Pengasuhan Positif

Kanak-Kanak dan Keselamatan Siber

Internet ialah platform yang berguna untuk belajar dan mencari maklumat, berhubung dengan rakan, dan meneroka peluang untuk diri sendiri dan orang lain. Bagaimanapun, internet juga tempat yang berbahaya.

Terdapat pelbagai ancaman dalam talian seperti buli siber, penipuan, kecurian identiti, virus/perisian hasad, kandungan berbahaya/haram, cetak rompak digital, pemangsa seksual, berita palsu dan sebagainya. Bagaimanapun, kita tidak seharusnya menjauhi sumber yang hebat ini, dan sebaliknya, kita harus mengajar anak-anak (serta diri sendiri) tentang kepentingan keselamatan siber dan melindungi privasi/data kita.

Keselamatan siber penting kerana kini banyak perkara dilakukan dalam talian. Tetapi akibat kemudahan ini, kita mungkin terlepas pandang akan keselamatan data/ privasi kita, dan ini boleh memberikan kesan negatif kepada kita dari segi kewangan, psikologi, dan juga fizikal.

Pelayaran selamat

Berikut ialah petua berguna untuk diajar kepada anak anda agar mereka selamat ketika melayari internet:

  • Didik diri anda dahulu. Ketahui berita dan amaran terkini berkenaan keselamatan internet. Pastikan peranti digital anda mendapat kemas kini keselamatan dan mempunyai perisian antivirus terkini.

  • Nyatakan dan bincangkan perkara yang harus dilakukan dan dijauhi dalam talian bersama anak anda. Ingatkan bahawa dunia dalam talian mencerminkan dunia sebenar dan nasihati mereka: ‘Jika kamu tak akan lakukannya di dunia sebenar, jangan lakukannya dalam talian’.
  • Jadi ‘rakan’ mereka dalam talian. Ketahui media sosial yang digunakan oleh anak-anak anda dan jadi rakan mereka di laman-laman ini. Ini juga membolehkan anda mengawasi aktiviti mereka dan apa yang mereka kongsi.
  • Ingatkan mereka bahawa setiap tindakan dalam talian akan tersimpan selama- lamanya, walaupun setelah dipadam. Elakkan daripada memuat naik gambar yang terdedah dan memalukan, dan ingatlah untuk sentiasa bersikap menghormati dan bertanggungjawab semasa memuat naik komen.
  • Sesetengah majikan dan universiti meneliti profil media sosial calon semasa penilaian bagi memperoleh gambaran sebenar seseorang. Maka, tampilkanlah personaliti dan perwatakan dengan baik dalam media sosial.
  • Jangan letakkan maklumat sensitif atau peribadi atau memberikannya kepada orang yang tidak dikenali dalam talian. Sesiapa sahaja boleh menyamar sebagai orang lain dalam talian, jadi jangan mudah terpedaya.
  • Jangan kongsi lokasi yang biasa dilawati (sekolah, aktiviti selepas sekolah, dan sebagainya), kerana ini memberikan pemangsa kanak-kanak akses mudah kepada lokasi anak anda. Lebih baik lagi, tutup perkhidmatan lokasi.
  • Ajar cara menggunakan antivirus atau mengenal pasti laman web yang mencurigakan, yang mungkin mencuri kata laluan akaun atau maklumat sulit lain (contohnya dengan laman web klon atau tawaran barangan percuma). ‘Jika ia meragukan, jangan teruskan’.
  • Sentiasa sahkan maklumat terlebih dahulu sebelum berkongsi kerana ia mungkin berita palsu. Di bawah Akta Antiberita Tidak Benar, “sengaja” mencipta dan menyebarkan “berita palsu” ialah jenayah di Malaysia.

  • Tiada yang tersembunyi semasa menggunakan Wi- Fi awam. Anda terdedah kepada penjenayah siber yang boleh melihat atau mencuri maklumat anda. Lebih selamat untuk melakukan transaksi penting (contohnya perbankan dalam talian) menggunakan rangkaian selamat seperti perkhidmatan data mudah alih peribadi anda.

  • Berhati-hati dengan pembuli siber. Jika anak- anak anda dibuli dalam talian, galakkan mereka meminta pertolongan daripada anda atau guru.
  • Guna aplikasi hanya daripada sumber boleh dipercayai dan baca maklum balas pengguna sebelum memuat turun. Baca dasar privasi sebelum muat turun untuk melihat sebanyak mana maklumat peribadi dan akses telefon yang diperlukan oleh aplikasi.
  • Bantu anak anda mencipta kata laluan yang selamat dengan kombinasi huruf besar dan kecil, nombor dan simbol. Jangan gunakan maklumat yang mudah dikenal pasti. Lebih ideal jika kata laluan berbeza digunakan untuk setiap akaun.
  • Hadkan akses internet anak anda. Anda boleh memuat turun aplikasi kawalan pengasuhan seperti Net Nanny bagi menapis kandungan dalam talian, menetapkan peraturan dan jadual masa untuk penggunaan peranti, serta menghalang pornografi dan kandungan lain yang tidak sesuai. Laman seperti Netflix and Youtube mempunyai tetapan khas untuk ibu bapa mengawal akses anak-anak.

Akhir kata

Untuk memastikan keselamatan dalam talian, pastikan anak anda celik internet. Kita tidak mungkin boleh melindungi mereka setiap masa. Apabila mereka dilengkapi dengan garis panduan ini, keselamatan mereka lebih terjamin dan mereka boleh memanfaatkan dunia di hujung jari!

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen