Pengasuhan Positif

Sebar Kebaikan, Bukan Penyakit!

Setiap tahun, berjuta- juta umat Islam seluruh dunia akan menunaikan Haji di Mekah. Perjalanan rohaniah ini boleh jadi mencabar, namun jangkitan penyakit akan menjadikannya lebih teruk dan mengganggu ibadah Haji.

Haji ialah salah satu perhimpunan terbesar di dunia dan kehadiran ramai orang di tempat yang terhad seperti ini menjadikan penyakit mudah merebak. Banyak wabak pernah berlaku sebelum ini ketika musim Haji, termasuklah penyakit meningokokus, penyakit gastrousus, dan jangkitan saluran pernafasan seperti pneumonia dan flu.

Pelbagai faktor boleh mendatangkan wabak, antaranya suhu tinggi, dehidrasi, keletihan, kesesakan, berkongsi makanan dan pencukur,
serta sentuhan kulit. Jika anda merancang untuk membawa bersama anak atau ahli keluarga yang berumur, anda perlu lebih berjaga-jaga untuk melindungi mereka (serta anda sendiri!).

Risiko penyebaran

Tiga jenis risiko penyebaran penyakit semasa musim Haji ialah:

  • Risiko mengimport penyakit berjangkit ke tempat Haji: Jemaah daripada negara tertentu yang mengalami wabak mungkin membawa penyakit ke tempat Haji. Antara penyakit yang membimbangkan ialah taun, polio, demam kuning, Zika, Chikungunya, denggi, influenza bermusim, campak, Ebola dan lain-lain.
  • Penyebaran penyakit berjangkit semasa Haji: Risiko jangkitan tempatan meningkat semasa musim Haji disebabkan kesesakan orang ramai, pencemaran makanan yang boleh berlaku, serta kebersihan yang kurang memuaskan. Ini termasuklah penyakit meningokokus, penyakit bawaan air dan makanan, malaria dan penyakit pernafasan seperti tuberkulosis dan pneumonia.
  • Risiko mengeksport penyakit berjangkit selepas menunaikan Haji: Jemaah yang dijangkiti penyakit ini boleh mencetuskan wabak di tanah air mereka apabila pulang. Ada juga kerisauan terhadap penyebaran MERS-CoV oleh jemaah yang bersentuhan dengan unta atau mereka yang dimasukkan ke hospital di Mekah.

Langkah keselamatan

Dalam usaha mencegah wabak, Kementerian Kesihatan Arab Saudi menetapkan peraturan tertentu bagi jemaah dan pekerja yang masuk ke Mekah. Majlis Fatwa Kebangsaan juga menggalakkan penggunaan vaksin untuk mencegah penyebaran penyakit berjangkit.

  • Vaksin meningokokus: Wajib bagi semua jemaah Haji dan Umrah, pekerja bermusim, penghuni Mekah dan Madinah, dan sesiapa yang akan berhadapan dengan jemaah. Sejak diperkenalkan pada 2002, peraturan ini berjaya mengurangkan
    kes penyakit meningokokus dengan signifikan.
  • Vaksin demam kuning: Wajib bagi semua pelawat yang tiba dari negara yang mempunyai risiko jangkitan demam kuning. Negara- negara ini kebanyakannya terletak di Afrika (contohnya, Angola, Nigeria, Senegal, Kenya, Kongo) dan Amerika Selatan (contohnya, Argentina, Venezuela, Colombia, Peru).
  • Vaksin poliomielitis: Wajib bagi semua pelawat yang tiba dari negara di mana virus polio tersebar atau berisiko mengalami polio sekali lagi. Negara-negara ini termasuklah Afghanistan, Nigeria, Pakistan, Myanmar, Etiopia, Somalia, Sudan Selatan, Syria, dan Yaman.
  • Vaksin influenza bermusim: Vaksin influenza terkini disyorkan kepada semua jemaah, terutamanya wanita mengandung, kanak-kanak bawah 5 tahun, orang dewasa berumur 65 tahun ke atas dan mereka yang menghidap penyakit kronik.

Vaksin tambahan untuk perlindungan

Kerajaan Malaysia juga mengesyorkan vaksin pneumokokus bagi jemaah Haji yang berumur 50 tahun ke atas dan individu dengan masalah kesihatan seperti asma, diabetes, atau penyakit paru-paru atau buah pinggang. Dua jenis vaksin yang boleh didapati ialah: vaksin polisakarida pneumokokus, yang melindungi daripada 23 strain pneumokokus, dan vaksin konjugat pneumokokus yang melindungi daripada 13 strain. Vaksin ini mencegah pneumonia, iaitu antara sebab utama kemasukan hospital bagi jemaah Haji. Vaksin konjugat juga mencegah penyebaran jangkitan kepada rakyat tempatan.

Tunaikan Haji dengan sihat!

Untuk menjauhi jangkitan dan mencegah daripada penyakit berjangkit, ikuti amalan berikut:

  • Basuh tangan dengan sabun terutamanya selepas batuk dan bersin, selepas menggunakan tandas, sebelum makan dan selepas menyentuh binatang.
  • Gunakan tisu pakai buang semasa batuk atau bersin dan buangnya ke dalam bakul sampah.
  • Cuba sedaya upaya mengelakkan sentuhan tangan dengan mata, hidung dan mulut.
  • Pakai penutup mulut, terutamanya di tempat yang sesak.
  • Elakkan sentuhan langsung dengan mereka yang kelihatan sakit dan jangan berkongsi barangan peribadi.
  • Elakkan sentuhan dengan binatang, terutamanya unta atau binatang yang sakit, semasa melawat ladang, pasar atau kandang.
  • Elakkan daripada meminum susu mentah/air kencing unta atau memakan daging yang tidak dimasak dengan elok.

Ibadah Haji ialah satu pengalaman suci dan semua orang mahu melaksanakan kewajipan itu sebaiknya. Yang pasti, ia akan jadi mencabar terutamanya bagi kanak-kanak dan orang tua. Jika anda atau keluarga jatuh sakit dan perlu dimasukkan ke hospital, ia akan menyusahkan dan ibadah anda pasti terganggu. Oleh itu, penting untuk bersedia sepenuhnya dan melakukan yang terbaik untuk melindungi diri dan orang tersayang. Dengan vaksinasi dan tabiat kebersihan yang baik, anda pasti boleh menunaikan Haji dengan tenang.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen