Pengasuhan Positif

Bahaya Batuk dan Bersin

Ketika pandemik COVID-19, kita telah diberitahu bagaimana penyakit tersebut tersebar melalui titisan pernafasan, terutamanya dengan batuk dan bersin. Banyak penyakit lain, seperti influenza, juga tersebar seperti ini. Bagaimana kita boleh menghalang jangkitan melalui titisan?

Kuman seperti virus, bakteria, kulat dan parasit merupakan punca bagi pelbagai penyakit berjangkit. Satu cara untuk mengkategorikan penyakit adalah dengan cara ia tersebar. Penyakit ini boleh berjangkit secara langsung atau tidak daripada sumber asal kuman (sama ada organisma atau persekitaran) kepada manusia.

Cara-cara jangkitan

  • Titisan pernafasan
  • Udara
  • Tinja-oral
  • Seks
  • Vektor
  • Darah
  • Permukaan tercemar
  • Makanan dan minuman tercemar
  • Haiwan ke manusia
  • Ibu ke anak

Jangkitan titisan pernafasan

Virus seperti influenza, rinovirus, virus sinsitium pernafasan (RSV) dan koronavirus tersebar melalui jangkitan titisan pernafasan, iaitu partikel yang terdiri daripada air, serta pelbagai sel, elektrolit tubuh, serta ejen jangkitan jika ada. Diameter titisan ini lebih besar daripada 5 mikrometer (μm; 1000μm = 1mm) (diameter sehelai rambut orang Asia ialah 80-120μm). Titisan ini akan jatuh dengan pantas ke bawah kerana tarikan graviti, dan ini mengehadkan penyebarannya.

Titisan pernafasan terhasil secara semula jadi apabila kita bersin, batuk, bercakap, menyanyi atau bernafas. Ia juga boleh terhasil ketika prosedur perubatan seperti resusitasi kardiopulmonari (CPR), intubasi, bronkoskopi dan pembedahan. Jangkitan berlaku apabila titisan itu terkena permukaan mukus yang terdedah (mata, hidung atau mulut).

Bersin dan batuk merupakan cara jangkitan utama. Bersin boleh menghasilkan sehingga 40,000 titisan; batuk pula sehingga 3000 titisan dan ini sama seperti bercakap selama 5 minit!

Jangkitan titisan atau udara?

Faktor penyebaran & ketahanan

Kandungan titisan bergantung pada lokasi asalnya dalam salur pernafasan. Pembentukan dan penyebaran titisan ditentukan oleh pelbagai faktor seperti kelajuan hembusan udara, kelikatan, kandungan dan kuantiti cecair, serta laluan keluar (melalui hidung, mulut atau kedua-duanya). Arah dan kekuatan aliran udara, suhu, kelembapan dan faktor persekitaran lain juga memainkan peranan penting.

Jangkitan secara tidak langsung mungkin berlaku melalui sentuhan dengan objek atau permukaan tercemar. Secara umumnya, virus bertahan lebih lama di atas permukaan keras berbanding permukaan poros. Virus yang dilindungi lapisan lemak (cth: influenza, RSV, koronavirus) lebih stabil dalam keadaaan kering, manakala virus tanpa lapisan perlindungan (cth: rinovirus, enterovirus, adenovirus) pula lebih stabil dalam keadaan lembap. Virus juga lebih stabil dalam suhu udara rendah.

Mencegah jangkitan titisan

  • Etika batuk/bersin. Tutup mulut dengan tisu atau pada lengan apabila batuk atau bersin, kemudian buang tisu dengan cermat dan basuh tangan segera. Seboleh-bolehnya duduk di rumah saja; pakai pelitup muka jika perlu keluar.
  • Penjarakan sosial (atau fizikal). Ini bergantung kepada skala wabak. Jika ia satu epidemik, anda perlu jauhi tempat sesak, jarakkan diri 1-2 m daripada orang lain di tempat awam dan elakkan bersentuhan, bersalaman atau berpelukan. Duduk di rumah ialah cara paling mudah!
  • Amalkan kebersihan. Basuh tangan dengan sabun atau pencuci tangan secara kerap dan teliti, terutamanya sebelum dan selepas memasak dan makan, dan selepas menggunakan tandas. Elakkan daripada menyentuh mata, hidung dan mulut. Bersihkan objek/ permukaan yang sering disentuh.
  • Vaksinasi. Sesetengah penyakit berjangkit boleh dicegah dengan vaksinasi. Sebagai contoh, vaksin flu digalakkan untuk diambil setiap tahun kerana strain virus flu yang berbeza akan menular pada setiap musim flu dan keimunan juga boleh menurun. Penyelidikan tentang vaksin COVID-19 masih lagi sedang berjalan.

Krisis COVID-19 merupakan satu pengalaman yang berat bagi kita semua. Lebih sejuta kematian telah dicatatkan dan berpuluh juta orang telah dijangkiti. Kini, kita perlu meneruskan amalan kelaziman baharu seperti membasuh tangan dengan kerap dan etika batuk/bersin untuk mencegah gelombang seterusnya dan penularan wabak lain di masa hadapan.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen