Pengasuhan Positif

Vaksin dari Awal!

Tahukah anda apakah vaksin- vaksin yang diperuntukkan dalam Program Imunisasi Kebangsaan (NIP)?

NIP bertujuan melindungi kanak-kanak Malaysia daripada 12 penyakit di bawah. Klinik atau hospital kerajaan menyediakan vaksinasi ini secara percuma. Ia juga boleh didapati di klinik atau hospital swasta dengan bayaran tertentu.

Tuberkulosis: Penyakit yang menjangkiti peparu. Boleh membawa maut jika tidak dirawat. Juga boleh menjejaskan organ-organ lain.

Tetanus: Dikenali sebagai kancing gigi, bakteria ini menyebabkan pengecutan otot yang menyakitkan (biasanya pada otot leher dan rahang), yang menyukarkan mulut dibuka dan menelan sesuatu.

Hepatitis B: Jika dijangkiti semasa kecil, risikonya menjadi penyakit kronik adalah tinggi, dan mungkin membawa kepada sirosis atau kanser hati.

Polio: Penyakit virus tiada rawatan yang menyerang otak dan saraf tunjang, mengakibatkan kelumpuhan.

Beguk: Penyakit berjangkit yang boleh menyebabkan keradangan otak atau tisu di sekeliling otak atau saraf tunjang.

Virus papilloma manusia (HPV): Jangkitan kelamin paling umum yang menyebabkan kanser serviks (kanser ketiga paling umum dalam kalangan wanita).

Difteria: Menjejaskan tekak dan komplikasinya termasuk kesukaran bernafas, kegagalan jantung, kelumpuhan, dan juga kematian.

Pertusis: Dipanggil batuk kokol kerana bunyi batuk kuat yang tidak boleh dikawal. Ia boleh membawa maut terutamanya bagi bayi berumur bawah setahun.

Haemophilus influenzae jenis B: Boleh menyebabkan jangkitan serius pada tisu menyelaputi otak dan juga saraf tunjang (meningitis) dan salur darah.

Campak: Boleh menjadi lebih serius berbanding hanya demam dan ruam kulit. Kanak-kanak bawah 5 tahun boleh dimasukkan ke hospital, mengalami otak bengkak dan juga kematian.

Rubela: Berbahaya kepada janin jika wanita mengandung dijangkiti. Boleh menyebabkan keguguran atau kecacatan kelahiran serius.

Ensefalitis Jepun (JE): Boleh menyebabkan keradangan otak (ensefalitis), dengan simptom seperti sakit kepala, demam panas, kekeliruan, koma, ketar dan konvulsi.

Vaksin Kombinasi

Ia adalah vaksin-vaksin yang menyasarkan beberapa penyakit sekaligus, maknanya anak anda hanya perlu divaksinkan sekali sahaja, bukan beberapa kali. Ini juga bermakna anda tidak perlu ke hospital terlalu kerap.

Vaksin kombinasi juga selamat dan berkesan seperti vaksin individu. Contohnya, vaksinasi 6 dalam 1 (difteria, tetanus, pertusis, polio, Haemophilus influenzae jenis B, hepatitis B) atau vaksinasi 3 dalam 1 (campak, beguk, rubela).

Jangan lupa ambil vaksin

Tidak mengambil vaksinasi boleh membawa kesan buruk, dengan kemungkinan komplikasi pada kehamilan dan kanak-kanak yang tidak divaksin akan lebih terdedah kepada penyakit-penyakit yang dicegah oleh NIP (ditambah lagi dengan, kemungkinan komplikasi yang boleh membawa maut). Terdapat juga risiko untuk anak anda menjadi pembawa penyakit dan menyebar penyakit kepada orang lain.

Berita-berita kebelakangan ini telah memaparkan wabak campak, difteria dan pertusis di Malaysia, dengan beberapa kematian dilaporkan dalam kalangan bayi yang tidak divaksin. Wabak-wabak ini juga meletus disebabkan oleh gerakan anti- vaksinasi yang semakin meluas. Vaksinasi boleh membantu mencegah penyakit kanak-kanak yang bahaya ini atau sekurang-kurangnya mengurangkan keseriusan simptom, jadi pastikan anda mematuhi NIP. Ingat, vaksinasi menyelamatkan nyawa!

 

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen