Pengasuhan Positif

Segalanya Tentang Penyakit Pneumokokus

Kementerian Kesihatan telah mengumumkan bahawa bayi yang dilahirkan mulai 1 Januari 2020 layak mendapat vaksinasi pneumokokus secara percuma daripada klinik dan hospital kerajaan bermula pada bulan Jun 2020. Vaksin yang mencegah penyakit pneumokokus ini ialah tambahan terkini dalam Program Imunisasi Kebangsaan (NIP).

Apakah itu penyakit pneumokokus?

Jangkitan yang disebabkan oleh bakteria Streptococcus pneumoniae.

Komplikasi yang mungkin terjadi termasuklah jangkitan kuman dalam darah (septisemia), radang peparu (pneumonia), radang selaput otak (meningitis) dan jangkitan telinga tengah dalam kalangan kanak-kanak kecil.

Bagaimanakan vaksin berfungsi?

Vaksin ini mencegah penyakit pneumokokus dengan menjana antibodi yang melawan jangkitan pneumokokus. Terdapat dua jenis vaksin pneumokokus iaitu:

Vaksin Pneumokokus Konjugat (PCV). Bergantung kepada jenama vaksin, perlindungannya meliputi daripada 10 hingga 13 jenis pneumokokus berbeza. Ia boleh diguna pakai daripada umur 6 minggu ke atas. PCV juga menjana imuniti jangka masa panjang dan memori imun. serta memberi perlindungan kelompok. Vaksin PCV adalah pilihan untuk program NIP.

Vaksin Pneumokokus Polisakarida (PPSV). Vaksin ini tidak memberikan perlindungan jangka masa panjang dan tidak menjamin imuniti kelompok. Vaksin ini hanya boleh diguna di kalangan kanak-kanak yang berumur dua tahun ke atas.

Perlindungan kelompok yang berkesan

Sekurang-kurangnya 95% daripada penduduk perlu mendapat vaksinasi bagi mendapatkan perlindungan maksimum keseluruhan penduduk (perlindungan kelompok). Untuk penyakit pneumokokus, perlindungan kelompok mungkin boleh dicapai dengan liputan vaksin yang lebih rendah

Kesan sampingan

PCV dan PPSV telah berada di pasaran bertahun-tahun lamanya dan secara umumnya adalah selamat. Antara kesan sampingan biasa selepas suntikan ialah:

  • Bengkak atau kemerahan di tempat suntikan.
  • Keletihan atau mengantuk.
  • Hilang selera makan buat sementara waktu.
  • Demam ringan (demam panas jarang terjadi tetapi boleh berlaku).
  • Rasa cerewet atau cepat marah.

 Penting untuk orang dewasa

  • Remaja dan orang dewasa perlu divaksin sekiranya mereka:
  • tinggal di kawasan padat seperti asrama.
  • melancong ke kawasan meningitis (di kawasan Afrika sub-Sahara, dari Senegal di barat sehingga ke Ethiopia di timur).
  • berumur 50 tahun ke atas.
  • mempunyai sistem imun yang lemah, dll.

Tindakan ini bukan sahaja mampu mencegah penyakit pneumokokus, malah melindungi anak anda dan anda sendiri daripada menjadi pembawa yang menyebarkan penyakit pneumokokus.

Sumbangan daripada Persatuan Pediatrik Malaysian.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen