Pengasuhan Positif

Hujan Oh Hujan!

Apabila musim hujan tiba, hujan lebat boleh menjejaskan aktiviti harian. Bayangkan kesesakan lalu lintas dan banjir – pasti sukar untuk anda ke mana- mana. Lebih teruk, pelbagai penyakit juga lebih mudah tersebar pada musim ini.

Musim tengkujuh atau hujan di Malaysia biasanya bermula daripada Oktober hingga Februari di Pantai Timur, Sabah dan Sarawak; dan daripada Julai hingga Ogos di Pantai Barat. Apabila hujan, suhu akan turun dan kelembapan meningkat. Semakin banyak lopak dan takungan air akan terbentuk, terutamanya dengan sistem saliran yang kurang berkesan, lalu boleh menyebabkan banjir kilat. Ini meningkatkan jangkitan penyakit seperti influenza, leptospirosis, demam denggi dan penyakit yang merebak melalui air. Kanak- kanak lebih terdedah kepada penyakit ini kerana sistem imun mereka masih berkembang.

Musim penyakit?

Sesetengah penyakit lebih kerap berlaku semasa musim hujan dan banjir.

  • Penyakit yang merebak melalui air (taun, demam kepialu, dsb.) disebabkan oleh jangkitan yang dibawa menerusi sentuhan atau pengambilan air atau makanan tercemar. Taun yang disebabkan oleh Vibrio cholerae menyebabkan cirit-birit dan muntah-muntah; manakala demam kepialu, disebabkan oleh Salmonella typhi atau Salmonella paratyphi mempunyai gejala seperti demam panas, sakit kepala dan kurang selera.
  • Influenza ialah jangkitan virus yang menyerang sistem pernafasan. Influenza berbeza dengan selesema biasa dan menyerang secara tiba- tiba. Gejalanya termasuklah demam, menggigil, batuk, sakit kepala, sakit otot dan keletihan. Kebanyakan orang akan sembuh dalam beberapa hari, tetapi sesetengahnya akan mengalami komplikasi serius seperti pneumonia atau sepsis yang boleh membawa maut.
  • Leptospirosis ialah jangkitan bakteria yang disebabkan oleh Leptospira. Manusia dijangkiti menerusi sentuhan dengan air kencing binatang yang sudah dijangkiti (seperti tikus, anjing) atau sentuhan dengan air, tanah atau makanan yang tercemar. Gejalanya termasuklah demam panas, menggigil, sakit kepala, sakit otot, jaundis, muntah-muntah dan cirit-birit. Tanpa rawatan sepatutnya, penyakit ini boleh membawa kepada kegagalan buah pinggang, meningitis, serta maut.
  • Demam denggi ialah jangkitan oleh virus Flaviviridae. Virus ini berjangkit menerusi gigitan nyamuk betina Aedes aegypti yang sudah dijangkiti. Demam denggi juga mempunyai gejala sama seperti flu. Penyakit ini boleh melarat menjadi demam denggi berdarah, dengan gejala lebih teruk seperti sakit perut, sawan dan pendarahan tidak terkawal. Demam denggi berpotensi menyebabkan maut.

Lindungi diri daripada penyakit

Cuaca buruk mungkin menjejaskan hari anda tetapi jangan biarkannya menjejaskan kesihatan keluarga anda.

  • Kekal kering dan bersih. Sentiasa bawa payung atau baju hujan apabila keluar. Jauhi diri dari terpercik air kotor. Jelaskan kepada anak-anak bahawa air banjir BUKAN kolam mandi! Pelbagai kotoran dan kuman ada di dalam air banjir, dan ia berbahaya kerana tanah tidak dapat dilihat semasa berjalan dan mungkin ada lubang yang boleh menyebabkan kanak- kanak terjatuh. Kebersihan sangat penting – basuh tangan dengan betul selepas menggunakan tandas serta sebelum dan selepas menyediakan dan menikmati makanan.
  • Jaga kebersihan rumah. Kekalkan kebersihan seluruh rumah anda. Nyahjangkit rumah anda selalu, terutamanya dapur, meja makan dan bilik air. Cegah haiwan perosak (seperti tikus, lipas atau lalat) menggunakan perangkap atau racun perosak (pesticide) yang selamat kerana haiwan-haiwan itu mungkin berlindung di tempat tinggi dan kering seperti di rumah anda.
  • Berhati-hati dengan makanan dan minuman. Jangan makan makanan yang tidak dimasak sempurna. Basuh buah- buahan dan sayur- sayuran segar dengan air mengalir yang bersih. Simpan makanan dengan betul untuk mencegah haiwan perosak. Makanan yang dijual di tepi jalan lebih terdedah kepada pencemaran, jadi lebih baik anda elakkannya semasa musim hujan. Sentiasa minum air yang bersih dan telah dimasak.
  • Jangan benarkan nyamuk membiak! Sapu pencegah nyamuk pada kulit yang terdedah terutamanya semasa keluar rumah. Gunakan kelambu atau penyembur nyamuk untuk menghalang nyamuk. Jangan biarkan nyamuk membiak – tutup bekas air, buang air dalam pasu bunga, bersihkan longkang daripada daun atau sampah untuk mengelakkan air hujan bertakung, dan buang semua tin, bekas, botol, tayar yang boleh menakung air. Guna racun larva di dalam kolam di halaman anda.

Perlindungan daripada jangkitan

Bagi perlindungan tambahan terhadap jangkitan semasa musim tengkujuh, vaksin boleh diambil untuk sesetengah penyakit ini. Vaksin flu bermusim tahunan boleh didapati dalam dua jenis: trivalen atau quadrivalen. Vaksin Haemophilus influenzae jenis b (Hib) juga disediakan di bawah Program Imunisasi Kebangsaan. Vaksin bagi taun dan demam kepialu juga boleh didapati dan disyorkan semasa mengembara ke negara lain di mana penyakit tersebut biasa dialami. Walaupun anda tidak boleh menghentikan hujan, tetapi anda boleh melindungi diri dan keluarga daripada penyakit ini dengan mengambil langkah yang sepatutnya.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen