Tahun 2019 hampir menutup tirai, dan sudah tiba masanya untuk kita merenungi pengalaman tahun ini dan bersedia untuk masa hadapan. Biasanya, azam Tahun Baharu banyak tertumpu pada matlamat peribadi seperti senaman, diet, berhenti merokok atau belajar dengan lebih rajin. Apa kata tetapkan azam Tahun Baharu bersama keluarga kali ini?
Kunci bagi mencapai azam keluarga dengan jayanya adalah dengan membuat komitmen sebagai sebuah unit. Dengan ini, setiap orang boleh memastikan semua ahli keluarga bertanggungjawab. Azam yang ingin dipenuhi haruslah dipersetujui oleh seluruh keluarga. Azam tersebut juga haruslah sesuatu yang mampu dicapai.
Mulakan dengan berkumpul bersama semua ahli keluarga (termasuklah anak-anak kecil!) untuk membincangkan azam yang mahu dicapai bersama keluarga. Ingat, pastikan anda berfikiran terbuka dan membenarkan semua orang menyumbang. Ini membolehkan semua orang terlibat dan komited untuk bekerjasama menjayakannya!
Dalam usaha mencapai sesuatu azam, mulakan secara beransur-ansur agar semua ahli keluarga boleh mengikutinya. Pertimbangkan perbezaan jadual, umur dan perwatakan masing-masing, tetapi jangan lupa untuk tetapkan sasaran utama bagi setiap azam yang mahu dicapai bersama. Lebih baik jika bermula dengan sesuatu yang mudah dicapai, jika tidak, ahli keluarga anda mungkin tertekan dan cepat putus asa!
Contohnya, jika niat anda adalah untuk meluangkan lebih banyak masa kualiti di luar bersama anak-anak sedangkan anda tidak pernah melakukannya sebelum ini, mulakan dengan aktiviti di taman permainan selama 15 minit setiap seminggu. Apabila semua orang sudah biasa dengan rutin ini, anda boleh meningkatkan kekerapan aktiviti ini, tempoh masa bermain, atau kedua-duanya.
Datuk Dr Zulkifli Ismail, Pengerusi Program Pengasuhan Positif, juga mencadangkan galakan yang sihat: “Kerjasama dan kesepakatan keluarga adalah penting. Pujilah anak anda apabila dia berjaya mencapai sasarannya dan galakkannya untuk berusaha mencapai azam keluarga yang telah dipersetujui sepanjang tahun. Minta anak anda untuk memastikan anda juga bertanggungjawab!”
Memulakan tradisi keluarga yang baharu akan mengambil masa dan usaha tetapi jika anda kekal komited, anda akan beransur- ansur mencapai matlamat untuk mengukuhkan hubungan ibu bapa dan anak-anak. Ini juga boleh memupuk jiwa muda para ibu bapa dan bermanfaat untuk mereka sebagai cara untuk menguruskan tekanan.
Dr Zulkifli berkata, “Sebagai ibu bapa, kesihatan anak anda bukan satu-satunya perkara yang anda harus bimbangkan. Hak anak anda untuk bermain juga penting, bahkan ia dimasukkan dalam Perkara 31 Konvensyen Pertubuhan Bangsa- bangsa Bersatu berkenaan Hak Kanak-kanak! Oleh itu, selain memastikan keselamatan, kesihatan dan keperluan pemakanannya dipenuhi, anda juga harus meluangkan masa berkualiti dengan bermain, bercakap, dan berhubung dengannya.”
Jangan risau jika anda buntu untuk memikirkan idea bagi azam keluarga – Pengasuhan Positif telah menyediakan satu senarai untuk memberikan anda idea… jika anda perlukan sedikit bantuan!
Idea untuk eratkan hubungan
Ikatan antara ibu bapa dan anak penting kerana ia membuatkan anak rasa disayangi dan selamat. Jangan tangguhkannya, lakukan apa sahaja untuk mula membina ikatan ini dari detik anak anda dilahirkan. Ini akan menjadi asas bagi kesihatan mental dan emosinya yang kuat dan stabil apabila dewasa kelak.
Pakar Perunding Perkembangan Pediatrik Dr Rajini Sarvananthan menyatakan, “Ini terutamanya penting untuk bayi dan kanak- kanak petatih kerana ikatan emosi yang kuat sering terbina pada beberapa tahun pertama kehidupan. Ramai ibu bapa tidak sedar tentang kepentingan aktiviti bermain tanpa struktur (unstructured play) untuk kanak- kanak. Masa bermain ialah cara ideal untuk meluangkan masa berkualiti bersama anak-anak pada tahun-tahun awal. Malah, ibu bapa dengan anak-anak yang lebih tua atau remaja juga boleh bermain untuk mengeratkan hubungan dengan anak mereka.”
Bagi membina ikatan ibu bapa dan anak yang lebih kuat, Dr Rajini mencadangkan lima azam keluarga yang anda boleh cuba:
1: Keluar bermain!
Ini cara yang baik untuk menyelam sambil minum air. Anda boleh meluangkan masa berkualiti bersama keluarga sambil melakukan aktiviti luar yang menyihatkan seperti mendaki, berbasikal, atau meneroka tempat semula jadi.
Ini sesuai dengan seruan agar kita jadi lebih aktif. Anda boleh memilih untuk berjalan bersama keluarga selama 10 minit pada setiap pagi atau petang di sekitar perumahan, atau berjalan pada tengah minggu di taman, diikuti sesi sukan bersama keluarga pada hujung minggu (bola tampar, badminton). Kemudian, anda boleh pergi berkelah atau bersiar-siar ke tarikan semula jadi seperti air terjun, tasik dan hutan simpan setiap bulan.
2: Malam permainan mingguan!
“Bermain permainan ialah cara yang baik untuk bergembira bersama keluarga. Ini juga membantu perkembangan kemahiran komunikasi dan penyelesaian masalah anak anda,” katanya.
Bermain bersama ialah tradisi keluarga yang bagus untuk diterapkan kerana anda boleh saling berinteraksi. Antara permainan yang anda boleh cuba termasuklah permainan papan (seperti Snakes & Ladders, Scrabble, Monopoly), permainan kad (seperti Bridge, Uno, Old Maid, permainan memori) serta permainan tradisional seperti congkak.
3: Sertai kegiatan sukarela!
Kaji pertubuhan kebajikan yang boleh disertai seluruh keluarga anda. Antaranya ialah dapur jalanan (seperti Kechara, Kembara, PERTIWI), Generasi Gemilang, pusat perlindungan haiwan (seperti PAWS, SPCA), usaha pemuliharaan hidupan liar (seperti WWF), dan juga acara/program kitar semula masyarakat atau sekolah.
“Kegiatan sukarela boleh memberikan impak besar kepada anak-anak dan membantu mereka memahami bagaimana orang lain hidup, lalu membina rasa empati mereka. Kegiatan sukarela sesuai untuk dilakukan bersama keluarga, ditambah dengan manfaat lain seperti membuat kawan baharu. Sifat pemurah, belas kasihan dan komitmen akan dipelajari anak-anak melalui teladan. Anak anda juga akan berpeluang untuk melatih dan mengembangkan kemahiran sosialnya,” nasihat Dr Rajini.
Kegiatan sukarela bersama keluarga membantu anda meluangkan masa berkualiti bersama, sambil menyelesaikan masalah sebagai satu pasukan dan memberi peluang untuk menangani isu masyarakat atau sosial (seperti membantu orang miskin, membantu binatang yang lemah, dsb). Dengan ini, masalah yang mungkin dirasakan abstrak atau terasing menjadi sesuatu yang nyata dan boleh mereka alami sendiri. Ini memberi mereka peluang untuk merasa betapa indahnya sifat pemurah.
4: Memperakui dan menghargai keluarga!
Ini ialah aspek penting bagi hubungan yang sihat antara sesiapa pun. Ini keperluan semula jadi manusia, dan persekitaran keluarga yang lebih positif boleh diwujudkan apabila anda mengamalkannya. Jika ini bukan sesuatu yang anda amalkan sekarang, maka anda perlu berusaha untuk memulakannya. Apabila ini menjadi azam keluarga, semua orang harus lebih mengambil berat akan sesama sendiri dan tidak mengambil mudah terhadap orang lain, kerana ia boleh membawa kepada pertengkaran, kekecewaan dan rasa tersinggung.
“Sebagai ibu bapa, kita harus lebih peka dengan apa yang dilakukan anak dan lebih giat dalam memberikan penghargaan positif bagi tindakan, emosi atau perasaannya serta menghargai usahanya walaupun ia sesuatu yang memang harus dilakukannya. Ini menunjukkan bahawa anda sedar apa yang dia lakukan, dan membuatkan dia yakin yang kewujudannya diperakui. Malah, ucapan ‘Terima kasih’ yang ringkas pun boleh membuatnya rasa dihargai,” nasihatnya.
5: Amalkan batasan digital!
Pada zaman ini, sering kita lihat keluarga keluar makan malam bersama tetapi semuanya leka dengan telefon masing- masing! Jika anda juga begini, sudah tiba masanya untuk meninggalkan tabiat ini.
“Peruntukkan waktu dan kawasan bebas peranti yang khusus dan patuhi peraturan ini dengan tegas. Contohnya, peranti tidak boleh ada di meja makan sewaktu makan atau ketika keluar bersama keluarga. Ingatlah, masa berkualiti yang diluangkan untuk berinteraksi dengan keluarga akan memupuk komunikasi yang lebih baik. Ini akan menguatkan ikatan keluarga, dan itulah yang kita mahukan,” tegas Dr Rajini.
Idea untuk kesihatan keluarga lebih baik
Pemakanan yang sempurna adalah penting kerana itulah asas bagi kesihatan keseluruhan. Oleh itu, anda harus meneliti tabiat makan keluarga. Sebagai ibu bapa, tabiat makan anda sendiri akan mempengaruhi tabiat makan anak anda, maka penting untuk anda perhatikan jika tabiat makan anda (dan keluarga anda) sihat ataupun tidak.
Menurut Presiden Persatuan Pemakanan Malaysia Dr Tee E Siong, “Amalkan konsep BMV, atau keseimbangan (balance), kesederhanaan (moderation) dan kepelbagaian (variety) bagi tabiat makan yang sihat. Terdapat beberapa panduan yang boleh diikuti untuk mencapai matlamat ini, seperti Piramid Makanan Malaysia dan Pinggan Sihat Malaysia. Panduan praktikal ini boleh membantu anda membuat pilihan lebih sihat dan mengamalkan pemakanan sihat.”
Bagi menggalakkan keluarga anda makan dengan lebih baik, Dr Tee mencadangkan lima azam keluarga yang boleh diterapkan:
1: Makan bersama keluarga!
Pastikan keluarga anda makan bersama sekurang-kurangnya sekali sehari. Lebih bagus jika hidangan itu disediakan di rumah, tetapi jika perlu makan di luar atau memesan penghantaran makanan, pilihlah hidangan yang dimasak secara sihat (seperti kukus, tumis-reneh, panggang, atau goreng kilas).
“Pastikan keperluan pemakanan keluarga dipenuhi dengan mengamalkan pemakanan seimbang yang mengandungi jenis dan jumlah makanan yang betul menggunakan panduan yang disebut sebelum ini. Ini akan membekalkan keluarga anda dengan nutrien yang diperlukan dan membantu menyokong tumbesaran dan perkembangan anak anda,” kata pakar pemakanan itu.
Beliau menggesa keluarga mengikut prinsip BMV sebagai panduan ke arah pemakanan sihat:
- Keseimbangan (balance) – hidangan harus mengandungi makanan daripada lima kumpulan makanan utama
- Kesederhanaan (moderation) – merujuk kepada saiz hidangan
- Kepelbagaian (variety) – pilih makanan berbeza daripada setiap kumpulan makanan agar mendapat nutrien yang lebih pelbagai
2: Jangan lupa sarapan!
Sarapan ialah waktu makan paling penting. Pastikan setiap ahli keluarga mengambil sarapan. Statistik menunjukkan 1 daripada 10 orang dewasa dan 1 daripada 4 kanak-kanak tidak mengambil sarapan. Individu yang meninggalkan sarapan lebih berisiko mendapat berat berlebihan atau obesiti. Tiada alasan untuk tidak bersarapan kerana ada beberapa cara mudah untuk menyediakan sarapan yang berkhasiat.
“Bahan sarapan boleh disediakan pada malam sebelumnya dan boleh disiapkan dalam beberapa minit pada keesokan paginya. Anda juga boleh menyediakan produk makanan yang sedia dimakan/ diminum seperti biskut bijirin penuh, keju dan susu UHT,” cadang Dr Tee. “Pada hari yang sibuk, anda boleh sediakan sesuatu yang ringkas seperti roti bakar dengan segelas susu atau semangkuk bijirin sarapan dengan susu,” tambahnya.
3: Ikuti jadual makan!
Makanlah mengikut jadual yang tetap dan cuba patuhinya sebaik mungkin. Anda juga harus memeriksa penjaga atau pusat jagaan anak anda bagi memastikan dia makan tepat pada waktunya dan tidak terlepas waktu makan.
“Secara idealnya, anda tidak seharusnya makan melebihi tiga kali sehari, iaitu sarapan, makan tengahari dan makan malam. Anda boleh sertakan snek ringkas yang sihat di antara waktu makan, iaitu snek pagi dan minum petang. Elakkan daripada makan lewat malam sebelum tidur kerana kalori tambahan itu tidak akan digunakan oleh badan. Jika anda kerap makan lewat malam yang berat, ini akan membawa kepada berat badan berlebihan dan obesiti,” katanya.
4: Memasak bersama keluarga!
Selain daripada makan bersama keluarga, anda juga boleh memasak bersama. Anak-anak kecil boleh melakukan tugas mudah seperti membasuh sayur dan menyiapkan meja, sementara itu anak-anak lebih tua boleh menyediakan bahan dan melakukan tugas memasak yang mudah. Pastikan anda mengawasi mereka sehingga benar-benar yakin mereka boleh melakukannya dengan baik.
“Memasak bersama ialah cara yang bagus untuk mengajar anak anda kemahiran memasak, iaitu satu kemahiran hidup yang penting apabila mereka perlu berdikari kelak. Anda juga boleh mengadakan barbeku sekali-sekala dan memasak atau memanggang secara bergilir- gilir,” cadang Dr Tee.
5: Beli barangan dapur bersama!
Jadikan waktu beli-belah waktu bersama keluarga! Berikan setiap orang tugas untuk dipenuhi supaya waktu beli-belah di pasaraya menjadi sesuatu yang menyeronokkan dan berilmiah serta digemari semua. Anda juga boleh jadikannya peluang untuk mengajar anak anda tentang pilihan makanan, membaca label pemakanan atau bungkusan makanan.
“Pastikan anda merancang awal. Apabila anda tahu apa yang mahu dihidangkan untuk keluarga, anda boleh merancang dan menyenaraikan senarai bahan dan makanan dengan pantas. Semasa memilih produk makanan, pastikan anda periksa keadaan dan tarikh luputnya. Sebolehnya, pilihlah bahan segar sebanyak mungkin,” nasihatnya.
Komen