Pengasuhan Positif

Usus Sihat untuk Kanak-kanak Lebih Kuat

Secara umum, usus berfungsi menghadam dan menyerap nutrien daripada makanan. Tetapi, tahukah anda usus juga berperanan besar dalam mempertahankan anak anda daripada patogen berbahaya? Ya, lebih kurang 70 hingga 80 peratus daripada sistem imunnya sebenarnya terletak di usus!

Usus yang sihat adalah penting untuk keimunan dan kesihatan keseluruhan anak anda. Kunci kepada usus sihat adalah keseimbangan mikrobiota usus, iaitu ‘populasi’ mikroorganisma dalam sistem penghadaman. Beberapa faktor pemakanan memain peranan penting dalam mengekalkan mikrobiota usus. Rumit? Sebenarnya tidak. Hanya perlu ingat, pemakanan yang sihat penting agar anak anda mempunyai usus sihat dan membesar menjadi seorang yang kuat dan berdaya tahan!

Cara usus melindungi anda

Patogen, iaitu bakteria dan virus berbahaya, boleh memasuki badan dengan beberapa cara, termasuk menerusi usus. Sistem imun badan segera menghalang ‘penceroboh’ sebelum ia menyebabkan sebarang penyakit pada anak anda. Usus yang sihat berperanan besar dalam tindakan imun ini, dengan memecahkan kompaun yang mungkin bertoksik atau menghalang patogen daripada memasuki badan.

Mikrobiota usus adalah suatu komuniti terdiri daripada 100 trilion mikroorganisma dalam usus, dan berperanan besar dalam menentukan usus sihat. Antara mikroorganisma ini, adanya 1,000 jenis bakteria berbeza yang terdiri daripada bakteria ‘baik’ dan ‘jahat’. Ya, bakteria ‘baik’juga wujud! Usus sihat harus mempunyai keseimbangan 85% bakteria ‘baik’ untuk berfungsi secara optimum dan memupuk sistem imun sihat.

Apabila mikrobiota usus tidak seimbang (disbiosis) (contohnya, apabila salah guna antibiotik), bilangan bakteria ‘jahat’ melampaui kuasa bakteria ‘baik’. Ini membawa kesan negatif kepada kesihatan anak dan dikaitkan dengan peningkatan gangguan gastrousus (contohnya, cirit-birit, sembelit, ketidakselesaan abdomen), jangkitan atau keletihan dan kepenatan yang melampau.

Bagaimana pemakanan membantu

Mengetahui peranan penting mikrobiota usus dalam mengekalkan usus sihat, anda pasti tertanya cara meningkatkan kesihatan usus anak. Jawapannya ialah pemakanan sihat. Bagi bayi, penyusuan susu ibu memberi bakteria baik daripada ibu kepada usus bayi, dan menyediakan pembenihan untuk mikrobiota usus.

Apabila anak anda membesar, beberapa faktor pemakanan penting untuk mengekalkan keseimbangan mikrobiota usus. Ini termasuk pemakanan seimbang, sederhana, dan pelbagai. Sediakan hidangan seimbang yang mengandungi semua kumpulan makanan mengikut piramid makanan, dalam jumlah wajar dan sederhana, dan pelbagai makanan yang dapat membekalkan nutrien berbeza yang diperlukan badan.

Selain amalan umum pemakanan sihat, juga penting untuk berikan tumpuan pada sesetengah makanan khusus untuk mengekalkan usus sihat. Satu cara langsung untuk meningkatkan jumlah bakteria baik dalam usus adalah dengan menyediakan makanan yang mengandungi mikroorganisma ini. Dikenali sebagai probiotik, ia adalah mikroorganisma hidup (kebanyakannya bakteria baik) yang mampu menyihatkan mikrobiota usus dan mengekalkan keseimbangannya apabila diambil dalam jumlah yang mencukupi. Makanan dengan tambahan probiotik termasuklah produk susu berkultur atau ditapai dan susu tepung.

Serat makanan dalam bijirin penuh, kekacang, buah- buahan dan sayur-sayuran juga membantu mengekalkan kesihatan usus. Sesetengah serat makanan mampu berfungsi sebagai prebiotik, iaitu ‘makanan’ untuk bakteria baik dan menggalakkan tumbesarannya. Beberapa makanan dan minuman, termasuk susu tepung, mungkin mengandungi tambahan prebiotik. Menyediakan makanan mengandungi probiotik dan prebiotik untuk anak anda berkemungkinan membawa kesan positif kepada kesihatan ususnya. Untuk mencari makanan ini, baca label untuk kenalpasti makanan yang mengandungi bahan-bahan ini.

Sistem imun berkait rapat dengan kesihatan penghadaman. Menjaga kesihatan usus anak anda adalah penting agar dia kekal sihat dan kuat, supaya dia boleh meneroka dan belajar daripada persekitaran dan menambah ketahanan dirinya. Maka, mereka harus amalkan pemakanan sihat bagi menggalakkan dan mengekalkan mikrobiota usus yang seimbang. Jangan abaikan usus!

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen