpa sokongan pasangan. Beliau gembira melihat para ibu bapa saling bantu-membantu, berkongsi tanggungjawab serta membincangkan jangkaan masing-masing. Semua orang di rumah terpaksa menyesuaikan diri dengan lumrah baharu. Perkongsian terbaik akan terhasil apabila adanya komunikasi terbuka serta rasa hormat terhadap peranan masing-masing dalam hubungan.

Apabila kedua-dua ibu bapa berada di rumah, ahli keluarga mula menikmati banyak peluang untuk saling berinteraksi – menyanyi, menari, bersenam dan membuat video Tik Tok. Alexius percaya sepenuhnya bahawa keluarga yang bermain bersama akan kekal bersama.

“Kenyataan ini disokong oleh kajian yang menyatakan bahawa semakin kerap ahli keluarga melakukan kegiatan yang menyeronokkan bersama, semakin tinggi kepuasan dan keakraban dalam keluarga. Malah, mana-mana kegiatan yang menggalakkan hubungan kekeluargaan seperti bermain permainan papan boleh  meningkatkan perhatian, kemahiran mendengar dan tumpuan masing-masing,” kata beliau. “PKP merupakan peluang terbaik untuk mengukuhkan ikatan antara ibu bapa dan anak-anak. Ibu bapa boleh mengenalpasti kegiatan apa yang membuatkan anak-anak fokus dan apa yang memberi mereka motivasi. Anak-anak pula boleh melihat apa yang ibu bapa mereka lakukan semasa bekerja. Selain daripada kerja dan belajar, terdapat banyak peluang untuk berinteraksi dan lebih mengenali satu sama lain.”

Hidup dalam kesyukuran

Salah satu cara untuk kekal sihat adalah dengan sentiasa bersyukur. Bersyukur bukan saja penting untuk kesihatan mental anda semasa krisis, tetapi juga boleh menyokong kesihatan fizikal anda. Ini beberapa cara untuk anda bermula:

  1. Ingat semula perkara baik yang telah terjadi dalam hidup anda, tak kira betapa kecil atau remeh – buat satu senarai!
  2. Nikmati pengalaman positif tersebut, tak kira apa perkara negatif dalam hidup anda.
  3. Lakukan ini dengan kerap dan berterusan sehingga menjadi tabiat, dan kelak anda boleh mengenal pasti perkara baik dalam hidup walaupun ada perkara buruk yang terjadi.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen