Pengasuhan Positif

Langkah Keselamatan Renang untuk Kanak-kanak

Berenang memang menyeronokkan tetapi ibu bapa harus mementingkan keselamatan sebelum membenarkan anak mereka turun ke dalam kolam renang.

Apabila anak anda berada di dalam kolam renang, sebagai ibu bapa, amat penting untuk anda menumpukan perhatian sepenuhnya kepada anak anda yang berada di dalam air.

Saya masih ingat satu kejadian yang saya saksikan sebelum ini, yang boleh menjadi pengajaran kepada ibu bapa tentang bahaya apabila tidak menumpukan perhatian di dalam air. Sebagai guru renang, saya sudah biasa memainkan peranan sebagai pengajar dan juga peneman kepada anak-anak saya di dalam air. Tetapi tidak semua orang begini. Kami berada di kolam renang ketika itu, apabila anak lelaki saya memaklumkan ada kanak- kanak perempuan yang memerlukan bantuan.

Kanak-kanak itu, berumur empat atau lima tahun, sedang bergelut di dalam air. Anak lelaki saya, yang sudah dilatih, ialah orang pertama yang mencapai dan menolaknya ke dinding supaya dia boleh berpaut pada dinding untuk keselamatan. Tetapi dalam kekalutan ini, bapa kanak-kanak itu masih sibuk dengan telefonnya sebelum menyedari apa yang berlaku kepada anaknya. Apa-apa sahaja boleh berlaku jika kami tiada di situ.

Sebagai guru renang dan seorang ibu, saya sentiasa mengingatkan ibu bapa lain tentang langkah keselamatan di kolam renang. Ambillah masa untuk memastikan anak anda berenang dalam persekitaran yang selamat. Amalkan panduan berikut.

Menilai kawasan tersebut. Sebelum anda membawa anak anda pergi berenang, anda perlu mempertimbangkan risiko di kolam itu.

  • Periksa kedalaman kolam. Adakah anda dan anak anda selesa dengan kedalaman ini, dan jika sesuatu berlaku, mampukah anda dan anak anda mendapatkan bantuan atau keluar dari situ dengan mudah?

  • Adakah pengawal kolam bertugas? Jika anda tidak berenang bersama anak anda, pastikan kolam itu mempunyai pengawal kolam terlatih bertugas sepanjang masa.

Saya amat mengesyorkan ibu bapa berenang bersama anak mereka kerana itulah cara terbaik untuk memastikan keselamatan anak anda di dalam air. Jika anda tidak dapat berenang bersamanya, pastikan tiada apa yang mengalih perhatian atau mengganggu anda di luar kolam. Anda harus memberikan sepenuh perhatian dan masa kepada anak anda dan mengawasi mereka di dalam air, tidak kira sama ada pengawal kolam bertugas atau tidak.

Guna kelengkapan yang betul

Berhati-hati dengan pelampung jika anda membenarkan anak anda berada di dalam kolam tanpa pengawasan pengawal kolam atau jurulatih.

Penggunaan pelampung leher tidak berapa baik dan saya tidak mengesyorkannya. Kepala kanak-kanak biasanya lebih berat berbanding badan mereka. Mereka tidak boleh berpusing ke sisi atau mengangkat diri mereka keluar dari air jika perlu. Jika seorang kanak-kanak terbalik, mereka tidak dapat bangun semula sendiri.

Pelampung lengan adalah selamat kerana kanak-kanak boleh bergerak bebas dengan pelampung ini, tetapi pelampung jenis ini biasanya memperlahankan pembelajaran renang kanak-kanak. Saya lebih suka pelampung panjang walaupun saya percaya masih terdapat risiko tertentu yang dikaitkan dengan pelampung ini.

Walaupun dengan pelampung dan langkah keselamatan lain, saya masih percaya jika anda bawa anak anda
berenang, cara terbaik adalah untuk berada bersamanya di dalam kolam kerana tiada yang boleh menggantikan pengawasan secara langsung.

Bersedialah!

Akhir sekali, saya mengesyorkan setiap ibu bapa menyertai kursus CPR (cardiopulmonary resuscitation). CPR menambah beberapa saat yang bernilai semasa menyelamatkan nyawa seseorang. Minta pakar pediatrik atau hospital berdekatan anda untuk mengesyorkan kursus yang sesuai jika anda berminat untuk mempelajari kemahiran ini. Ingat, seorang kanak- kanak berisiko untuk lemas walaupun dengan air yang sedikit dan kejadian lemas boleh berlaku dalam beberapa saat.

Berenang bersama anak anda bukan sahaja boleh mengeratkan hubungan, tetapi juga cara terbaik untuk melindungi mereka. Mengajar mereka berenang memberikan mereka kemahiran hidup yang berguna dan melindungi mereka daripada lemas. Oleh itu, untuk atasi ketakutan anda, amalkan langkah keselamatan dan nikmati aktiviti air bersama anak anda. Kita akan melihat beberapa senaman agar anda dapat mengajar anak anda cara berenang dalam artikel ini.

Erika ialah seorang graduan Pendidikan Jasmani dengan pengkhususan dalam perkembangan kanak-kanak dan bayi melalui aktiviti sukan dan akuatik. Beliau seorang Guru Keselamatan Air dan Bayi AustSwim yang diperakui dan juga pemegang sijil Tahap 2 daripada Persatuan Jurulatih Renang Amerika (ASCA) dengan lebih 10 tahun pengalaman mengajar bayi dan kanak-kanak.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen