Pengasuhan Positif

Vaksin Pneumokokus: Sudah Tiba Masanya!

Fakta: 12.7% daripada keseluruhan kematian di Malaysia pada 2017 disebabkan oleh pneumonia. – Jabatan Statistik Malaysia

Pneumonia adalah penyebab kematian kedua tertinggi selepas penyakit jantung di Malaysia. Di peringkat global, penyakit pneumokokus adalah punca utama bagi kematian boleh dicegah vaksin dalam kanak- kanak bawah lima tahun. Satu langkah yang boleh mencegah statistik ini menjadi makin teruk ialah vaksinasi.

Apakah itu penyakit pneumokokus?

Penyakit pneumokokus berlaku apabila badan dijangkiti Streptococcus pneumoniae atau lebih dikenali sebagai pneumokokus. Penyakit ini terbahagi kepada dua bentuk: penyakit invasif dan tidak invasif. Penyakit pneumokokus invasif terdiri daripada pneumonia (jangkitan peparu), meningitis (jangkitan pada membran yang meliputi otak dan saraf tunjang) dan septisemia (jangkitan darah). Manakala, bentuk tidak invasif termasuk jangkitan telinga tengah dan sinusitis.

Kanak-kanak bawah dua tahun, warga emas dan pesakit kronik berisiko lebih tinggi mendapat penyakit pneumokokus, lalu mendedahkan mereka kepada komplikasi serius bergantung pada bahagian badan yang dijangkiti. Ini termasuklah kerosakan otak, fungsi peparu terjejas, kehilangan pendengaran, kehilangan upaya mental/fizikal dan kematian.

Apakah kosnya?

Penyakit pneumokokus dan komplikasinya membawa beban perbelanjaan yang tinggi kepada pesakit dan keluarga. Kos langsung termasuklah rundingan, ubatan, kemasukan hospital, ujian diagnostik dan pembedahan, bermula daripada rawatan pra- kemasukan sehingga rawatan susulan. Walaupun pesakit itu dimasukkan ke hospital kerajaan, kos itu masih perlu ditanggung kerajaan. Kos lain termasuklah kesan komplikasi, pengangkutan, tempat tinggal, makanan, dan sebagainya.

Selain itu, ibu bapa harus memikirkan penjagaan anak mereka. Mereka mungkin terpaksa mengambil cuti, lalu menjejaskan produktiviti dan kestabilan kerjaya. Menumpukan perhatian pada anak yang sakit teruk juga mungkin menjejaskan hubungan mereka dengan ahli keluarga lain. Beban kewangan dan emosi ini boleh mengganggu kehidupan seharian, menyebabkan tekanan besar kepada keluarga, terutamanya daripada kumpulan berpendapatan rendah hingga pertengahan.

Vaksin atau tidak?

Penambahan vaksin pneumokokus dalam Program Imunisasi Kebangsaan (NIP) akan menyediakan perlindungan inklusif terhadap penyakit pneumokokus, terutamanya bagi kumpulan paling berisiko: orang asli dan kanak-kanak di kawasan luar bandar, estet perladangan dan di pedalaman Sabah dan Sarawak.

Vaksin konjugat pneumokokus (PCV) disyorkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai keutamaan untuk disertakan dalam NIP bagi kanak-kanak. PCV7 (meliputi 7 strain pneumokokus) pertama kali didapati di Malaysia pada 2005 sebagai vaksin tambahan. Kemudian, PCV10 dan PCV13 juga diperkenalkan di pasaran swasta.

Terdapat kemajuan beransur- ansur sejak itu. Pada 2014, penilaian oleh Kementerian Kesihatan menyimpulkan bahawa PCV selamat, berkesan dan berpatutan, tetapi kekangan belanjawan menghalang kemasukannya ke dalam NIP. Pada 2016, kumpulan risiko tinggi mula menerima vaksinasi PCV di hospital dan klinik Kementerian Kesihatan, dan pada 2017, kerajaan negeri Selangor memasukkan PCV di bawah inisiatif Peduli Sihat. Namun begitu, PCV masih belum dimasukkan dalam NIP setakat ini.

Mampukah ia dilaksanakan?

Cabaran terbesar bagi matlamat ini ialah faktor ekonomi. Bagaimanapun, beberapa kajian berhubung kebolehlaksanaan vaksinasi PCV kanak-kanak secara universal di Malaysia telah menunjukkan bahawa kosnya berpatutan menurut kiraan had yang disyorkan WHO, dan bermanfaat dalam jangka masa panjang.

Anggaran faedah kumulatif selama lima tahun:

  • Penurunan kematian: 792 kes
  • Penurunan penyakit pneumokokus invasif: 1,920 kes
  • Penurunan pneumonia: 58,677 kes
  • Penurunan otitis media akut: 322,228 kes

Anggaran penjimatan kos perubatan langsung/ tidak langsung selama lima tahun: RM499 juta

Contoh global

Di Afrika Selatan, pengenalan PCV dalam NIP mereka mengurangkan kes penyakit pneumokokus invasif sebanyak 300%. Di Taiwan, peralihan daripada PCV7 kepada PCV13 dalam NIP mereka membawa kepada pengurangan kes yang signifikan dalam kalangan warga emas dan kanak-kanak kerana majoriti kes disebabkan oleh serotip yang tidak dilindungi oleh vaksin sebelumnya.

Walaupun pelaburan awal memerlukan jumlah besar, nyawa yang dapat diselamatkan adalah tidak ternilai. Lama kelamaan, ini akan menyumbang kepada penjimatan kos perubatan langsung dan tidak langsung yang berkaitan dengan penyakit pneumokokus dan penambahbaikan kepada kualiti hidup rakyat, termasuklah mengurangkan gangguan pembelajaran dan meningkatkan produktiviti.

Berita baiknya – kerajaan telah mengumumkan dalam Belanjawan 2020 bahawa RM60 juta akan diperuntukkan bagi memasukkan vaksin pneumokokus ke dalam NIP. Ini adalah langkah tepat oleh kerajaan dan akan menjadi pelaburan penting untuk generasi masa depan dan pembangunan negara.

Sumbangan daripada Persatuan Pediatrik Malaysian.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen