Pengasuhan Positif

Vape: Apa yang Ibu Bapa Harus Tahu

Vape telah diperkenalkan sebagai alternatif yang “kurang berbahaya” berbanding rokok biasa, atau satu cara untuk berhenti merokok. Bagaimanapun, bukti terkini menunjukkan bahawa penggunaan peranti ini mempunyai risiko dan bahaya tersendiri.

Rokok baharu yang terkenal

Produk vape dikenali dengan beberapa nama, contohnya, vape, rokok elektronik, pen vape, sistem tangki, mod atau sistem penghantaran nikotin elektronik (ENDS). Peranti yang berkuasa bateri ini akan memanaskan cecair vape untuk menghasilkan aerosol/ wap yang disedut. Penggunaan vape dikenali sebagai “vaping” atau“JUUL-ing” (dinamakan daripada jenama vape terkenal).

Ringkasan kesan buruk

  • Kebanyakan cecair vape mengandungi nikotin, yang boleh membawa ketagihan dan berbahaya kepada otak yang sedang berkembang.
  • Asap vape tidak selamat untuk bayi, kanak-kanak, remaja sehingga usia pertengahan 20-an dan ibu mengandung.
  • Perkembangan otak bermula ketika bayi masih di dalam rahim dan berterusan sehingga usia 25 tahun. Pada usia ini, otak manusia boleh terjejas menerusi pendedahan kepada nikotin.
  • Kesan berbahaya daripada pendedahan nikotin kepada otak yang sedang berkembang akan kekal walaupun selepas seseorang itu berhenti vape.
  • Cecair vape juga mengandungi sejumlah bahan kimia lain. Sesetengahnya boleh menyebabkan kanser serta kerosakan teruk atau berkekalan pada peparu.
  • Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) di Amerika Syarikat memberi amaran bahawa anak muda yang menggunakan vape lebih cenderung untuk merokok kelak dewasa. Mereka juga lebih cenderung untuk menjadi perokok tegar.
  • Terdapat kajian ke atas pelajar universiti bahawa mereka yang menggunakan vape berisiko lebih tinggi untuk mempunyai ketagihan terhadap bahan lain seperti penggunaan dadah.

Rokok elektronik atau vape: apakah bezanya?

Secara teknikal, vape dan cecair vape sepatutnya bebas nikotin, manakala rokok elektronik mengandungi nikotin, tetapi hakikatnya tidak begitu. Penyelidikan oleh CDC mendapati bahawa 99% cecair vape mengandungi sejumlah nikotin walapun dilabel“0% nikotin”.

JUUL, salah satu jenama rokok elektronik paling laris dalam kalangan remaja dan anak muda di Amerika, mengandungi nikotin yang tinggi. Satu pod mungkin mengandungi nikotin yang didapati dalam 20 batang rokok.

Menurut Dr Yen Teck Hoe, nikotin ialah bahan yang boleh menyebabkan ketagihan, yang terkandung dalam produk tembakau serta rokok elektronik dan sejumlah cecair vape. Nikotinlah yang menjadikan pengguna ketagih kepada vape.

Pakar perunding psikiatri itu berkata, “Otak kita terus berkembang sejak bayi sehingga usia 25 tahun. Nikotin berbahaya kepada otak yang berkembang. Ia boleh menjejaskan pembelajaran dan sukar menumpu perhatian. Ia memberi kesan kepada mood dan menyukarkan seseorang remaja untuk mengawal keinginannya. Nikotin juga mengubah cara otak berkembang dan berfungsi, dan boleh meningkatkan kecenderungan seseorang untuk menjadi ketagih kepada bahan lain. Gangguan ini boleh meninggalkan kesan berpanjangan walaupun selepas seseorang itu berhenti menggunakan vape atau rokok.”

Tanda-tanda ketagih nikotin

Menurut Dr Yen, kanak-kanak lebih mudah mengalami ketagihan nikotin dan mungkin menunjukkan perlakuan berikut jika mereka tidak dapat ‘sedutan’:

  • Mudah marah dan kecewa
  • Ketagih sesuatu
  • Keresahan dan/atau kemurungan
  • Sukar memberikan tumpuan
  • Prestasi terganggu
  • Mood tidak stabil

Apakah kandungan cecair vape?

Datuk Dr Zulkifli Ismail menjelaskan, “Kajian terhadap 120 jenis cecair isian semula vape yang berbeza telah mendapati bahawa kesemuanya mengandungi bahan-bahan yang dianggap berbahaya kepada kesihatan.Tanpa kawalan ke atas kandungan atau label maklumat produk vape, sukar untuk kita tahu komponen sebenar setiap cecair vape.”

Pengerusi Program Pengasuhan Positif itu juga menambah,“Ramai pengilang vape cuba menjadikan produk mereka lebih menarik dengan menambah perasa. Bagaimanapun, bahan-bahan yang selamat dimakan boleh jadi berbahaya apabila disedut ke dalam peparu.”

Penambah perasa seperti diasetil menyebabkan keradangan dan parut pada peparu yang mengakibatkan kerosakan teruk. Tambahan lagi, cecair vape boleh menyebabkan kekeringan dan iritasi kepada saluran pernafasan atas. Penggunaan yang kerap boleh menyebabkan kegatalan, bersin, pendarahan hidung, batuk kering dan sakit tekak. Mereka yang mempunyai penyakit pernafasan seperti asma mungkin akan mengalami simptom yang semakin teruk.

Komponen berbahaya lain dikesan di dalam cecair vape termasuklah bahan kimia yang boleh menyebabkan kanser seperti formaldehid dan besi berat seperti nikel, tin dan plumbum. Sesetengah penyediaan juga mengandungi tetrahidrokanabinol (THC), iaitu bahan psikoaktif utama dalam kanabis atau ganja yang menghasilkan sensasi khayal.

“Kita masih tidak tahu seteruk mana kesan berbahaya yang disebabkan oleh vape. Cecair vape masih lagi baru berbanding rokok biasa. Kepada mereka yang mengatakan bukti masih kurang, ingatlah bahawa ini tidak bermaksud vape tidak berbahaya, kerana komuniti sains akan mengambil masa untuk mengumpulkan bukti bahaya jangka panjang, terutamanya dengan pelbagai cecair vape yang mengandungi bahan-bahan yang diketahui berbahaya,” tegas Datuk Dr Zulkifli.

Asap vape akan memberi kesan berbahaya kepada sesiapa sahaja yang terdedah kepadanya. Seseorang juga berisiko mengalami keracunan jika cecair vape ditelan, atau apabila cecair yang tumpah dihidu atau menyerap ke kulit.

Lebih teruk lagi, letupan dan kebakaran pernah berlaku disebabkan peranti vape, mengakibatkan kejadian melecur, kecederaan yang serius, malah kematian dalam beberapa kes ekstrem.

Amaran!

Kecederaan peparu berkaitan penggunaan rokok elektronik atau produk vape ialah satu masalah kesihatan. Pada 2019, CDC menerima lebih 2500 laporan kemasukan ke hospital di Amerika untuk kecederaan peparu yang serius akibat penggunaan produk vape dan rokok elektronik.

Sesetengah daripada mereka sebelum ini sihat, tetapi kini mengalami kecederaan peparu yang serius dan perlu menggunakan alat bantuan pernafasan. Kematian juga telah dilaporkan. Pegawai kesihatan awam di Amerika telah mengesyorkan larangan penggunaan rokok elektronik.

Remaja menjadi sasaran

Dr Mary Marret menerangkan,“Walaupun produk vape pada asalnya dihasilkan untuk membantu orang dewasa berhenti merokok, ia kini direka dan dipromosikan untuk menarik remaja dan belia. Taktik yang digunakan adalah sama dengan yang digunakan untuk mempromosikan rokok dahulu. Namun, kini terdapat peraturan yang melarang pengiklanan tembakau dan produk berkaitan.”

Pakar perunding pediatrik itu turut menambah bahawa anak muda mempunyai perasaan ingin tahu dan mudah tertarik oleh perasa vape yang menarik seperti buah dan gula-gula. Produk vape juga mempunyai reka bentuk bergaya seperti pen, jam tangan, pemacu USB, lipstik atau celak mata. Alat ini kecil dan boleh dibawa ke mana-mana atau disembunyikan tanpa menarik perhatian.

Tidak seperti rokok, peraturan yang mengehadkan jualan produk vape belum diperkenalkan lagi. Tidak banyak kedai fizikal yang menjual vape dan produk berkaitan di Malaysia, dan jualan cecair vape yang mengandungi nikotin juga tidak dibenarkan. Bagaimanapun, penguatkuasaan masih samar dan produk vape masih mudah didapati dalam talian.

Vape vs rokok biasa: kebenarannya

Vape telah dipromosi sebagai satu cara untuk perokok berhenti merokok. Bukti bahawa vape ialah cara berkesan untuk berhenti merokok sebenarnya agak terhad. Kajian menunjukkan bahawa ramai yang mencuba cara ini akan menggilirkan vape dengan rokok atau bertukar sepenuhnya kepada vape, dan hanya sedikit yang benar-benar berhenti merokok. Lebih baik jika kita promosikan kaedah berhenti merokok yang lain yang lebih berkesan agar tidak mendedahkan perokok dan orang berdekatan kepada toksin berbahaya.

Sebaliknya, sejumlah kajian menunjukkan bahawa ramai yang tidak merokok (terutamanya remaja dan anak muda) yang mula menggunakan vape perlahanlahan beralih kepada rokok. Kajian menunjukkan bahawa remaja yang bermula dengan vape akhirnya menjadi perokok tegar. Anak muda yang bermula dengan vape juga lebih mudah ketagih kepada bahan-bahan lain seperti dadah terlarang.

Dr Mary memberikan amaran bahawa ramai yang mempunyai tanggapan salah bahawa vape adalah ‘selamat’ kerana cara vape dipasarkan. Walaupun tidak sebahaya rokok biasa, vape mungkin mengandungi nikotin yang menagihkan, dan bahan-bahan lain yang berbahaya kepada kesihatan.

Peranan ibu bapa

“Ibu bapa perlu menjadi contoh yang baik – ingatlah, anak-anak lebih cenderung untuk tidak merokok jika mereka membesar dalam persekitaran tanpa perokok atau pengguna vape. Jika anda merokok atau menggunakan vape, anda mendedahkan diri anda dan keluarga kepada bahaya,” pesan Datuk Dr Zulkifli.

Berhati-hati dan awasi aktiviti anak anda serta kenali rakanrakan mereka. Mereka mungkin mudah terpengaruh untuk memulakan tabiat ini jika rakanrakan melakukannya. Perhatikan tanda-tanda yang menunjukkan mereka mungkin menggunakan vape, serta tanda-tanda ketagih nikotin.

Kerajaan Malaysia sedang berusaha untuk mewujudkan undang-undang dan peraturan lebih ketat ke atas produk rokok elektronik atau vape. Di India, kerajaan mereka telah mengharamkan jualan rokok elektronik susulan “wabak” vape dalam kalangan belia India. Untuk membantu anak-anak kita, kita perlu menyokong undang-undang dan dasar yang mengehadkan akses dan pengiklanan produkproduk ini.

Beliau juga mencadangkan,“Sebagai ibu bapa, kita tidak harus menunggu undang-undang baharu untuk diperkenalkan, tetapi mulakanlah dengan mendidik anak-anak kita. Berbincanglah dengan anak-anak anda tentang bahaya vape dan rokok. Mulakan sejak awal, semasa mereka berada di tadika dan sekolah rendah. Jika anda merokok atau pengguna vape dan sukar berhenti, dapatkan bantuan dan nasihat profesional.”

Tanda-tanda pengguna vape

  • Bau manis: Banyak cecair vape berperasa mempunyai bau manis dan kuat yang biasanya melekat pada nafas, rambut, kulit dan pakaian.

  • Pen/pemacu USB/jam tangan/gincu yang kelihatan aneh: Jika anak anda sentiasa membawa alat-alat ini ke mana-mana walaupun tidak diperlukan, itu mungkin peranti vape yang berbentuk seperti objek harian.
  • Rasa dahaga dan/atau hidung berdarah yang meningkat: Penggunaan vape mengeringkan mulut dan hidung, lalu menjadikan penggunanya sentiasa dahaga. Mereka juga mungkin kerap berdarah hidung. Tanda-tanda lain termasuklah sering pening, sakit kepala dan keletihan/mengantuk.

  • Sudah tidak gemar kopi: Sesetengah pengguna vape menjadi sensitif kepada kopi. Jika seorang pencinta kopi mula menjauhi kopi, itu mungkin tanda dia menggunakan vape.

  • Selera berkurangan: Selera berkurangan dan kehilangan berat badan boleh jadi kesan nikotin.
  • Benda atau sampah pelik: Awasi benda pelik yang dimiliki anak anda atau di dalam sampah rumah anda, seperti bebola kapas, lingkaran besi kecil, pod cecair vape, dan vape pakai buang. Jika ada bateri cas semula (bukan jenis AA atau AAA yang biasa) atau pengecas yang anak anda tidak dapat jelaskan, itu juga mungkin satu tanda.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen