Pengasuhan Positif

Kenali Jenis-Jenis Meningitis

Meningitis berlaku apabila selaput perlindungan yang melapisi otak dan saraf tunjang – dikenali sebagai meninges – mengalami keradangan. Ini boleh berlaku jika jangkitan virus atau bakteria merebak ke meninges.

Terdapat beberapa sebab yang berkemungkinan menyebabkan meningitis, contohnya jangkitan kulat (terhidu spora kulat), parasit, ameba, kanser, dadah tertentu, malah sesetengah kecederaan. Bagaimanapun, berbanding meningitis virus atau bakteria, meningitis jenis- jenis ini jarang berlaku.

Jarang tapi berbahaya

Antara meningitis bakteria dan virus, meningitis virus lebih sering berlaku tetapi biasanya kurang serius dengan kadar kematian atau kesan jangka panjang yang lebih rendah.

Bagi meningitis bakteria, kira- kira separuh daripada jumlah kes melibatkan kanak-kanak bawah 5 tahun, dan bayi lebih terdedah kepada risiko kematian. Meningitis bakteria selalunya membawa kesan serius termasuklah komplikasi seperti kerosakan otak, kehilangan pendengaran, atau kesukaran pembelajaran. Lebih teruk, satu dalam setiap 10 kes meningitis bakteria boleh membawa maut.

Terdapat tiga jenis bakteria utama yang boleh menyebabkan meningitis, iaitu Haemophilus influenzae jenis b, Streptococcus pneumoniae dan Neisseria meningitidis. Bagi kes N. meningitidis, sehingga 20% orang yang tidak mengalami gejala sebenarnya ialah pembawa. Bakteria tersebut wujud dalam sistem pernafasan tanpa menunjukkan sebarang tanda atau simptom, dan tidak membuatkan mereka sakit. Bakteria itu dengan mudah boleh berjangkit kepada orang lain menerusi bersin, batuk, bercium atau cecair daripada mulut atau tekak pembawa.

Mengenal pasti meningitis bakteria

Bagi bayi, tanda-tanda yang harus diperhatikan termasuklah demam panas, kerap menangis, mengantuk yang berlebihan atau mudah meragam, tidak aktif, kurang minum susu, ubun-ubun yang membonjol dan kekejangan pada tubuh dan leher bayi.

Kanak-kanak dua tahun ke atas mungkin mengalami simptom seperti demam panas, sakit kepala, kekejangan leher, muntah-muntah atau loya disertai sakit kepala, kekeliruan atau sukar menumpukan perhatian, sawan, mengantuk atau sukar bangun daripada tidur, sensitif terhadap cahaya, dan kehilangan selera. Ruam purpura ialah simptom pendarahan di bawah kulit.

Tidak mudah mengenal pasti meningitis kerana sesetengah daripada simptomnya sama dengan flu atau selesema. Bagaimanapun, jangan ambil mudah dan segera dapatkan rawatan jika anak anda mempunyai sebarang tanda atau simptom. Masa sangat penting kerana meningitis bakteria boleh membawa maut dalam 24 jam sejak simptom awal muncul. Lebih baik ambil tindakan awal daripada menangguh rawatan sehingga sudah terlambat.

Siapa berisiko?

Golongan yang paling berisiko dijangkiti adalah kanak-kanak (terutamanya kanak-kanak bawah lima tahun), mereka yang berusia 65 tahun ke atas, individu dengan sistem imun yang lemah, wanita mengandung, orang yang tinggal di asrama, perantau yang melawat ‘jalur meningitis’ di negara Afrika sub-Sahara dan mereka yang ke Mekah semasa musim Haji dan Umrah.

Ujian gelas kaca

Demam yang disertai bintik atau ruam yang tidak pudar di bawah tekanan ialah satu kecemasan.

Pencegahan ialah perlindungan terbaik

Apabila H. influenza jenis b didapati sebagai punca paling tinggi bagi meningitis bakteria di Malaysia, Kementerian Kesihatan telah memasukkan vaksin H. influenza jenis b (Hib) dalam Program Imunisasi Kebangsaan (NIP) pada tahun 2002.

Namun begitu, vaksin bagi dua bakteria lain yang menyebabkan meningitis belum dimasukkan ke dalam NIP. Ini membimbangkan kerana kanak-kanak bawah lima tahun berisiko dijangkiti mikroorganisma berbahaya ini, manakala kanak-kanak bawah dua tahun pula paling mudah dijangkiti.

Vaksinasi ialah sesuatu yang anda harus pertimbangkan secara serius untuk melindungi kanak-kanak, remaja dan orang dewasa. Walaupun meningitis bakteria jarang berlaku, ia boleh membawa kesan yang amat teruk.

Akibat jangkitan ini boleh memberi impak negatif kepada kehidupan pesakit dan keluarga mereka. Menanggung kematian seorang bayi atau menghadapi kehilangan pendengaran dan kekurangan intelek pastinya amat mengecewakan dan menyedihkan. Berikan anak anda vaksin bagi mencegah penyakit ini.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen