Pengasuhan Positif

‘Sharenting’ Adakah Anda Juga Melakukannya?

Sudah menjadi kebiasaan untuk melihat ibu bapa memuat naik gambar anak di media sosial sebagai cara untuk berkongsi perjalanan keibubapaan mereka dan saat-saat berharga bersama anak mereka. Bagaimanapun, dengan risiko yang dikaitkan dengan media sosial dan internet benda, haruskah kita bimbang?

Perbuatan ini dipanggil ‘sharenting’ iaitu apabila ibu bapa berkongsi gambar atau video anak mereka di media sosial seperti Facebook atau blog tentang kehidupan seharian mereka. Sharenting mungkin kelihatan tidak berbahaya dan dilakukan sekadar untuk berkongsi pengalaman anda sebagai ibu bapa. Ibu bapa boleh berkongsi dengan keluarga dan rakan-rakan, bertukar nasihat pengasuhan dan menerima sokongan emosi dan praktikal. Ini juga cara untuk memelihara detik berharga dengan anak- anak seperti langkah pertama mereka, hari jadi dan situasi yang mengharukan serta yang mencuit hati.

Bagaimanapun, sharenting boleh jadi berbahaya apabila ibu bapa berkongsi terlalu banyak tentang anak mereka atau mendedahkan lokasi anak mereka serta maklumat sensitif lain. Memuat naik maklumat anak anda ke dalam talian meninggalkan jejak digital yang mungkin tidak disukai anak anda, contohnya detik memalukan yang mungkin lucu bagi anda tetapi tidak baginya. Anda juga boleh hilang kawalan terhadap data itu kerana sesiapa sahaja boleh menyalin, menyunting atau menggunakannya tanpa izin, dan pengumpul data dan pengiklan boleh menggunakan data itu untuk pemprofilan pelanggan. Dalam kata lain, sharenting keterlaluan boleh dikira sebagai pencerobohan hak anak anda untuk privasi dan perlindungan daripada rasa malu pada masa hadapan.

Berkongsi secara berlebihan boleh menyebabkan kesan buruk dalam kehidupan sebenar. Bahan yang dimuat naik ke media sosial boleh dipergunakan untuk perkara tidak wajar atau salah di sisi undang -undang. Contohnya, gambar normal kanak-kanak yang dimuat naik di media sosial ditemui di laman pornografi berserta komen lucah, menurut satu tinjauan di Australia pada tahun 2015. Ancaman lain termasuklah pencurian identiti dan penculikan digital (orang tidak dikenali menggunakan gambar kanak-kanak untuk memperlihatkan seolah-olah itu anak mereka).

Sharenting juga boleh memalukan anak-anak, terutamanya apabila gambar atau video mereka – yang mungkin kelihatan lucu atau menakjubkan bagi ibu bapa, tetapi tidak bagi mereka – dimuat naik tanpa kebenaran mereka. Ini boleh membuatkan mereka rasa rendah diri dan kurang yakin, atau lebih teruk lagi, mengakibatkan kejadian buli di sekolah, lalu menjejaskan kesihatan mental mereka.

Mendedahkan maklumat tertentu seperti lokasi atau rutin harian mereka juga meletakkan risiko anak-anak menjadi mangsa, dicederakan atau diculik oleh pemangsa siber. Akibat-akibat ini mungkin kedengaran melampau hanya kerana memuat naik gambar anak-anak, tetapi ini boleh berlaku kepada sesiapa termasuklah anda

Berkongsi atau tidak?

Sudah menjadi lumrah ibu bapa untuk berkongsi atau merakam saat-saat berharga bersama orang tersayang. Tetapi apakah hadnya dalam isu sharenting? Berikut ialah beberapa panduan:

  • Hadkan pengikut anda. Kawal tetapan privasi post anda di setiap media sosial dan letakkan had yang sewajarnya. Jika perlu, profil media sosial anda boleh ditetapkan sebagai ‘peribadi’, bukannya ‘umum’. Sebaiknya, hadkan gambar anak-anak anda yang dimuat naik hanya untuk keluarga dan kawan rapat.
  • Guna nama samaran. Ini salah satu cara untuk melindungi privasi dan identiti anak anda. Gunakan akronim atau nama samaran seperti ‘Si comel’ atau ‘Si kecil’. Anda boleh kaburkan wajah mereka jika berkongsi tentang perkara yang sukar dalam hidup mereka.
  • Pilih laman perkongsian gambar yang lebih tertutup. Laman seperti Google Photos atau Dropbox lebih selamat dan tertutup, serta lebih mudah dikawal aksesnya. Jangan gunakan laman media sosial sebagai arkib gambar, terutamanya bagi gambar bersama anak dan keluarga.

  • Elak kongsi maklumat yang boleh dikenal pasti. Ini termasuklah alamat rumah, sekolah atau papan tanda pusat penjagaan atau maklumat lain yang boleh digunakan untuk menjejak anak anda. Matikan ciri geotagging di media sosial anda!

  • Hormati privasi kanak-kanak lain. Cuba untuk tidak memasukkan rakan-rakan anak anda di dalam gambar yang anda muat naik. Jika sukar, anda boleh kaburkan wajah mereka atau minta izin ibu bapa mereka.
  • Minta kebenaran mereka. Anda boleh mula minta kebenaran mereka apabila mereka cukup umur untuk memahami konsep privasi, keizinan dan media sosial (sekitar 6 ke 8 tahun). Jelaskan mengapa anda mahu berkongsi gambar mereka dan hormatilah keputusan mereka jika mereka tidak bersetuju.

Kebanyakan kanak-kanak biasanya tidak kisah jika ibu bapa mereka kadangkala berkongsi gambar dan kisah mereka, tetapi untuk menyeimbangkan antara hak ibu bapa untuk berkongsi pengalaman dan juga hak privasi anak-anak memang sukar. Apa pun, yang paling penting adalah ibu bapa perlu mengambil kira perspektif anak mereka dan kesannya apabila mereka memuat naik apa-apa di dalam talian.

Sumbangan daripada Persatuan Psikologi Klinikal Malaysia.

 

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen