Pengasuhan Positif

Kembalinya VPD

Sudahkah anda dengar tentang peningkatan penyakit yang boleh dicegah melalui vaksin (vaccine-preventable disease, VPD)? Penyakit yang dahulunya hampir dihapuskan kini kembali semula dan dilaporkan dalam berita. Ini termasuklah penyakit seperti difteria, campak, pertusis, tetanus dan baru- baru ini, polio.

Degil dan enggan

Beberapa tahun kebelakangan ini, sentimen antivaksin semakin menular. Sesetengah ibu bapa enggan memberikan vaksin kepada anak mereka atas sebab tidak saintifik, termasuklah kerana kepercayaan peribadi, agama atau prinsip, dan kebimbangan keselamatan yang tidak berasas. Ini semua telah banyak kali dibuktikan salah, tetapi masih ada yang menyebarkan fahaman ini lalu meneruskan kewujudan maklumat palsu ini.

Ini membawa kepada kemunculan semula penyakit campak di Albania, Republik Czech, Greece, United Kingdom dan Amerika Syarikat, di mana sebelum ini ia telah diumumkan terhapus. Malaysia menghadapi situasi sama iaitu penyakit yang hampir dihapuskan muncul semula, termasuklah difteria, pertusis (batuk kokol) dan campak. Malah, beberapa kematian dilaporkan akibat meningkatnya bilangan ibu bapa yang enggan memberikan vaksin kepada anak mereka.

Membina imuniti kelompok

Kanak-kanak yang tidak divaksin tidak mempunyai sebarang bentuk perlindungan terus dan mudah diserang jangkitan jika terdedah. Satu- satunya perlindungan mereka daripada penyakit-penyakit ini ialah “imuniti kelompok” yang berkesan hanya apabila majoriti besar penduduk telah divaksin (>95% untuk campak).

Ini membantu mewujudkan “penampan” yang mencegah penyakit merebak dengan mudah, lalu melindungi individu yang tidak divaksin dan/atau lemah seperti pesakit dengan sistem imun yang lemah. Penolakan vaksin yang semakin meningkat melemahkan imuniti kelompok dan menjadikannya tidak berkesan dalam mencegah wabak.

Alasan lemah bagi penolakan vaksin

Sebab paling umum bagi ibu bapa yang enggan memberikan vaksin kepada anak mereka adalah kerana pengaruh orang lain atau apa yang mereka terbaca di internet atau media. Kisah-kisah ini biasanya disensasikan untuk menjadikannya lebih “hangat” dan biasanya mengetengahkan kejadian terpencil atau jarang berlaku di mana seorang kanak-kanak mengalami kesan sampingan vaksin yang tidak diduga. Kisah-kisah ini kemudiannya dikaitkan dengan mitos atau laporan tentang pelbagai masalah lain, seperti vaksin mengandungi bahan kimia berbahaya (contohnya, merkuri, thimerosal), menyebabkan kerosakan otak atau masalah perlakuan – yang semuanya langsung tidak benar!

Kebimbangan lain yang boleh membawa kepada penolakan (contohnya, takut kepada jarum, bimbang mendapat penyakit yang sepatutnya dilawan vaksin, imuniti semula jadi lebih baik, tidak perlu vaksin kerana penyakit telah dihapuskan, dsb.) juga sebahagian daripada rantaian mitos yang masih wujud. Penolakan vaksin pada asasnya bermula daripada kejahilan, jadi dapatkan fakta yang betul dan pastikan ia diperoleh daripada sumber yang boleh dipercayai! “Universiti Google” bukan pilihan terbaik kerana bukan mudah untuk mencari sumber maklumat boleh dipercayai melainkan anda tahu caranya.

Jangan mudah percaya apa yang anda baca atau dengar terutamanya daripada seseorang yang terdengar daripada orang yang lain! Sentiasa sahkan kesahihan sebarang dakwaan dengan bertanya kepada pihak autoriti kesihatan atau pakar pediatrik.

Mitos lazim

Satu kajian oleh Dr Andrew Wakefield yang sudah dibuktikan salah, mengaitkan vaksin MMR dengan autisme, lalu mencetuskan mitos bahawa ‘vaksin menyebabkan autisme’. Ini langsung tidak benar! Vaksin tidak menyebabkan autisme dalam kalangan kanak- kanak yang telah divaksin dan bukan juga sebuah konspirasi terhadap sebarang kaum!

Status halal vaksin tidak sepatutnya menjadi isu memandangkan Majlis Fatwa Kebangsaan telah mengeluarkan satu kenyataan bahawa semua vaksin yang disediakan oleh kerajaan adalah halal. Begitu juga dengan vaksin yang diperoleh daripada hospital swasta – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah mengeluarkan kenyataan akhbar pada 24 Jun 2016 menyatakan vaksin harus diambil kerana tujuannya adalah untuk mencegah penyakit yang berpotensi membawa maut, malah JAKIM turut menggalakkan ibu bapa mengambil langkah sewajarnya untuk memastikan keselamatan dan kesihatan anak mereka.

Sebelum anda berfikir untuk menghalang anak anda daripada divaksin, pertimbangkan risiko dan komplikasi penyakit dahulu. Jika anda masih ada ketakutan, kebimbangan atau keraguan, berbincanglah dengan pakar pediatrik atau pihak kesihatan dan dapatkan maklumat yang benar. Percayalah, vaksinasi berkesan dan telah terbukti mencegah penyakit dan berpotensi menyelamatkan nyawa.

Sumbangan daripada Persatuan Pediatrik Malaysian.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen