Pengasuhan Positif

Remaja yang Mencederakan Diri Sendiri

Ibu Tina risau. Sudah 5 jam Tina* tidak keluar dari biliknya dan terlepas waktu makan malam. Pada pukul 9 malam, kawan baiknya menghubungi ibu Tina dan berkata Tina telah memuat naik gambar dirinya melukakan pergelangan tangan di profil media sosial.

Apakah perbuatan mencederakan diri?

Ia merujuk kepada perbuatan seseorang dengan niat membahayakan diri sendiri. Perbuatan ini lebih kerap terjadi dalam kalangan remaja dan anak muda. Biasanya, perempuan lebih cenderung untuk melakukan perbuatan ini berbanding lelaki.Contoh kelakuan mencederakan diri

  • Pengambilan dos ubat secara berlebihan
  • Meracuni diri sendiri
  • Melukai diri sendiri
  • Memukul diri sendiri

Mengapa sesetengah remaja melakukannya?

Remaja yang mencederakan diri biasanya mengikut gerak hati. Ia tidak dirancang dan tanpa sebarang niat untuk membunuh diri. Mereka mungkin mencari kelegaan daripada tekanan yang terpendam, sebagai satu cara untuk mengalih perhatian atau melarikan diri daripada perasaan yang menyakitkan. Sesetengahnya mungkin tidak dapat menanggung emosi yang terlalu berat akibat situasi yang menekan dan berasa mereka tiada pilihan lain.

Bagi sesetengah remaja, melukakan diri di tempat yang boleh dilihat mungkin satu luahan emosi dalaman mereka yang terluka. Ada juga yang terdorong oleh perasaan marah yang amat sangat terhadap orang lain ataupun diri sendiri. Malah, mungkin ada yang cuba mempengaruhi orang lain melalui kelakuan mencederakan diri.

Kita harus ambil perhatian dan lebih berjaga-jaga jika kita melihat perkara berikut:

  • Seseorang yang menyendiri dan berulang kali meluahkan keinginan mengakhiri kehidupannya.
  • Kaedah mencederakan diri yang dipilih adalah berbahaya.
  • Seseorang yang mengambil pelbagai langkah untuk menyembunyikan perbuatannya.

Sebilangan kecil daripada mereka yang mencederakan diri mungkin berniat untuk membunuh diri.

Faktor-faktor yang boleh meningkatkan kecenderungan remaja untuk mencederakan diri

Isu peribadi & psikologi

  • Mengalami penderaan fizikal, emosi atau seksual.
  • Mangsa buli.
  • Kemurungan.
  • Rasa tiada harapan atau tidak berguna.
  • Keresahan yang tinggi.
  • Cenderung mengikut perasaan.
  • Lemah kemahiran penyelesaian masalah.
  • Sukar membuat keputusan.
  • Pengambilan dadah terlarang atau alkohol.

Isu keluarga & sosial

  • Perceraian atau perpisahan ibu bapa.
  • Konflik dan keganasan dalam keluarga.
  • Kemiskinan.
  • Sukar menyesuaikan diri dalam persekitaran baru, cth. baru berpindah.
  • Pengasingan sosial dan kurang sokongan rakan.
  • Pergaduhan dengan rakan.

Faktor situasi

  • Putus cinta dengan teman lelaki/wanita.
  • Mempunyai rakan yang pernah mencederakan diri.
  • Terdedah kepada perbuatan mencederakan diri di media sosial.

Tanda amaran

Sesetengah perbuatan ini mungkin boleh dilihat orang lain. Ada remaja yang mungkin cuba mencederakan diri semasa perbalahan atau memuat naik perbuatan mereka di media sosial. Ada juga yang menyembunyikan diri dan mencederakan diri secara rahsia.

Perhatikan tanda-tanda melukakan diri: luka yang tidak dapat dijelaskan pada lengan atau pergelangan tangan, memakai baju lengan panjang untuk menyembunyikan luka, kesan darah pada baju, cadar atau tisu dengan kesan darah dalam tong sampah, dan menyimpan objek tajam seperti pencukur atau pisau.

Apakah yang ibu bapa harus lakukan?

Jangan ambil ringan atau membiarkan masalah itu. Elak daripada memarahi atau mengeluarkan kata-kata yang menyakitkan. Perbuatan mencederakan diri adalah petanda seorang remaja menghadapi kesukaran dan memerlukan bantuan.

Cuba memahami. Adakah terdapat isu peribadi atau keluarga yang membuatkan anak anda lebih cenderung untuk mencederakan diri? Atau sebarang peristiwa yang baru berlaku, seperti perbalahan dengan ahli keluarga? Terdapat kesukaran di sekolah? Sedari bahawa pelbagai faktor boleh menyebabkan perbuatan ini dan sebab khusus mungkin berbeza bagi setiap orang.

Dengar luahan anak anda. Adakah anda terlalu sibuk untuk berbual dengan anak anda? Golongan remaja sering menyimpan masalah mereka jika tiada sesiapa yang mendengar. Ada perkara mungkin sukar untuk didedahkan, seperti masalah buli atau penderaan seksual. Luangkan masa untuk mengetahui apa yang mengganggu anak anda. Yakinkannya bahawa anda sedia membantu.

Dapatkan bantuan pakar. Pastikan anak anda menerima rawatan untuk sebarang kecederaan serius. Doktor juga perlu mengenal pasti sebarang masalah psikologi yang memerlukan rawatan seperti kemurungan dan menilai risiko kejadian berulang. Pakar psikologi atau kaunselor boleh mengajar anak anda teknik bagi mengurangkan keresahan, menenangkan emosi dan melegakan stres. Mereka boleh membantunya mengembangkan kemahiran berkomunikasi atau menangani masalah. Mereka juga boleh menasihatkan ibu bapa tentang cara yang wajar untuk berkomunikasi dan menyokong anak mereka.

Sumbangan daripada Persatuan Pediatrik Malaysian.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen