Pengasuhan Positif

Cegah Batuk Kokol Sejak Kehamilan

Pertusis atau batuk kokol sedang meningkat dan ia boleh membawa maut kepada bayi anda. Vaksinasi semasa kehamilan adalah bagaimana si ibu boleh menyediakan perlindungan awal kepada bayi mereka.

Kebanyakan ibu bapa tahu bahawa pertusis adalah salah satu penyakit yang boleh dicegah dengan vaksin dan kita boleh memberikan vaksinasi kepada anak-anak dengan vaksin DTaP (difteria, tetanus, pertusis) di bawah Program Imunisasi Kebangsaan (NIP). Namun, jumlah kes pertusis di Malaysia sejak beberapa tahun kebelakangan ini telah meningkat ke tahap yang membimbangkan. Daripada 41 kes pada 2010, jumlah itu meningkat kepada 892 kes pada tahun 2018 (Pertubuhan Kesihatan Sedunia), dengan 22 kematian direkod (Kementerian Kesihatan).

Pelbagai faktor mungkin telah menyumbang kepada peningkatan pertusis. Pertusis ialah penyakit yang amat mudah berjangkit, oleh itu, terdapat trend kemunculan wabak pertusis setiap dua ke lima tahun. Walaupun kadar liputan vaksin bagi vaksin DTaP di Malaysia boleh dikira tinggi, terdapat peningkatan jumlah ibu bapa yang enggan memberikan vaksin kepada anak-anak mereka daripada 637 kes (2013) ke 1404 kes (2017). Faktor lain yang menyumbang kepada peningkatan pertusis termasuklah pengesanan lebih baik bagi kes pertusis sederhana dan abnormal, serta keimunan yang merosot dalam kalangan remaja dan orang dewasa yang mungkin menyebarkan penyakit itu kepada bayi dan kanak-kanak yang tidak menerima vaksin.

Kenapa harus ambil vaksin semasa hamil?

Pertusis ialah penyakit serius yang boleh membawa maut kepada bayi. Bagaimanapun, bayi hanya boleh menerima vaksin DTaP bermula usia dua bulan. Untuk mengelakkan jurang perlindungan (0-8 minggu selepas kelahiran), iaitu semasa bayi amat mudah terkena penyakit, ibu disyorkan untuk mendapatkan vaksinasi semasa trimester ketiga atau antara minggu ke-16 dan ke-32 ketika hamil.

Antibodi yang dihasilkan oleh si ibu selepas vaksinasi boleh dipindahkan menerusi plasenta kepada bayi mereka. Antibodi ini akan memberikan perlindungan pasif kepada bayi semasa beberapa minggu terawal dalam hidup mereka. Ini juga akan melindungi ibu daripada jangkitan dan mengelakkan risiko menyebarkan penyakit itu kepada bayi selepas bersalin. Vaksinasi semasa tempoh kehamilan yang disyorkan itu akan memastikan pemindahan antibodi yang optimum daripada seorang ibu kepada bayinya, kerana tahap antibodi adalah tertinggi selepas dua minggu menerima vaksin.

Vaksin apakah yang akan diberikan?

Vaksin yang disyorkan untuk wanita hamil ialah vaksin Tdap, iaitu suntikan penggalak satu dos bagi orang dewasa untuk perlindungan daripada tetanus, difteria dan pertusis. Satu suntikan disyorkan setiap kali hamil, sebaiknya ketika awal trimester ketiga. Vaksin Tdap berbeza daripada vaksin DTaP yang diberikan kepada bayi dalam tiga dos pada bulan ke-2, ke-3 dan ke-5, serta suntikan penggalak pada bulan ke-18.

Kenali penyakit ini

Pertusis ialah penyakit pernafasan yang amat mudah berjangkit disebabkan oleh bakteria Bordetella pertussis.

Simptom

  • Batuk teruk berulangan
  • Kesukaran atau berhenti bernafas
  • Mengeluarkan bunyi “nyaring” atau desisan nafas antara batuk (bayi mungkin tidak menunjukkan simpton ini)
  • Muntah-muntah selepas batuk

Komplikasi

  • Dehidrasi
  • Kesukaran bernafas
  • Pneumonia
  • Sawan

Vaksinasi semasa kehamilan adalah salah satu cara untuk memastikan perlindungan daripada pertusis (dan penyakit lain) bagi bayi baru lahir, yang mungkin dijangkiti sebelum mereka bersedia menerima vaksinasi sendiri yang dijadualkan dalam NIP. Ketika tempoh ini, sistem imun bayi masih belum berkembang dan mudah dijangkiti penyakit. Orang di sekeliling bayi juga harus mempertimbangkan untuk mengambil vaksinasi (cocooning) kerana mereka boleh menjadi pembawa dan secara tidak sengaja menyebarkan penyakit itu kepada bayi.

Vaksinasi dan kehamilan

Hanya vaksin tertentu yang disyorkan semasa kehamilan, contohnya vaksin Tdap (pertusis), influenza dan HepB (hepatitis B). Vaksin lain mungkin disyorkan sebelum atau selepas kehamilan bergantung kepada keadaan anda. Berundinglah dengan pakar perubatan semasa merancang kehamilan dan patuhi cadangan mereka tentang vaksinasi. Jangan teragak-agak untuk bertanya sebarang soalan jika ada keraguan.

Dengan kerjasama Persatuan Obstetrik dan Ginekologi Malaysia.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen