Pengasuhan Positif

Ketagihan Permainan Video Membimbangkan!

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) baru-baru ini secara rasmi mengklasifikasikan ketagihan permainan video sebagai satu bentuk gangguan mental.

Ketagihan permainan video ialah tabiat permainan video luar talian atau dalam talian yang berlebihan sehingga menjejaskan kebolehan seseorang untuk berfungsi secara normal dalam aktiviti harian. Oleh itu, pakar kesihatan mental di Malaysia telah menyuarakan kebimbangan mereka terhadap peningkatan tabiat permainan video yang tidak terkawal. Ketagihan permainan video dalam kalangan kanak-kanak juga sudah menjadi kebimbangan besar bagi ibu bapa.

Berikut ialah tiga tanda ketagihan permainan video seperti digariskan oleh WHO:

  1. Kekurangan kawalan terhadap permainan video, seperti waktu yang dihabiskan kanak-kanak untuk permainan video, betapa mendalam tumpuannya dalam permainan itu, tidak sanggup/dapat menghentikan sendiri permainan, atau menggunakan cara tidak jujur untuk meneruskan permainan (menipu, ponteng sekolah).
  2. Permainan video menjadi keutamaan penting berbanding perkara lain dalam hidup, contohnya, daripada mengulang kaji untuk peperiksaan, kanak- kanak itu berjaga malam untuk mara ke peringkat seterusnya dalam permainan video. Aktiviti harian lain dan juga kebersihan diri turut diabaikan.
  3. Terlibat secara berterusan dalam permainan dan mengabaikan kesan negatif dan teguran. Ini boleh menyebabkan
    terjejasnya hubungan, prestasi akademik dan kebersihan diri. Diagnosis formal bagi masalah ini memerlukan simptom di atas untuk berterusan sehingga sekurang-kurangnya 12 bulan. Bagaimanapun, jika tanda-tanda ini serius, tempoh untuk diagnosis formal boleh dikurangkan.

Kehidupan permainan vs kehidupan sebenar

Personaliti boleh menunjukkan masalah permainan video dan sifat-sifat tertentu merupakan petanda risiko untuk ketagihan permainan video. Berikut ialah beberapa sifat umum yang anda harus awasi.

  • Tidak boleh mengurus diri. Kemahiran mengurus diri yang lemah menunjukkan ketidakupayaan seseorang untuk memahami kesan bermain permainan video secara tidak terkawal.
  • Kegelisahan sosial dan gangguan pemikiran. Persekitaran sosial bagi permainan genre massively multiplayer online (MMO) membolehkan perhubungan di sebalik skrin, tanpa kejanggalan interaksi sosial dunia sebenar. Bagaimanapun, ini boleh menyebabkan para pemain mengelak interaksi sosial akibat perbezaan atau kemahiran sosial yang berkurangan. Suasana permainan video hanya ada sedikit interaksi sosial atau langsung tiada, lalu membolehkan pemain itu menjadi diri sendiri tanpa takut dihakimi.
  • Sukar menerima perubahan. Perubahan boleh menjadi sesuatu yang menakutkan bagi sesetengah orang, dan jika anak anda juga terkesan, dia mungkin akan menghabiskan masa dengan permainan yang banyak berulangan atau senang diramal.
  • Sentiasa mencari perkara baru atau rangsangan. Kanak-kanak yang gemarkan rangsangan berisiko ketagihan permainan video kerana usaha berterusan mereka untuk mencari persekitaran dan pendedahan baharu. Terdapat kemungkinan lebih tinggi untuk berlakunya ketagihan permainan yang berunsur keganasan.
  • Bersifat neurotik. Ketakstabilan emosi boleh membawa kepada kekurangan keyakinan diri, menyebabkan lebih banyak tekanan. Permainan video membantunya menghadapi emosi negatif dan masalah, dan kajian mendedahkan bahawa individu seperti ini lebih suka permainan yang berunsur keganasan.
  • Memandang tinggi diri sendiri (narsisisme). Demi memenuhi ego, individu narsisistik mendapat kepuasan daripada permainan video dengan sistem berdasarkan pencapaian (ganjaran diberikan setelah menyelesaikan sesuatu cabaran) dan permainan dengan avatar (pelaburan yang berterusan diperlukan untuk menaiktaraf kemahiran dan kelengkapan avatar). Permainan MMO pula memberikan akses segera kepada audiens yang sukakan mereka.

Selain daripada sifat personaliti, permainan video juga mengandungi ciri-ciri tertentu yang menarik atau meningkatkan peluang seseorang untuk menjadi ketagih. Terutamanya permainan dalam talian, yang telah dibuktikan kajian sebagai lebih ketagih berbanding permainan luar talian. Permainan yang sentiasa memberikan ganjaran kepada pemain boleh menyebabkan sesi permainan yang berlanjutan.

Bertegas dengan anak

Sebagai ibu bapa, anda harus mengehadkan aktiviti permainan video anak anda. Tetapkan peraturan yang jelas tentang jangkaan anda bagi permainan video dan/atau penggunaan gajet digital. Untuk memudahkan anda menyelia penggunaan komputer atau konsol permainannya, letakkan alat itu di kawasan terbuka di rumah anda, contohnya ruang tamu.

Paling penting, jadilah konsisten dalam menguatkuasakan peraturan yang anda tetapkan. Seperti aktiviti lain juga, tetapkan jadual berapa lama dia boleh bermain. Anda boleh mengimbangkan masa permainan video dengan aktiviti fizikal, contohnya 1 jam permainan bagi setiap 1 jam rekreasi di luar.

Jangan anggap ini hanya fasa yang akan berlalu nanti. Ketagihan permainan video harus ditangani secepat mungkin, sebelum menyebabkan masalah lebih besar dalam aspek kehidupan harian lain.

Minat vs ketagih

Permainan video memang menyeronokkan dan boleh mendidik. Asalkan anak anda tahu cara mengawal masa yang diluangkan untuk permainan video dan ia tidak menjejaskan pelajaran, hubungan, atau kesihatannya, bermain permainan video ialah hobi yang masih boleh diterima. Jangan cepat membuat sangkaan. Berjaga-jaga semasa menyelia, tetapi hentikannya serta-merta jika anda rasa terlalu banyak masa diluangkan untuk bermain permainan video.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen