Pengasuhan Positif

Rotavirus Yang Berbahaya

Cirit-birit merupakan satu penyakit biasa dan salah satu penyebab utama cirit-birit dalam kalangan kanak-kanak ialah rotavirus. Sebelum berumur lima tahun, anak anda mungkin telah dijangkiti sekurang-kurangnya sekali, dan ia boleh terjadi semula. Namun, anda boleh mencegahnya daripada berulang.

Pada tahun 2013, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan sebanyak 215,000 kematian akibat rotavirus dalam kalangan kanak-kanak bawah 5 tahun. Di Malaysia, jangkitan rotavirus menyebabkan lebih daripada 8,500 kemasukan ke hospital pada setiap tahun. Orang dewasa juga turut terkesan dengan rotavirus tetapi dengan simptom yang lebih ringan.

Simptom dan jangkitan

Simptom biasanya bermula dalam masa 2 hari selepas seseorang kanak-kanak terdedah kepada virus tersebut. Simptom biasa jangkitan rotavirus ialah cirit-birit yang berlarutan selama 3 hingga 8 hari. Simptom lain termasuklah muntah, demam, sakit perut dan keletihan.

Virus yang sangat mudah merebak ini terkandung dalam najis orang yang telah dijangkiti. Kemudian, ia boleh merebak dengan mudah melalui sentuhan tangan ke mulut. Virus ini juga stabil dalam persekitaran dan boleh kekal berjangkit dalam jangka masa seminggu. Maka, sentuhan dengan permukaan atau objek tercemar, serta pengambilan air/ makanan tercemar juga boleh mengakibatkan jangkitan.

Sebagai contoh, seorang kanak-kanak yang dijangkiti rotavirus boleh merebakkan virus tersebut melalui objek yang disentuhnya selepas menggunakan tandas. Ibu bapa juga boleh menyebar virus setelah membantu anak menggunakan tandas atau selepas menukar lampinnya. Orang lain boleh terkena jangkitan jika menyentuh objek atau permukaan tercemar (pakaian, cadar, alat mainan, perkakas dapur, tombol pintu, alat tulis dan lain-lain) dan menyebabkan virus masuk melalui mulut.

Jaga-jaga dengan dehidrasi

Kebimbangan utama jangkitan rotavirus ialah dehidrasi akibat cirit-birit dan muntah yang teruk, beserta pengambilan makanan/ minuman yang kurang baik.

Dehidrasi atau kehilangan air dalam badan boleh membawa maut terutamanya kepada bayi, kanak-kanak, warga tua dan orang yang berpenyakit serius. Tambahan lagi, kanak-kanak mungkin hilang selera makan atau minum akibat simptom mereka, manakala bayi pula tidak berupaya memberitahu keadaan mereka kepada ibu bapa mahupun penjaga.

Awasi simptom-simptom dehidrasi:

  • Air kencing yang sedikit atau lampin kering
  • Keresahan
  • Menangis tanpa air mata
  • Mulut dan lidah yang kering
  • Kulit kurang tegang
  • Pening kepala
  • Terlalu mengantuk
  • Mata kuyu
  • Ubun-ubunnya (bahagian lembut pada kepala tenggelam)

Menguruskan penyakit

Bawalah anak anda berjumpa dengan doktor jika dia menunjukkan simptom cirit-birit dan muntah, serta simptom dehidrasi. Jangan anggap simptom itu seperti sakit biasa. Tiada ubat khusus bagi merawat jangkitan, tetapi terdapat ubat yang boleh diberikan bagi melegakan simptom. Antibiotik tidak berkesan terhadap jangkitan virus ini.

Fokus utama rawatan adalah mengelakkan dehidrasi. Berikan anak anda cecair secukupnya daripada minuman atau makanan. Air kosong dan larutan rehidrasi oral ialah pilihan terbaik bagi anak yang lebih tua. Anda boleh terus memberikan bayi anda susu badan atau susu formula seperti biasa. Larutan rehidrasi oral disyorkan. Bagaimanapun, elakkan minuman berkarbonat, jus epal, produk tenusu (kecuali yogurt) serta makanan bergula kerana boleh memburukkan lagi cirit-birit.

Mencegah jangkitan

Amalan kebersihan diri yang baik ialah langkah pencegahan paling asas. Mencuci tangan dengan kerap dan teliti adalah penting terutamanya selepas menggunakan tandas, selepas menukar lampin bayi atau selepas membantu anak menggunakan tandas. Permukaan perabot rumah juga perlu dinyahjangkit secara berkala.

Jangka hayat rotavirus

  • Tangan manusia – anggaran 4 jam
  • Permukaan keras yang kering – anggaran 10 hari
  • Kawasan basah – berminggu-minggu!

Produk pembersihan antibakteria dan penyahjangkit berasaskan alkohol mungkin tidak mencukupi. Campurkan larutan peluntur (1 bahagian peluntur dengan 9 bahagian air) bagi mengelap kesemua permukaan perabot rumah dan kenderaan.

Vaksin rotavirus juga amat disyorkan sebagai langkah pencegahan. Dos pertama boleh diberikan secara oral seawal 6 minggu kelahiran, dengan semuanya 2-3 dos mengikut jenis vaksin. WHO menyarankan penggunaan vaksin rotavirus sebagai salah satu strategi komprehensif bagi mengawal penyakit cirit-birit, seiring dengan usaha pencegahan dan rawatan lain.

Persatuan Pediatrik Malaysia telah menyokong untuk memasukkan vaksin rotavirus ke dalam Program Imunisasi Kebangsaan (NIP) bagi menyahut saranan WHO sejak tahun 2017. Lebih daripada 80 buah negara telah memperkenalkan vaksin ini ke dalam NIP mereka dan harapnya Malaysia akan turut serta. Untuk masa kini, vaksin ini boleh didapati daripada klinik atau pakar pediatric swasta. Jangkitan rotavirus sering berlaku tetapi itu tidak bermakna ibu bapa boleh memandang remeh hal ini. Penjagaan dan perhatian yang sewajarnya masih perlu bagi mengelakkan komplikasi dan jangkitan lebih teruk.

Sumbangan daripada Persatuan Pediatrik Malaysian.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen