Pengasuhan Positif

Sembelit yang Menyakitkan

Kebelakangan ini, anak anda jarang ke tandas dan mengadu sakit setiap kali membuang air besar? Mungkinkah dia mengalami sembelit?

Adakah anak saya mengalami sembelit?

Biasanya, anak anda boleh mengalami sembelit jika dia membuang air besar kurang daripada tiga kali dalam seminggu, atau kurang daripada biasa. Najisnya keras, kering, serta sukar dan menyakitkan untuk dibuang. Jika anda mengesyaki dia mengalami sembelit, periksa jika najisnya lebih besar daripada biasa. Kemungkinan juga akan terdapat kesan najis pada seluar dalamnya.

Anak anda mungkin akan mengelak daripada membuang air besar kerana proses itu menyakitkan. Semasa ingin membuang air besar, riak wajahnya mungkin berubah, dan dia akan menggerak-gerakkan badan atau menyilang kakinya. Tanda-tanda lain termasuklah sakit perut, kekembungan, kehilangan selera makan dan meragam.

Apakah punca sembelit?

Sembelit berlaku apabila bahan sisa bergerak terlalu perlahan menerusi usus besar, menyebabkan najis menjadi besar, keras dan kering. Antara punca biasa termasuklah:

  • Diet: Anak anda mungkin tidak mengambil serat yang mencukupi daripada buah, sayuran atau bijirin penuh. Dia juga mungkin tidak minum air yang mencukupi (usus besar berfungsi untuk menyerap air daripada sisa) menyebabkan najis menjadi keras. Perubahan pemakanan (contohnya, peralihan daripada susu ibu kepada susu lembu) juga boleh menjadi faktor sembelit.
  • Menahan air besar: Anak anda mungkin tidak mempedulikan keinginan untuk ke tandas atas pelbagai Dia mungkin mahu lebih banyak masa bermain atau menonton televisyen, atau tidak suka menggunakan tandas yang dia tidak biasa. Dia juga mungkin pernah mengalami pengalaman yang menyakitkan di tandas semasa membuang air besar yang keras, menyebabkan dia sering menahan air besar.
  • Perubahan rutin: Anak anda mungkin rasa tidak selesa dalam persekitaran atau rutin baru (contohnya, berjalan-jalan, berpindah ke rumah baru, mula bersekolah) dan ini boleh menjejaskan pergerakan ususnya.

Melegakan sembelit

Gunakan cara-cara ini untuk pembuangan air besar yang lancar dan kurang menyakitkan bagi anak anda:

  • Berikan makanan tinggi serat. Serat dalam buah, sayuran, kekacang, dan bijirin penuh membantu menyimpan air dan memberikan kepadatan dalam najis, lalu merangsangnya untuk keluar lebih mudah. Perkenalkan pemakanan tinggi serat secara beransur-ansur jika anak anda tidak biasa.
  • Minum lebih Air membantu melembutkan najis. Pastikan anak anda minum air secukupnya setiap hari (6-10 gelas air kosong), terutamanya jika dia aktif atau tidak sihat.
  • Aktiviti fizikal yang kerap. Kekal aktif agar pergerakan usus sentiasa lancar. Galakkan anak anda bersukan atau bersenam sekurang-kurangnya 30-60 minit sehari.
  • Kekalkan usus yang sihat. Keseimbangan bakteria baik dan tidak baik di dalam usus penting untuk kesihatan Selain pemakanan dan gaya hidup sihat, kekalkan keseimbangan dalam usus dengan mengambil makanan mengandungi probiotik (bakteria baik) seperti yogurt dan susu berkultur.

Sembelit dalam kalangan kanak-kanak adalah satu perkara umum dan biasanya tidak serius, tetapi boleh membawa kepada komplikasi seperti enkopresis (terkincit) dan fisur dubur (rekahan kulit di sekeliling dubur akibat najis yang keras) jika ia berterusan lebih 2 minggu. Bawa anak anda berjumpa doktor jika keadaannya berterusan atau disertai demam, muntah, darah dalam najis atau simptom-simptom lain yang membimbangkan seperti kehilangan berat badan yang ketara dan kesakitan abdomen yang berpanjangan.

Peringatan: Jangan berikan laksatif atau enema kepada anak anda melainkan disyorkan oleh doktor. Laksatif boleh menjejaskan fungsi normal usus besar.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen