Pengasuhan Positif

Bicara Tentang Cinta

Anda mungkin menggelarnya cinta monyet, tapi anda tidak boleh menghalang anak remaja anda daripada mempunyai perasaan romantik terhadap seseorang. Inilah fasa yang ibu bapa dan remaja harus lalui apabila tiba masanya.

Kita semua tahu bahawa ibu bapa perlu menjelaskan kepada anak remaja mereka tentang seks, cinta dan hubungan. Tetapi kita biasanya cenderung untuk menumpukan kepada aspek kesihatan fizikal sehingga lupa tentang sisi emosi – bagaimana untuk menyayangi dan disayangi. Sesetengah ibu bapa mungkin tidak sedar pun anak mereka sedang bercinta! Masih ramai ibu bapa melihat percintaan sebagai perkara negatif dan ini boleh mendorong anak anda untuk merahsiakannya.

Bagi menghadapi fasa ini, ibu bapa harus berfikiran terbuka tentang hubungan cinta, supaya anak mereka selesa untuk berkongsi kebimbangan mereka, lalu membolehkan ibu bapa memberikan panduan yang sewajarnya. Hubungan yang sihat boleh memberikan pengalaman positif dalam membentuk identiti seseorang anak dan mempersiapkannya untuk hubungan pada masa hadapan apabila dewasa. Tanpa panduan orang dewasa, remaja boleh terjebak dalam hubungan tidak sihat atau ganas yang akan menjejaskan kesejahteraan mereka.

Hubungan Sihat

  • Saling menghormati
  • Kepercayaan
  • Kejujuran
  • Kompromi
  • Jati diri
  • Sokongan
  • Komunikasi

Hubungan Tidak Sihat

  • Tiada rasa hormat
  • Permusuhan
  • Penipuan
  • Mengongkong
  • Kebergantungan
  • Ugutan
  • Keganasan

Panduan cinta remaja untuk ibu bapa

  • Keluar untuk berdating: Pada peringkat awal, dating berkumpulan, iaitu sekumpulan lelaki dan perempuan keluar bersama-sama, merupakan cara selamat dan sihat untuk anak remaja anda mula bersosial. Anda boleh benarkan dating berdua apabila dia mencecah umur lewat remaja dan lebih matang, berdikari dan bertanggungjawab (contohnya, apabila dia menghormati peraturan anda dan tahu menjauhkan diri daripada masalah). Didiklah anak lelaki anda untuk melayan pasangannya dengan hormat dan tidak melampaui batas, dan didiklah anak perempuan anda cara melindungi dirinya dan mengesan tanda bahaya. Kenali dengan baik pasangan dan lingkungan kawan mereka. Anda juga boleh menetapkan peraturan berdasarkan standard komuniti: melaporkan situasi setiap jam, pulang ke rumah sebelum waktu tertentu, dsb.
  • Perbualan  tentang cinta: Cinta ialah subjek yang menarik bagi remaja dan mereka memerlukan seseorang untuk menjawab persoalan mereka. Lebih baik jika ibu bapa yang mengambil peranan ini, daripada membiarkannya kepada orang luar atau internet. Beritahu anak remaja anda dia boleh bertanya sebarang soalan kepada anda – berfikirlah dengan terbuka dan jangan prejudis. Berbincanglah tentang hubungan sihat dan tidak sihat, etika hubungan atau kongsikan pengalaman anda dengannya. Perbualan ini boleh menjadi titik mula untuk membincangkan pendidikan seks dengannya. Malah, anda boleh mulakannya sebelum anak anda mempunyai perasaan romantik lagi.
  • Cinta monyet tetap cinta: Kebanyakan percintaan remaja tidak bertahan melebihi tempoh persekolahan, tetapi janganlah memandangnya dengan sinis. Elakkan daripada mengejek anak anda tentang hubungan cintanya kerana ini boleh memalukannya dan dia mungkin akan mengelak daripada berkongsi pendapat dan perasaan dengan anda. Perasaan cintanya tidak patut diperkecilkan kerana ia juga perasaan sebenar seperti perasaan lain yang dialaminya. Hubungan ini penting dalam membentuk identiti dan perwatakannya.
  • Bahaya dunia digital: Kecanggihan telefon pintar dan media sosial telah merumitkan lagi percintaan. Terdapat pelbagai aplikasi temu janji yang boleh dimuat turun; berjaga-jagalah kerana aplikasi sebegini mendedahkan anak remaja anda kepada pemangsa. Telefon pintar dan komputer riba peribadi juga memudahkan remaja untuk menyembunyikan hubungan mereka daripada ibu bapa. Ambil tahu tentang aplikasi atau laman web terkini yang remaja gunakan, dan galakkan mereka untuk bersikap terbuka tentang hubungan mereka.
  • Awasi keganasan: Keganasan berlaku dalam bentuk berbeza (emosi, fizikal atau seksual) dan kepada kedua-dua jantina. Malah, perbuatan menghendap juga boleh dianggap berbahaya. Awasi sebarang tanda atau perubahan dalam perlakuan anak remaja anda yang mungkin menandakan hubungan yang bahaya, contohnya lebam yang tidak dijelaskan, selalu murung, prestasi sekolah merosot, mengasingkan diri daripada keluarga dan kawan serta mengelak daripada bercakap tentang pasangan. Sentiasa bertanya tentang hubungannya dan dekatinya jika anda bimbang.
  • Tetapkan had: Cinta boleh mengganggu anak anda daripada perkara lain yang lebih utama. Apabila prestasi anak anda merosot di sekolah dan dia tidak lagi meluangkan masa bersama kawan lain, anda harus tetapkan had masa keluar berdating dan ingatkan tentang tanggungjawabnya.

Cantuman emosi. Ini berlaku apabila seseorang membentuk hubungan yang amat kuat dengan seseorang yang lain, lalu pilihan dan autonomi individu terjejas demi mengekalkan hubungan itu. Ini berlaku dalam hubungan yang kelihatan terlalu terdesak atau mengongkong. Hubungan seperti ini mempunyai toleransi yang rendah dan sensitiviti yang tinggi. Hubungan dengan cantuman emosi tidak sihat dan tidak akan bertahan lama. Hubungan yang sihat memerlukan dua individu dengan pemikiran yang sihat dan identiti yang stabil.

Ibu bapa cenderung untuk terlalu melindungi anak mereka dalam hal percintaan. Bagaimanapun, mengetahui siapa pasangan anak anda lebih baik daripada langsung tidak sedar tentang hubungan mereka. Hubungan percintaan tidak seharusnya menjadi sesuatu yang negatif dalam hidup seorang remaja, tetapi merupakan langkah awal bagi menikmati hidup berkeluarga yang bahagia dan sihat pada masa hadapan. Ibu bapalah yang perlu memulakan perbincangan yang terbuka dan berkongsi dengan anak remaja mereka supaya cinta dan hubungan mempunyai impak positif dalam hidup mereka.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen