Pengasuhan Positif

Adakah Najis Anak Saya Normal?

Pergerakan usus adalah sebahagian daripada proses semula jadi manusia. Bentuk najis anak anda boleh menunjukkan sama ada pergerakan usus dan sistem penghadaman dan pencernaannya sihat atau tidak.

Najis biasanya terdiri daripada makanan tidak dicerna, protein, bakteria, garam dan bahan lain. Najis mungkin berbeza dari segi bentuk, tekstur dan warna, bergantung kepada individu, tetapi secara umumnya, najis yang normal berwarna coklat, berbentuk lonjong, dan mudah diteran, dengan tekstur yang tidak terlalu lembut atau keras.

Bentuk dan tekstur

Carta najis Bristol menjelaskan bentuk dan tekstur najis. Ini akan membantu mengenal pasti jika pergerakan usus anak anda normal atau jika dia mengalami sembelit atau cirit-birit.

Warna: apakah masalahnya?

Warna najis yang luar biasa mungkin menunjukkan masalah kesihatan atau hanyalah kesan daripada makanan tertentu.

  • Coklat/perang ialah warna normal bagi najis. Warna itu terhasil daripada bahan di dalam hempedu iaitu bilirubin, yang terbentuk apabila sel darah merah yang lama terurai.
  • Sedikit warna hijau dalam najis adalah normal. Apabila najis berwarna hijau secara keseluruhannya, ini mungkin bermakna banyak makanan hijau (contohnya, bayam) diambil, atau makanan melalui laluan pencernaan terlalu cepat.
  • Najis berwarna hitam mungkin terjadi akibat pengambilan likuoris, suplemen zat besi, atau ubatan bismut. Jika tidak, ini mungkin tanda terdapatnya pendarahan di bahagian atas salur pencernaan.
  • Najis berwarna putih, kelabu, atau pucat menunjukkan kekurangan hempedu, contohnya kerana pundi hempedu atau salur hempedu tersumbat, atau tiada (selepas pembedahan). Sesetengah ubatan cirit-birit juga menyebabkan najis berwarna putih.
  • Najis berwarna kuning dan berminyak mengandungi kandungan lemak yang tinggi. Ini mungkin petanda gangguan penyerapan makanan (seperti penyakit coeliac) atau masalah berkaitan penghasilan enzim/hempedu.
  • Najis berwarna merah mungkin petanda berlakunya pendarahan pada bahagian bawah salur pencernaan。 Darah merah terang pada najis mungkin disebabkan oleh buasir, kanser di rektum atau ulseratif kolitis. Kes yang kurang serius adalah disebabkan pengambilan makanan berwarna merah, seperti ubi bit, kranberi atau jus tomato.
  • Najis berwarna oren mungkin terhasil daripada makanan berwarna oren yang kaya dengan beta-karotena seperti lobak merah, labu atau ubi keledek manis. Sebab- sebab lain termasuklah salur hempedu tersumbat atau pengambilan ubatan tertentu seperti antasid atau rifampisin (sejenis antibiotik).

Masa & kekerapan

Secara umumnya, anak anda tidak seharusnya mengambil masa lebih daripada 10-15 minit di dalam tandas. Jika dia perlukan lebih masa, dia mungkin mengalami masalah dengan sistem penghadaman dan pencernaannya, seperti sembelit, buasir atau masalah lain. Purata kekerapan pergerakan usus adalah antara sekali dalam masa dua hari hingga tiga kali sehari. Jika dia mengalami sembelit, dia mungkin akan kurang membuang air besar. Jika terlalu kerap, dia mungkin mengalami cirit-birit.

Petua untuk pergerakan usus yang sihat

  • Minum air dengan banyak: Air membantu melembutkan najis dan melancarkan pergerakan usus. Kanak-kanak 4 tahun ke atas harus minum 6-8 gelas air setiap hari.

  • Amalkan diet yang sihat: Masukkan lebih banyak serat seperti bijirin penuh, buah-buahan, dan sayur-sayuran ke dalam diet anak anda. Serat membantu menyimpan air dan memberikan kepadatan dalam najis. Makanan kaya probiotik seperti yogurt dan minuman berkultur juga boleh membantu menggalakkan kesihatan usus lebih baik.

  • Aktiviti fizikal yang kerap: Gaya hidup aktif membantu mengekalkan fungsi usus yang normal.

Pergerakan usus yang sihat disertai najis yang normal ialah tanda sistem pencernaan yang sihat. Dengan mengamalkan pemakanan sihat dan kehidupan aktif, anak anda boleh mengekalkan kesihatan pencernaan dan masanya di tandas juga lebih menyenangkan – semakin kurang waktu diluangkan di tandas, semakin kurang meneran, dan najis lebih mudah keluar. Berbincang dengan doktor jika anda mengesyaki terdapat masalah dengan najis dan pergerakan usus anak anda.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen