Pengasuhan Positif

Memahami Formula Soya

Formula bayi berasaskan soya sudah seabad wujud. Formula jenis ini meliputi lebih kurang 12-20% pasaran formula bayi. Tetapi tahukah anda bila untuk menggunakannya?

Formula soya pada awalnya dijadikan sebagai alternatif untuk bayi yang keperluan pemakanannya tidak dapat dipenuhi oleh susu manusia, dan bayi yang mempunyai intoleransi atau alahan terhadap formula susu lembu. Pada mulanya formula soya diperbuat daripada tepung soya yang juga mengandungi bahan bukan protein lain seperti karbohidrat dan serat. Kini,
isolat protein soya digunakan sebagai bahan utama formula soya kerana proteinnya lebih mudah dihadam dan kandungan protein yang tinggi. Ia juga diperkaya dengan nutrien tambahan untuk menyokong tumbesaran normal bayi.

Penggunaan formula soya

Formula soya secara umumnya disarankan oleh pakar pediatrik untuk bayi dengan keadaan berikut:

  • Galaktosemia: Gangguan genetik yang jarang berlaku di mana badan tidak dapat memetabolismakan galaktosa, satu bentuk gula ringkas. Memandangkan laktosa dalam susu ibu dan susu lembu diuraikan kepada glukosa dan galaktoksa, formula soya ialah alternatif untuk bayi dengan galaktosemia kerana tidak mengandungi laktosa.
  • Intoleransi laktosa: Badan tidak berupaya untuk memetabolismakan laktosa kerana kekurangan enzim laktase. Terdapat tiga bentuk intoleransi laktosa yang boleh berlaku kepada bayi: 1) intoleransi laktosa keturunan, di mana bayi langsung tidak dapat memetabolismakan laktosa sejak lahir, 2) intoleransi laktosa sementara/sekunder disebabkan kecederaan usus (contohnya, gastroenteritis akut) dan 3) intoleransi laktosa perkembangan dalam bayi pramatang. Manakala yang paling biasa adalah intoleransi laktosa primer dan muncul pada akhir zaman kanak-kanak sehingga dewasa.
  • Alahan protein susu lembu (CMPA): Formula soya hanya boleh diberikan kepada bayi dengan CMPA yang berusia 6 bulan ke atas, dan disahkan bebas daripada alahan soya.
  • Pemakanan vegan: Ibu bapa yang memilih untuk membesarkan bayi mereka sebagai seorang vegan/pemayur, dan jika ibunya tidak menyusu, formula soya boleh dipilih.

Tetapi BUKAN untuk…

Pakar pediatrik tidak menyarankan formula soya untuk:

  • Bayi pramatang: Formula soya TIDAK sesuai untuk bayi pramatang kerana tidak mampu memenuhi keperluan pemakanan khusus mereka.
  • Kolik (kembung): Ibu bapa cenderung menukarkan formula untuk menyelesaikan masalah kolik bayi mereka (menangis dengan kuat tanpa sebab jelas). Tiada bukti kukuh menunjukkan formula soya boleh menangani kolik.
  • Enteropati atau enterokolitis cetusan CMPA: Bayi dengan keradangan (enterokolitis) atau penyakit (enteropati) saluran penghadaman akibat CMPA juga sensitif kepada protein soya oleh kerana lapisan usus mereka yang sudah rosak. Mereka harus diberikan formula terhidrolisis ekstensif atau formula asid amino.

Kebimbangan terhadap formula soya?

Terdapat kebimbangan bahawa isoflavon, sejenis fitokimia dalam soya dengan struktur yang hampir sama dengan hormon estrogen,
boleh memberikan kesan kepada perkembangan bayi. Kajian haiwan dan manusia terkini berkenaan formula soya moden tidak menemui
bukti kukuh mengenai sebarang kesan buruk terhadap tumbesaran, perkembangan mahu pun pembiakan manusia.

Susu soya & susu lembu

Bagi kanak-kanak lebih besar, susu lembu ialah sumber protein, lemak dan karbohidrat yang lebih lengkap dan seimbang berbanding susu berasaskan tumbuhan. Bagaimanapun, susu soya hampir sama dengan susu lembu dari segi keseimbangan nutrien keseluruhan, dengan kandungan protein yang lebih tinggi berbanding alternatif lain (contohnya, susu badam, susu beras, susu kelapa).

Nasihat akhir

Susu ibu kekal sebagai sumber pemakanan yang TERBAIK untuk bayi. Bayi harus diberikan susu ibu secara eksklusif selama 6 bulan dan meneruskan penyusuan ibu bersama pemberian makanan pelengkap sehingga 2 tahun. Bagaimanapun, kadangkala ibu mungkin perlu menambah formula susu ke dalam rutin penyusuan ibu dalam kes tertentu.

Jika anak anda mengalami keadaan kesihatan tertentu (contohnya, intoleransi laktosa, CMPA, dsb.), formula soya ialah pengganti formula susu lembu yang baik kerana dianggap selamat dan sama dari segi nutrien dengan formula susu lembu. Jika anda mengesyaki anak anda mengalami keadaan seperti CMPA, bincanglah dengan doktor anda agar dapat membantu anda menentukan langkah seterusnya untuk anak anda dan diri anda sebagai ibu.

 

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen