Pengalaman zaman kanak- kanak telah banyak berubah sejak zaman kita dahulu. Perubahan tidak dapat dielakkan, tetapi apakah kesannya terhadap kanak-kanak di zaman sekarang?
Ingatkah anda pada zaman kanak-kanak anda? Adakah ia dipenuhi dengan permainan sorok, lompat tali, kejar-kejar dan permainan kad? Adakah anda bermain kerana disuruh ibu bapa anda, atau ia lebih spontan apabila kawan-kawan, adik-beradik dan sepupu berkumpul dan bermain?
Anak-anak kita mungkin tidak berpeluang mempunyai zaman kanak-kanak seperti kita. Kini, ramai kanak-kanak biasanya akan dibawa dari kelas Taekwondo ke kelas renang, atau dari kelas Matematik ke kelas Drama. Ibu bapa menjadi seperti pemandu GrabCar yang membawa si anak dari satu kelas ke kelas yang lain.
Sebagai seorang ibu dengan tiga orang anak, saya faham situasi ini. Kita membesarkan anak kita dalam dunia yang berbeza. Kita ingin anak kita mendapat peluang yang tidak mampu kita perolehi dahulu. Tuntutan akademik kini semakin mencabar. Kita sering mendengar berita kanak-kanak genius dan usahawan remaja yang mencapai kejayaan pada usia yang sangat muda.
Namun, apakah kesan daripada kecenderungan ini untuk memberikan permulaan terbaik kepada anak kita? Kita bermula dari tempat yang betul, tetapi adakah kita membuka laluan yang sesuai kepada mereka? Adakah kita mengatur terlalu banyak rancangan sehingga kita lupa untuk menikmati perjalanan ini bersama?
Tanda-tanda anak anda mungkin terlampau dibeban
- Keresahan. Adakah anak anda menunjukkan tanda-tanda keresahan, berat hati untuk menghadiri kelas, atau enggan meneruskan sesuatu program? Adakah dia tidak tidur dengan baik? Tanda-tanda keresahan paling jelas dalam kanak-kanak ialah perubahan dramatik dalam corak kelakuan/tidurnya, atau tidak mampu menumpukan pada tugasan/pelajaran.
- Kelas yang tidak produktif. Mendaftarkan anak ke kelas tuisyen Matematik terbaik tidak semestinya menjamin gred yang anda harapkan. Setiap anak mempunyai gaya pembelajaran yang berbeza dan terlalu banyak belajar boleh jadi kurang produktif. Belajar secara hafalan semata-mata membolehkan anak menjawab jenis soalan yang khusus, tetapi dia akan kecundang apabila berhadapan dengan soalan yang kurang lazim. Kertas latihan yang bertimbun akan membuatkannya memberontak kerana tiadanya cukup ruang untuk dia berehat.
- “Saya tidak cukup bagus”. Mungkin inilah monolog dalam minda anak anda yang tidak pernah anda dengari. Dia mungkin berfikir dia tidak akan menjadi cukup bagus apabila sering dibandingkan dengan rakan atau adik-beradiknya. Usaha yang berterusan untuk mengejar kesemuanya boleh menyebabkan keletihan dan dia mungkin mula berfikir bahawa tiada apa yang dilakukannya cukup bagus.
Setiap anak adalah berbeza
Kita mengiktiraf bahawa setiap anak berbeza. Sesetengah anak boleh menangani lebih tekanan daripada yang lain, dan ada juga yang memerlukan lebih ruang untuk ’bernafas’. Apa yang anda boleh lakukan untuk mencari keseimbangan yang baik untuk anak anda?
- Banyakkan bermain secara bebas. Program berstruktur tidak harus menggantikan waktu bermain secara bebas. Keluar dari rumah dan biarkan anak anda bermain. Ibu bapa tidak perlu menyelia setiap jenis permainan. Kanak-kanak memerlukan peluang untuk menyelesaikan masalah dan membuat keputusan sendiri tanpa campur tangan guru atau orang dewasa. Berilah waktu bermain dengan kawan atau sepupu. Permainan berkumpulan ialah cara yang baik untuk mereka belajar kerja berpasukan.
- Tugasan rumah. Kanak-kanak hari ini jarang diberikan tugasan rumah. Mereka terlalu sibuk dengan sekolah dan kelas tambahan, manakala ibu bapa pula yang biasa melakukan segalanya sendiri. Kerja rumah ialah peluang baik untuk si anak mempelajari tanggungjawab dan kerajinan, sambil menyumbang kepada keluarga. Anak anda mungkin ingin diberi peluang menolong dengan kerja rumah. Melakukan kerja rumah dapat memberikannya waktu rehat daripada tuntutan atau tugasan sekolah. Membasuh pinggan atau memasak bersama-sama juga boleh mengeratkan pertalian keluarga menerusi perbualan tentang hari masing-masing.
- Tetapkan waktu bebas. Ini mungkin kedengaran pelik, tetapi menetapkan “waktu tanpa kelas” di dalam jadualnya mungkin adalah apa yang dia perlukan. Carilah masa yang sesuai dan pastikan tiada kelas, latihan, kerja sekolah, atau pertandingan ketika itu. Gantikannya dengan aktiviti yang lebih santai seperti membaca, bermain permainan papan, menonton filem atau bersiar-siar. Aturkan waktu-waktu bebas ini bersama anak anda. Jika anak anda menghadapi minggu yang sangat sibuk, jadikanlah waktu ini sebagai motivasi dorongan sepanjang minggu yang mencabar.
Kadangkala, keinginan kita untuk memberikan yang terbaik untuk anak boleh membawa akibat yang tidak dijangka. Anak terbeban bukanlah anak gembira. Tekanan dan keresahan dalam kalangan kanak-kanak semakin meningkat. Kita perlu berusaha untuk meningkatkan potensi anak kita, tetapi pada masa yang sama, kita harus tahu bila untuk berhenti apabila keterlaluan.
Fahamilah bahawa setiap anak adalah unik dan sesetengahnya lebih bersedia berbanding yang lain. Mutiara kata ini membantu saya sedar bahawa setiap anak adalah berbeza: Setiap anak mempunyai hadiah (bakat). Mereka hanya membuka hadiah mereka pada waktu berbeza dalam hidup.
Sumbangan daripada Persatuan Pediatrik Malaysian.
Komen