Pengasuhan Positif

Mengajar Kanak-kanak Kesetaraan Jantina dan Rasa Hormat

Diskriminasi dan keganasan berdasarkan jantina masih lagi berleluasa hari ini. Salah satu strategi utama untuk menangani isu sosial ini adalah dengan mengajar kanak-kanak tentang kesetaraan jantina dan rasa hormat.

Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu

Matlamat ke-5: Mencapai Kesetaraan Jantina Dan Memperkasakan Semua Wanita dan Kanak-kanak Perempuan

Kesetaraan jantina boleh ditakrifkan sebagai menikmati hak sama rata, sumber, peluang dan perlindungan tanpa mengira jantina dalam setiap aspek kehidupan. Apabila kanak-kanak perempuan dan lelaki sama-sama dididik, diperkasa, sihat, serta bebas daripada diskriminasi dan keganasan, mereka akan mampu mencapai potensi penuh mereka dan ini akan membawa kepada komuniti yang lebih maju, stabil dan mampan. Walaupun sudah terdapat beberapa kemajuan sejak kebelakangan ini, masih banyak lagi yang perlu diperbaiki dari segi kesetaraan jantina.

Ketaksetaraan jantina, atau pengagihan kuasa, sumber dan peluang antara lelaki dan wanita yang tidak seimbang, diperkukuhkan melalui kedua-dua mekanisme formal dan tidak formal. Terdapat pelbagai norma, amalan dan struktur yang mendorong lelaki dan wanita untuk mengambil identiti dan peranan jantina yang berbeza dalam masyarakat, dan mengekalkan stereotaip lapuk yang meletakkan peranan maskulin pada kedudukan yang lebih tinggi berbanding peranan feminin.

Di peringkat global, perkahwinan kanak-kanak (yang lebih menjejaskan anak gadis) masih lagi menjadi masalah yang mendesak, dengan 1 daripada 5 kanak-kanak perempuan menjadi ibu sebelum mencecah usia 18 tahun. Salah satu penyebab utama kematian kanak-kanak perempuan berusia 15 hingga 19 tahun ialah komplikasi ketika kehamilan dan bersalin.

Situasi di Malaysia secara perbandingan adalah lebih baik dari segi kesetaraan dalam pendidikan dan kesihatan. Namun, stereotaip peranan jantina terutamanya dari segi kerjaya dan perkahwinan masih lagi wujud. Menurut Jabatan Statistik Malaysia, kadar penyertaan tenaga buruh wanita hanyalah 56% berbanding 80.9% bagi lelaki. Tambahan lagi, hanya 20% jawatan kanan disandang oleh wanita. Dan perkahwinan kanak-kanak masih lagi sah dan dibenarkan di Malaysia, dengan 14,999 kes dicatat antara 2007 dan 2017!

Asas rasa hormat

Rasa hormat berkait dengan layanan yang bermaruah dan bertimbang rasa terhadap diri sendiri dan orang lain. Untuk membentuk hubungan yang sihat dan positif dengan kawan, keluarga dan pasangan, rasa hormat adalah penting. Kita semua mahukan masa depan yang mana semua orang dilayan dengan sama rata dan bermaruah, serta hidup dalam masyarakat yang selamat.

Cara terbaik untuk mengajar anak-anak anda tentang hubungan yang terhormat adalah dengan menunjukkan sendiri rasa hormat terhadap orang lain. Beritahu mereka bahawa setiap orang mempunyai pendapat, kepercayaan, nilai dan agama yang berbeza, tetapi penting untuk menunjukkan rasa hormat walaupun tidak bersetuju dengan pandangan seseorang. Pada masa yang sama, berkomunikasilah secara terbuka, selesaikan konflik secara adil, serta jangan menjerit atau menjadi agresif.

Bermula dari rumah

Terdapat beberapa perkara yang anda boleh lakukan sebagai ibu bapa:

  • Berbincang mengenainya. Tekankan kepentingan melayan orang lain secara adil dan saksama. Pastikan anak-anak anda melihat anda berkelakuan begini dan bincangkan perkara ini dengan mereka. Jelaskan mengapa anda berkongsi kerja rumah dengan pasangan anda atau mengapa anak lelaki anda patut menerima bilangan tugas yang sama seperti kakaknya.
  • Berkongsi tugas di rumah. Bahagikan kerja rumah dan penjagaan anak secara seimbang dengan pasangan anda – ini memberikan teladan yang baik kepada anak-anak. Semasa membahagikan tugas, libatkan kedua-dua anak lelaki dan anak perempuan dengan segala jenis kerja rumah; contohnya, biarkan anak lelaki mencuci pinggan dan anak perempuan membuang sampah secara bergilir-gilir.
  • Melawan stereotaip. Elakkan stereotaip kelakuan, seperti anak perempuan harus bersifat pemalu atau anak lelaki tidak boleh menangis. Benarkan anak lelaki anda bermain dengan permainan masak-masak atau anak perempuan anda bermain dengan trak mainan jika mereka mahu. Stereotaip hanya akan mengehadkan potensi.
  • Hentikan sindiran tubuh badan. Perempuan sering dibebankan dengan standard kecantikan yang tidak realistik oleh media dan masyarakat. Ajar anak anda bahawa kelakuan kitalah yang menentukan siapa kita, bukan paras rupa. Jangan beri komen negatif terhadap rupa fizikal mereka (warna kulit, berat badan, ciri wajah, dsb.).
  • Jantina bukan alasan. Jangan membiarkan sahaja kelakuan negatif anak hanya kerana jantinanya. Ini akan mengaitkan jantina dengan kelakuan negatif tertentu. Mengatakan “Biasalah, budak lelaki…” sebagai alasan semasa anak lelaki berkelakuan agresif akan membiasakan dia untuk bertindak ganas apabila membesar nanti.
  • Jaga bahasa anda. Elakkan ayat-ayat seperti “Jangan berkelakuan macam perempuan la!” atau “Sikit je pun nak nangis!” kepada anak lelaki. Kenyataan sebegini akan menguatkan lagi mesej negatif tentang kelakuan dan perasaan kanak-kanak lelaki dan perempuan yang patut dan tidak patut.
  • Tunjukkan calon teladan yang pelbagai. Calon teladan boleh datang dalam pelbagai rupa dan latar belakang. Perkenalkan saintis wanita atau tukang masak lelaki kepada anak-anak dan jelaskan bagaimana calon teladan seperti ini menyumbang kepada masyarakat. Ini mengajarkan anak-anak bahawa mereka boleh menjadi dan mencapai apa sahaja yang mereka mahukan.

Kesetaraan jantina bukanlah bermaksud tiada perbezaan antara jantina; ia cuma bermaksud semua orang harus diberikan peluang dan layanan yang sama. Ibu bapa, ahli keluarga dan guru, semuanya memainkan peranan yang penting dalam mengajar anak-anak tentang kesetaraan jantina dan rasa hormat. Ia juga salah satu cara untuk membuka lebih banyak peluang kepada mereka dan menyerlahkan potensi penuh anak-anak kita.

Dengan kerjasama Persatuan Psikologi Klinikal Malaysia

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen