Pengasuhan Positif

Pengasuhan di Era Digital: Sumber untuk Ibu Bapa

Pada zaman digital ini, hampir mustahil bagi kita untuk tidak menggunakan internet atau pelbagai teknologi lain. Kemajuan teknologi telah menjadi sebahagian daripada hidup kita, bukan hanya di tempat kerja, malah dalam ruang peribadi dan komuniti, serta sebagai ibu bapa.

Satu kajian melaporkan lebih 5 bilion orang di seluruh dunia menggunakan peranti mudah alih dan separuh daripadanya ialah telefon pintar. Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia juga mendapati kadar penggunaan telefon pintar di Malaysia setinggi 78% pada tahun 2018. Pelbagai aspek pengasuhan juga turut terkesan dengan teknologi. Perkataan baru muncul untuk menerangkan kesan teknologi ke atas pengasuhan moden – antaranya sharenting, pengasuh digital, masa skrin dan parennials. Oleh itu, bagaimana kita boleh memanfaatkan teknologi digital untuk menjadi ibu bapa yang lebih baik?

Kelebihan internet

Teknologi digital seperti internet dan telefon pintar amat memudahkan hidup kita. Pelbagai perkara boleh dilakukan hanya dengan sentuhan di skrin. Pn Anisa Ahmad, seorang pakar industri dalam bidang pendidikan dan pengasuhan awal kanak-kanak, bersetuju yang kemajuan teknologi ialah satu kelebihan untuk ibu bapa, terutamanya di zaman moden yang bergerak laju dan memerlukan jawapan pantas.

“Kita boleh taip soalan dan dapatkan jawapan segera daripada internet. Ini amat berguna bagi ibu bapa moden kerana mereka tidak lagi perlu bergantung kepada pertolongan dan nasihat keluarga, rakan atau jiran, sebagaimana generasi terdahulu,” kata presiden Persatuan Pengasuh Berdaftar Malaysia itu.

Pelbagai laman web dan blog memberi ulasan tentang produk atau kemudahan untuk kanak-kanak, lalu memudahkan ibu bapa untuk memilih yang terbaik untuk anak mereka. Kumpulan Facebook, Whatsapp atau forum juga membolehkan ibu bapa berkongsi pengalaman, saling memberi sokongan, serta bertukar-tukar petua dan pendapat peribadi. Teknologi juga memudahkan perhubungan. “Kumpulan Whatsapp keluarga penting agar kami tahu di mana setiap orang berada, atau jika terdapat hal penting atau kecemasan yang perlu diuruskan. Ia juga lebih mudah untuk berhubung dengan semua orang sekali gus,” kata ibu kepada lima cahaya mata itu.

Sisi gelap digital

Namun, penggunaan meluas teknologi digital juga mendatangkan cabaran dan kerisauan baharu. Prof Dr Alvin Ng Lai Oon menyatakan, “Internet memudahkan penyebaran maklumat dan ilmu, tapi ini juga termasuklah maklumat yang salah.”

Orang ramai boleh terkeliru antara berita benar dan palsu, mempercayai pseudosains dan terpengaruh dengan trend berbahaya yang dilihat dalam talian. Maklumat yang datang tanpa henti pula menyukarkan kita untuk  menapis yang baik dan yang buruk.

“Banyak faktor menyumbang kepada masalah ini. Mustahil untuk kita mengawal setiap ceruk internet kerana saiznya tiada batasan. Ketiadaan pihak berkuasa yang mengawal internet membolehkan semua orang, tak kira siapa, menyebarkan mesej mereka kepada seluruh dunia. Ini bagus untuk kebebasan bersuara, tapi bukan untuk menjaga kesahihan ilmu,” jelas pakar psikologi klinikal itu.

Internet juga mendedahkan keluarga kepada ancaman baru, seperti penipuan, buli siber, pemangsa dalam talian, ketagihan internet dan bahaya lain yang tidak dijangka. Pn Anisa menceritakan pengalamannya: “Anak perempuan bongsu saya sedang bermain dengan telefon saya dan berbalas mesej dengan chatbot. Pada awalnya, perbualan berjalan lancar, tapi selepas ia dapat tahu anak saya masih kecil, soalan-soalan pelik mula ditanya. Mujur saya ada bersama dan terus menyuruhnya menghentikan perbualan.”

Penggunaan internet secara bijak

Lebih ramai ibu bapa, terutamanya golongan milenial, merujuk Dr Google dan komuniti maya untuk nasihat, sokongan dan petua pengasuhan. Namun, banyak maklumat yang bercanggah serta meragukan dalam talian. Bagaimana kita, sebagai ibu bapa, boleh menggunakan internet secara bijak dan beretika?

“Kita perlu merujuk sumber yang sahih dan benar,” nasihat Prof Ng. “Cari jawapan kepada soalan kesihatan di laman-laman web kerajaan, organisasi pakar dan kesihatan, hospital dan institusi pengajian. Maklumat di laman-laman ini selalunya boleh dipercayai. Selain itu, jauhi laman yang menggunakan testimoni awam atau senarai anugerah yang panjang dan meragukan.”

Bagi sumber lain (berita, majalah, blog, forum, media sosial), sahkan maklumat itu terlebih dahulu sebelum mempercayainya dan berkongsi dengan orang lain. Ini beberapa panduan oleh Prof Ng:

  • Semak silang. Lihat jika maklumat sama boleh diperoleh daripada sumber sahih lain. Jika ya, maklumat tersebut boleh dipercayai. Jika tidak, ia mungkin palsu.
  • Periksa latar belakang. Pengarang perlu mempunyai latar belakang dalam bidang berkaitan. Jika ia rencana akhbar/majalah, pastikan ada input daripada pakar yang berkelayakan.
  • Sahkan maklumat dan rujukan. Jika boleh, periksa statistik, kajian yang diterbitkan, nama orang, organisasi dan maklumat lain yang dinyatakan dengan mencari sumber utama.
  • Lihat alamat URL. Sesetengah laman web palsu menggunakan alamat menyerupai media utama untuk mengelirukan pembaca. Periksa URL sebenar dengan melihat hasil carian terawal.
  • Guna pemeriksa fakta. Periksa maklumat yang meragukan dengan pemeriksa fakta (cth: Snopes atau Sebenarnya.my) atau cari maklumat tersebut dengan kata kunci “palsu” atau “tipu”.
  • Carian imej terbalik. Imej yang dipaparkan dalam rencana boleh disahkan menggunakan carian imej terbalik dengan TinEye atau Google Images.

Pakar perunding pediatrik Datuk Dr Zulkifli Ismail pula menasihatkan: “Ibu bapa perlu sedar bahawa laman web tidak boleh menggantikan pakar kesihatan sebenar. Jangan kongsi gejala anak anda di media sosial untuk bertanya pendapat rakan atau keluarga, kerana mereka bukan pakar. Dapatkan rawatan segera dan rujuk doktor tentang maklumat yang ditemui dalam talian.”

Pengerusi Program Pengasuhan Positif itu juga mengingatkan ibu bapa agar berhati-hati dengan sharenting. “Sharenting bermaksud ibu bapa berkongsi mengenai anak mereka secara berlebihan di media sosial atau blog. Jika anda mahu berkongsi video atau gambar comel anak anda dengan ahli keluarga lain, gunakan saluran persendirian, seperti emel atau storan dalam talian.”

Dia juga berkongsi panduan lain semasa mencari maklumat dalam talian.

  • Rujuk kesepakatan saintifik. Jika ada sesuatu yang kedengaran terlalu kontroversi atau berbeza dengan sains yang mapan, ia mungkin tidak tepat. Satu kajian tidak cukup sebagai bukti.
  • Persoalkan tanggapan anda. Kita cenderung mencari maklumat yang akan mengesahkan tanggapan kita. Bandingkan dengan maklumat yang berlawanan agar pandangan kita seimbang dan kita boleh menentukan dengan lebih adil.
  • Semulajadi tidak selalunya lebih baik. Segelintir orang berpendapat bahawa “semulajadi lebih baik”. Tapi alam juga mengandungi bahan berbahaya dan bukan pilihan yang sentiasa selamat.
  • Canggih tidak semestinya berkesan. Laman web dengan kaedah yang kedengaran terlalu bagus, serta senarai testimoni dan anugerah meragukan mungkin menyasarkan ibu bapa yang terdesak untuk menyelesaikan masalah kesihatan anak mereka.

Selain itu, Pn Anisa menasihati ibu bapa: “Ambil tahu isu semasa dan perkembangan teknologi agar kita tidak tertipu dan sedar tentang ancaman baru. Cuba saluran pembelajaran yang bagus dan sesuai untuk anak anda, seperti Didi & Friends, PBS Kids, dll. YouTube juga bagus, tapi hanya beberapa klik boleh melencongkan anak anda ke kandungan bahaya – oleh itu, sentiasa pantau mereka.”

Dia menambah lagi, “Ingat bahawa anda merupakan teladan bagi anak anda. Guna teknologi dengan betul dan amalkan apa yang anda pesan. Ajar penggunaan teknologi yang betul dan jawab soalan mereka. Tonton rancangan dan main permainan video bersama. Jadi sebahagian daripada dunia maya mereka, tapi jaga had anda dan jangan terlalu menyibuk.”

Pn Anisa juga mengingatkan ibu bapa tiada masa skrin dibenarkan untuk anak di bawah dua tahun, manakala had bagi anak berumur dua hingga enam tahun pula ialah dua jam, kerana pada tahap ini, bermain dan interaksi sosial penting untuk perkembangan emosi dan fizikal mereka.

Senarai sumber sahih

Berikut merupakan beberapa contoh sumber dalam talian yang sahih untuk ibu bapa dan orang awam:

Pihak berkuasa

Persatuan

Portal

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen