Kita semua tahu bahawa secara amnya kebersihan diri amat penting untuk mencegah kebanyakan penyakit. Namun, bagi jangkitan rotavirus, kebersihan diri sahaja mungkin tidak memadai.
Pencemaran rotavirus boleh berlaku dengan mudah – hanya seorang pembawa rotavirus diperlukan untuk menyebarkannya kepada orang lain dalam lingkungan sosialnya. Satu kajian di pusat jagaan kanak-kanak mendapati sampel rotavirus hidup pada hari ketiga di atas permukaan yang sering disentuh berdekatan ruang memakai lampin (seperti sinki, penutup bakul sampah dan pemegang peti sejuk) dan juga di atas tangan penjaga. Persekitaran rumah juga berisiko kerana rotavirus adalah sangat kebal serta boleh tahan dengan bahan pencuci biasa.
Bersih, tapi tak cukup bersih
Membasuh tangan dengan sabun dan air seperti biasa adalah kurang berkesan terhadap rotavirus. Penggunaan pencuci tangan berasaskan alkohol diperlukan untuk situasi ini. Malangnya, ini bukanlah amalan mencuci tangan yang biasa, jadi pencemaran boleh berlaku melalui sentuhan objek/ permukaan, seperti suis lampu, tombol pintu, telefon bimbit, alat kawalan tv, kunci, cawan, sudu garpu, pinggan mangkuk dan sebagainya.
Ini memudahkan penyebaran rotavirus kepada orang lain. Lebih teruk lagi, rotavirus berupaya bertahan lama pada permukaan kering sehingga dua bulan! Bayi dan kanak-kanak lebih terdedah kerana mereka sering memasukkan tangan/jari dan objek lain ke dalam mulut. Sistem imun mereka juga masih belum matang, jadi mereka akan terkesan dengan lebih serius akibat jangkitan rotavirus.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia menganggarkan bahawa rotavirus menyebabkan lebih 215,000 kematian kanak-kanak bawah 5 tahun pada 2013. Rotavirus juga pernah menular di Malaysia, dengan penularan terbaru di Sabah pada tahun lepas.
Gejala yang tidak jelas
Tanda dan gejala utama rotavirus termasuklah cirit-birit teruk, muntah, demam dan sakit perut. Gejala-gejala ini juga boleh muncul dalam penyakit lain, jadi ibu bapa mungkin tidak akan menyangka bahawa ia adalah penyakit rotavirus.
Dehidrasi boleh membawa maut
Cirit-birit dan/atau muntah yang teruk boleh mengakibatkan dehidrasi di kalangan bayi dan kanak-kanak kecil serta memerlukan rawatan intravena di hospital. Dehidrasi teruk boleh mengancam nyawa, jadi jangan berlengah-lengah untuk mendapatkan rawatan.
Kelewatan mendiagnosis rotavirus akan memberi lebih masa untuk rotavirus tersebar dan mencemari rumah kerana pencegahan awal tidak diambil sewajarnya. Ahli keluarga lain di rumah berhadapan risiko jangkitan melalui objek/permukaan tercemar. Tetamu juga berisiko untuk membawa pulang virus itu ke rumah dan menjangkiti anak mereka tanpa disedari.
Bagaimana pencemaran boleh berlaku
- Bayi anda cirit-birit dan terkena lampinnya. Ia mungkin bocor, lalu mencemari pakaian, tilam dan/ atau mainan.
- Tangan anda terkena virus apabila memegang lampinnya. Jika tidak dibasuh, anda akan menyebabkan lebih banyak penyebaran pencemaran, contohnya pada bakul baju, mesin basuh, dll.
- Pakaian, tilam atau mainan yang tercemar dan tidak dibersihkan dengan baik juga menjadi sumber pencemaran dan/atau jangkitan yang seterusnya.
- Ini mengakibatkan kes cirit-birit “tanpa sebab” yang kerap, lalu kitaran jangkitan akan terus berulang.
Bagaimana cara menghentikan pencemaran?
Tangan: Selain membasuh tangan dengan sabun dan air, gunakan pencuci tangan berasaskan alkohol dengan segera selepas menyentuh barang yang terdedah pada cirit-birit (lampin, pakaian kotor, dll.)
Barang tercemar: Basuh secara berasingan dan uruskannya dengan cermat. Tambah larutan peluntur klorin pada cucian dan pakai sarung tangan getah jika membasuh menggunakan tangan. Basuh/nyahjangkit sarung tangan selepas digunakan.
Permukaan yang mungkin tercemar: Gunakan disinfektan berasaskan klorin (seperti peluntur klorin) untuk membersih permukaan sepenuhnya. Bancuh mengikut arahan di label dan lap permukaan dengan teliti (agar kuman dan virus dibunuh sepenuhnya). Buka laluan udara semasa/selepas mengelap agar tidak menghidu wasap berlebihan.
Lindungi katil: Guna sarung tilam untuk mengelakkan najis lampin meresap ke dalam tilam. Basuh sarung tilam yang tercemar dengan larutan peluntur klorin. Sarung tilam yang amat tercemar lebih baik dibuang dengan cermat agar tidak mengotorkan barang lain.
Nota: Peluntur klorin tidak sesuai untuk sesetengah bahan (bulu biri-biri, sutera, dll.) dan boleh merosakkan fabrik berwarna.
Memahami cara untuk mengelak penyebaran rotavirus adalah penting, namun sebagaimana penyakit lain, mencegah penyakit itu sendiri lebih baik. Anda boleh berikan anak anda vaksin rotavirus seawal umur 2 bulan, jadi rujuklah pakar pediatrik sekiranya dia belum divaksin.
Sumbangan daripada Persatuan Pediatrik Malaysian.
Komen