Pengasuhan Positif

Lindungi Si Manja Anda

Bayi dan kanak-kanak bawah lima tahun terdedah kepada penyakit berjangkit kerana sistem imun mereka belum berkembang sepenuhnya. Sistem imun anak anda perlu diberi sokongan untuk melindunginya daripada penyakit apabila dia bersedia untuk meneroka dunia di luar sana.

Bayi menerima antibodi daripada ibu (melalui plasenta, dan kemudiannya susu ibu). Bagaimanapun, mereka masih berhadapan dengan risiko jangkitan yang lebih tinggi kerana antibodi sementara daripada ibu ini tidak berupaya memberikan perlindungan sepenuhnya dan cuma bertahan selama sembilan bulan.

Semakin bayi anda membesar dan matang, sistem imunnya akan semakin kuat, tapi dia juga perlu menerima perlindungan tambahan dalam bentuk vaksinasi untuk mencegah penyakit berbahaya yang boleh melemahkan sistem imun yang belum bersedia.

Penyakit yang boleh dicegah vaksin

Tidak menghairankan jika kanak-kanak jatuh sakit, kerana kebanyakan mereka biasanya akan sakit beberapa kali setahun, sama ada terkena selesema, jangkitan telinga, dll. Selain itu, memasukkan benda ke dalam mulut adalah sebahagian daripada proses perkembangan bayi, dan kelakuan yang tidak dapat dielakkan ini meningkatkan risiko jangkitan. Mereka terdedah kepada kuman dalam persekitaran, pembawa (orang yang menghidap penyakit tapi tidak menunjukkan gejala, juga dipanggil individu asimptomatik atau prasimptomatik) dan objek/mainan/permukaan yang tercemar.

Berikut merupakan beberapa penyakit kanak-kanak yang boleh dicegah vaksin:

Difteria: Bakteria ini menghasilkan toksin yang masuk ke dalam darah dan boleh merosakkan jantung, buah pinggang dan sistem saraf. Jika saluran pernafasan terjejas teruk, pernafasan kanak-kanak mungkin terhalang dan mengakibatkan maut.

Tetanus: Boleh menyebabkan kekejangan otot yang teruk sehingga patah tulang. Juga boleh menjejaskan peti suara, menyebabkan kesukaran bernafas dan ritma jantung tidak normal, yang lebih teruk bagi kanak-kanak kecil.

Pertusis (batuk kokol): Bayi (<6 bulan) mungkin tidak batuk tapi sukar bernafas, membuatkan mereka menahan nafas dan bertukar kebiruan. Bukan semua kanak-kanak akan mengeluarkan bunyi ‘berdesis’ – jumpalah doktor jika batuk/selesema berpanjangan.

Hepatitis B: Jangkitan melebihi 6 bulan akan menyebabkan masalah hati kronik, termasuklah kegagalan hati. Ia juga boleh menyebabkan kanser hati.

Polio: Polio bukan paralitik menyebabkan kesakitan dan/atau kekejangan otot di bahagian leher dan tulang belakang. Polio paralitik boleh melumpuhkan sesetengah jenis otot, seperti otot untuk bernafas dan otot kaki. Sindrom pascapolio berlaku bertahun-tahun selepas pulih. Otot yang terjejas dahulu akan menjadi lemah sedikit demi sedikit.

Hib (Haemophilus influenza Jenis B): Antara komplikasi yang mungkin berlaku ialah meningitis, yang boleh mengakibatkan kerosakan otak.

Campak: Komplikasi biasa ialah jangkitan telinga yang menyebabkan kehilangan pendengaran kekal. Antara komplikasi jangka panjang ialah subacute sclerosing panencephalitis (SSPE). Ia berkembang dengan perlahan tapi boleh merosakkan otak.

Beguk: Komplikasi termasuklah:

  • Keradangan testikel (orkitis) atau ovari (ooforitis).
  • Orkitis boleh menyakitkan dan mengecilkan saiz testikel tapi jarang menjadi punca ketidaksuburan.
  • Ensefalitis dan meningitis (keradangan lapisan selaput otak dan saraf tunjang).

Rubela: Jarang menyebabkan masalah serius dalam kanak-kanak. Wanita mengandung yang dijangkiti di awal kandungan berdepan dengan 1 per 5 kemungkinan masalah, seperti keguguran dan kecacatan serius semasa lahir.

Penyakit-penyakit ini sudah jarang berlaku hari ini kerana vaksin penyakit ini telah lama dimasukkan dalam Program Imunisasi Kebangsaan. Namun, ia masih menjadi satu masalah. Malangnya, terdapat ibu bapa yang enggan memberikan vaksin kepada anak mereka dan ini menyebabkan penularan wabak dalam skala kecil dari masa ke masa. Bergantung kepada imuniti kelompok sahaja tidak mencukupi kerana anak anda boleh terdedah kepada penyakit ini (melalui pembawa atau pesakit) pada bila-bila masa.

Vaksinasi pilihan terbaik

Untuk mencegah penyakit dan komplikasinya, perlindungan adalah penting. Berbincanglah dengan pakar pediatrik untuk mengetahui mengapa vaksinasi tidak boleh ditangguhkan atau bagaimana anda boleh memberi vaksin kepada anak anda untuk melindunginya daripada penyakit-penyakit berjangkit ini.

Ingatlah, vaksinasi menyelamatkan nyawa. Walaupun tidak menjamin keimunan sepenuhnya daripada penyakit tersebut, vaksinasi akan mengurangkan penderitaan anak anda jika dijangkiti. Ini jauh berbeza dengan kanak-kanak yang tidak divaksin yang akan menderita dan mungkin diancam maut. Kita hendaklah sekurang-kurangnya cuba untuk melindungi anak kita dan mencegah penyakit daripada berlaku, serta cuba mengurangkan risiko jangkitan sebaik mungkin.

Berita palsu! Dakwaan bahawa SSPE disebabkan oleh vaksin campak adalah palsu. SSPE disebabkan oleh penyakit campak, bukan vaksin. Kajian menunjukkan bahawa vaksin campak mencegah penyakit campak, oleh itu ia juga mencegah SSPE.

Sumbangan daripada Persatuan Pediatrik Malaysian.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen