Pengasuhan Positif

Mengapa Ibu Bapa Harus Bekerjasama Dengan Guru

Sebagai ibu bapa, kita mahukan anak kita berjaya dalam akademik. Terdapat banyak faktor yang mempengaruhi perkara ini dan yang terbesarnya berkaitan dengan persekitaran sekolah anak kita.

Semasa anak membesar, masa yang diluangkan di sekolah boleh mencecah sehingga 6-8 jam. Ini akan meningkat semasa anak berada di kolej atau universiti nanti. Sememangnya anak anda akan dipengaruhi oleh guru dan rakan sebayanya.

Oleh itu, persekitaran sekolah yang kondusif adalah penting untuk perkembangan anak dan remaja yang sihat. Sebagai ibu bapa, adakah kita mencurahkan usaha untuk berhubung dan bekerja rapat dengan gurunya agar anak kita memperoleh manfaat daripada keterhubungan sekolah? Apakah itu keterhubungan sekolah?

Hubungan guru dan pelajar

Keterhubungan sekolah merujuk kepada keyakinan anak dan/atau kepercayaannya terhadap guru dan sama ada mereka ambil berat tentang anak anda sebagai seorang individu. Anda boleh katakan bahawa keterhubungan sekolah anak anda adalah tinggi jika dia gembira atau teruja untuk ke sekolah (contohnya, kerana seseorang guru/sesuatu kelas yang menarik minatnya). Sebaliknya, keterhubungan sekolah adalah rendah jika anak anda tidak berminat untuk ke sekolah.

Mengapakah keterhubungan sekolah itu penting? Kajian menunjukkan bahawa pelajar lebih cenderung untuk berjaya dalam akademik apabila mereka berasa terhubung dengan sekolah. Sebaliknya, pelajar yang kurang terhubung dengan sekolah lebih berkemungkinan menunjukkan prestasi lemah dalam pelajaran dan terlibat dalam kelakuan negatif seperti penyalahgunaan dadah, ponteng sekolah, inisiasi seksual awal, keganasan dan risiko kecederaan yang tidak disengajakan (contohnya, memandu semasa mabuk, tidak memakai helmet, dsb).

Menggalakkan keterhubungan sekolah

Ibu bapa mempunyai peranan dalam keterhubungan kerana “pengajaran hidup” bermula di rumah. Beberapa perkara yang anda boleh lakukan:

  • Kenal pasti kelakuan diingini dan tidak diingini. Perhatikan kelakuan anak anda serta juga kelakuan anda! Anak-anak banyak meniru kelakuan kita. Kemungkinannya tinggi mereka mencontohi anda.
  • Asah kemahiran mendengar anda. Semasa perbualan, berikan peluang untuk anak anda bercakap. Jangan mencelah; anda boleh bercakap apabila dia selesai. Jika dia bercakap dengan kasar, tegur anak anda. Ingatlah untuk mengekalkan rasa hormat sepanjang masa dan anak anda akan mencontohi amalan ini.
  • Tetapkan jangkaan yang munasabah. Bincangkan jangkaan anda untuk pembelajaran dan kelakuan secara jelas. Ketahui kekuatan dan kelemahan anak anda dan tetapkan jangkaan yang mampu dicapai berdasarkan ini.
  • Berikan pujian sewajarnya. Apabila memuji, elakkan kepujian yang terlalu umum atau menumpukan kepada kebolehan (contohnya, “Syabas”, “Kamu sangat pintar”, dsb) kerana itu akan membawa lebih keburukan daripada kebaikan. Sebaliknya, pastikan pujian itu ikhlas dan spesifik (contohnya, “Kamu telah bekerja keras dalam pelajaran dan cemerlang dalam peperiksaan, syabas!”)

Perkara lebih besar dalam keterhubungan sekolah bergantung kepada cara sekolah menggalakkan keterlibatan pelajar, dengan memupuk komunikasi secara terbuka dengan guru. Ibu bapa harus mengambil peluang untuk terlibat secara aktif dalam akademik dan kehidupan sekolah anak mereka.

Hadiri atau jadualkan mesyuarat dengan guru anak anda untuk membincangkan kelakuan, gred dan pencapaiannya. Anda juga boleh menyertai kumpulan media sosial. Ini membantu memudahkan talian terbuka dalam kalangan ibu bapa dan guru.

Ingatlah untuk sentiasa berfikiran dan berhati terbuka semasa berjumpa dengan guru anak anda. Sentiasa bersopan dalam semua interaksi anda dengan kakitangan sekolah, guru dan ibu bapa lain. Akhir sekali, fahami dan lebih bertimbang rasa betapa beratnya pekerjaan seorang guru. Jangan segan untuk memuji usaha mereka mendidik anak anda, pujian anda pasti membakar semangat guru-guru!

Sebuah Kisah Benar

Peristiwa sebenar berikut menceritakan kepentingan keterhubungan sekolah.

Beberapa tahun lalu, saya mengadakan forum untuk guru sekolah menengah untuk berbincang tentang keperluan menjadikan para pelajar terlibat dan terhubung dengan sekolah.

Saya bertanya satu soalan kepada mereka, “Berapakah antara anda yang mengucapkan selamat pagi kepada pelajar?” Para guru tergelak dan seorang menjawab, “Doktor, pelajar yang sepatutnya mengucapkan selamat pagi kepada guru, bukan sebaliknya.”

Saya: “Anda ucap selamat kepada pengetua?”

Guru disiplin sekolah: “Ya, semestinya. Beliau ialah ketua.”

Tetapi guru itu mula kelihatan resah dan bersuara, “Dr Thiyagar, apakah yang and cuba sampaikan?”

Saya: “Bersabar dahulu. Bolehkah anda namakan pelajar yang sangat menguji kesabaran anda?”

Guru: “Hakimi.”

Saya: “Apakah yang dia telah buat?”

Guru: “Dia tidak mengucapkan salam dan menunjukkan muka tidak puas hati setiap kali bertembung dengan saya.”

Saya: “Apakah yang anda lakukan?”

Guru: “Saya akan memanggilnya untuk menjawab soalan susah di dalam kelas.”

Saya: “Cuba ucapkan selamat pagi setiap kali anda nampaknya. Percayalah, dia akan berubah.”

Guru itu ketawa tetapi dengan tidak rela, tetap bersetuju untuk melakukan itu, untuk membuktikan bahawa saya salah. Dua minggu kemudian, saya terserempak dengannya di Tesco dan dia teruja dapat bertemu saya.

Guru: “Doktor, anda betul! Pelajar itu kini sudah berubah. Selepas saya mula mengucapkan selamat pagi kepadanya, dalam masa 2 minggu, dia mula menghormati saya dan guru lain! Saya berbincang panjang dengannya minggu lepas. Dia menangis dan memberitahu saya tentang stresnya di rumah kerana keluarganya yang berpecah-belah dan ibu bapanya tidak menunjukkan kasih sayang. Dia hanya mahukan guru sebagai orang dewasa menyedari kehadirannya dan membantunya di sekolah.”

Tujuh bulan kemudian, saya bertemu guru itu lagi. Dia memberitahu saya bahawa pelajar itu kini seorang ketua pelajar dengan sikap yang baik dan prestasi akademiknya juga semakin meningkat, daripada seorang pelajar yang sangat lemah kepada seorang pelajar dengan pencapaian sederhana dalam peperiksaan.

Apakah sebab di sebalik perubahan dramatik ini? Pelajar itu TERHUBUNG dengan persekitaran sekolahnya. Perubahan itu bermula dengan ucapan “Selamat pagi” yang ringkas dan ini mencetuskan perubahan yang besar dalam kehidupan anak remaja ini.

Guru boleh menyediakan peluang kepada pelajar untuk meningkatkan kemahiran interpersonal seperti penyelesaian masalah, penyelesaian konflik, kawalan diri, komunikasi, perundingan, berkongsi dan adab yang baik. Kemahiran mandiri penting yang lain seperti mendengar, pengurusan tekanan dan membuat keputusan juga boleh dipupuk. Kemahiran ini berpotensi dalam melindungi mereka dengan mengurangkan peristiwa hidup yang memberikan tekanan, meningkatkan kebolehan remaja mengelakkan risiko dan menggalakkan kecekapan sosial dan emosi untuk cemerlang dalam segala aspek hidup.

Guru harus lebih proaktif dalam berkomunikasi dengan pelajar dan melakukan lebih banyak dalam membantu pelajar merancang masa depan mereka. Guru juga harus memupuk kemahiran kepimpinan pelajar dengan melibatkan pelajar dalam pelbagai aktiviti sekolah, contohnya semasa menetapkan peraturan kelas, menganjurkan karnival sukan tahunan dan sebagainya. Acara sekolah seperti karnival sukan dan kelas pendidikan jasmani membantu menggalakkan kerjasama dalam pasukan dan semangat kesukanan. Acara sebegini juga membantu menekankan nilai keadilan dan keamanan.

Cabaran saya kepada pendidik: Menyapa pelajar dengan nama mereka dan ucapkan salam kepada mereka dahulu!

 

Sumbangan daripada Persatuan Pediatrik Malaysian.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen