Pengasuhan Positif

Kehamilan Remaja dan Pendidikan Seks

“Kehamilan remaja kekal sebagai penyumbang utama kepada kematian ibu dan anak, dan kepada kitaran kesihatan yang lemah dan kemiskinan antara generasi.” ~ Pertubuhan Kesihatan Sedunia

Kehamilan remaja merujuk kepada sebarang kehamilan yang berlaku kepada wanita atau gadis berumur 19 tahun dan ke bawah. Pada 2016, Kementerian Kesihatan mencatat lebih 12,000 kehamilan remaja di Malaysia. Jabatan Pendaftaran Negara melaporkan 4,992 kanak-kanak dilahirkan luar nikah oleh ibu berumur 18 tahun dan ke bawah. Kehamilan remaja dikaitkan dengan risiko kesihatan jangka pendek dan panjang.

Kehamilan remaja juga mendatangkan pelbagai kesan negatif yang mengancam kesejahteraan mereka – gangguan pendidikan, peluang terhad untuk perkembangan kendiri dan kerjaya, stigma sosial dan terdedah kepada keganasan dan eksploitasi. Artikel ini mengkaji beberapa punca kehamilan remaja dan mengenal pasti cara-cara menyokong remaja yang menghadapi kesukaran daripada kehamilan yang tidak diingini.

Faktor penyumbang

En Hairil Fadzly Md Akir, Timbalan Ketua Pengarah (Sektor Dasar) Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga (LPPKN) menjelaskan beberapa dapatan yang diperoleh daripada Kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia Ke-5 (KPKM-5) yang dilaksanakan oleh LPPKN pada 2014.

Menurutnya, kajian itu mendedahkan kurangnya kesedaran dan pengetahuan tentang kesihatan seksual dan reproduktif dalam kalangan remaja (lihat Jadual 1). Jumlah remaja yang aktif secara seksual adalah kecil tetapi beransur- ansur meningkat. Dalam kalangan remaja ini, amalan seks tidak selamat berlaku akibat kurangnya pengetahuan seksual, lalu mengakibatkan kesan buruk seperti kehamilan tidak diingini. KPKM-5 mendedahkan 2.3% remaja antara 13 hingga 17 tahun pernah melakukan hubungan seks. Dapatan daripada Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan pada 2017 oleh Institut Kesihatan Umum pula mendapati peratusan ini meningkat kepada 7.3%.

Jadual 1: Pengetahuan hubungan seksual dalam kalangan remaja 13-17 tahun (Sumber: KPKM-5)

Kepercayaan tidak menjamin keselamatan!

25% belia di Malaysia percaya perlindungan tidak diperlukan jika adanya kepercayaan antara pasangan.

(Sumber: Kajian Kesihatan Seksual  dan Reproduktif Warga Muda Malaysia, 2015)

Kesan buruk akibat kehamilan remaja

Dr Mary Joseph Marret, seorang pakar perunding pediatrik, menerangkan beberapa jenis keadaan yang boleh membawa kepada kehamilan remaja (lihat Kotak 1). Sesetengahnya melibatkan situasi di mana remaja wanita dipaksa melakukan hubungan seksual dengan keganasan. Ada kalanya, mereka bersetuju melakukan hubungan seksual tanpa mengambil langkah pencegahan kehamilan kerana jahil, tidak bersedia atau tidak berjaya memastikan pasangan mereka menggunakan kondom.

Remaja dengan pencapaian akademik lemah dan tiada hubungan rapat dengan keluarga sendiri lebih berisiko terlibat dalam aktiviti seks awal dan tidak selamat. Mereka kehilangan minat di sekolah, lalu membentuk hubungan sosial dengan rakan sebaya atau remaja lebih tua yang tidak bersekolah dan menyertai aktiviti di tempat yang tidak dikawal atau diselia oleh orang dewasa yang bertanggungjawab. Segelintir remaja pula berkahwin pada usia muda, sebelum berpeluang menghabiskan pendidikan dan menjadi dewasa yang berdikari.

Ilustrasi kes bagi keadaan yang membawa kepada kehamilan remaja

  • *Julie berusia 18 tahun dan sedang melanjutkan pengajian di kolej jauh dari rumah. Dia berkenalan dengan Sam, yang membantunya melupakan perasaan sunyi dan rindu terhadap rumah. Mereka merancang untuk berkahwin selepas tamat pengajian. Mereka mula berhubungan intim tetapi Sam tidak selalunya pakai kondom. Mereka langsung tidak sangka Julie akan hamil.
  • Tiada siapa tahu *Emma hamil sehinggalah dia dibawa ke hospital kerana mengalami sakit perut dan melahirkan anak. Dia baru berusia 13 tahun waktu itu. Selama beberapa hari, dia menjadi pendiam dan menjauhkan diri. Akhirnya, dia memberitahu seorang pekerja sosial yang berlembut dengannya, bahawa bapanya sering merogolnya sepanjang tahun lepas. Bapanya tiada pekerjaan tetap, dan ibunya pula bekerja lebih masa untuk menyara keluarga.
  • *Liza yang berusia 15 tahun tidak minat bersekolah. Gurunya sering memarahi dan mengkritiknya. Rakan sekelas suka mengejeknya. Dia sering ketinggalan dalam pelajaran kerana tiada sesiapa dalam keluarganya dapat membantu disebabkan sibuk dengan perniagaan keluarga. Ibu bapanya selalu pulang pada pukul 1 pagi. Mereka tidak pernah menyedari yang dia kadangkala ponteng sekolah dan lewat pulang ke rumah. Dia suka melepak dengan sekumpulan remaja di pusat membeli belah. Satu petang, seorang pemuda yang menumpangkannya pulang berhenti di sebuah taman dan memaksanya melakukan hubungan seks. Pemuda itu menumbuk muka Liza dan mengancam untuk meninggalkannya seorang diri jika dia enggan. Dia tidak pernah memberitahu sesiapa. Selepas kejadian itu, haidnya lambat dan liza mendapati dia hamil.
  • *Lina membesar di sebuah kampung. Dia anak kedua daripada sembilan adik-beradik. Dia bersekolah sehingga Darjah 4. Semasa berumur 11 tahun, ibu bapa Lina menyuruhnya duduk dirumah untuk menjaga adik-adiknya. Ketika berusia 15 tahun, dia dikahwinkan dalam satu majlis tradisional dengan seorang lelaki berusia 17 tahun dari kampung sama. Beberapa bulan kemudian, Lina hamil dengan anak pertamanya.

*Nama hanyalah untuk tujuan contoh dan bukanlah merujuk kepada mana-mana individu khusus

Kesan kepada kesihatan

Menurut Dr Marret, ibu muda mempunyai risiko komplikasi lebih tinggi semasa hamil dan melahirkan anak, kerana mereka masih tidak cukup matang dari segi fizikal dan biologi. Bayi mereka juga mempunyai risiko komplikasi lebih tinggi, termasuk berat kelahiran rendah atau lahir pra-matang.

“Biasanya, ibu-ibu dengan kehamilan risiko tinggi harus diawasi lebih rapi dan menerima piawaian jagaan kesihatan lebih tinggi sepanjang kehamilan. Malangnya, sebaliknya pula berlaku kepada kebanyakan remaja hamil yang kurang menerima jagaan antenatal, terutamanya jika mereka belum berkahwin. Dalam banyak kes, keluarga kurang sedar berkenaan peringkat awal kehamilan. Gadis itu juga mungkin tidak sedar dia hamil atau takut untuk memberitahu ibu bapanya. Sikap prejudis masyarakat terhadap ibu yang tidak berkahwin juga menjadi penghalang untuk menghadiri pemeriksaan antenatal. Malah, ibu muda yang sudah berkahwin pun menghadapi kesukaran mendapatkan rawatan antenatal kerana kekurangan pendidikan, ketidakbolehan membuat keputusan untuk diri sendiri dan kebergantungan kewangan terhadap suami dan mertua,” tambahnya.

Dalam keadaan seperti ini, terdapat risiko lebih tinggi kelahiran bayi berlaku di luar hospital atau klinik, yang boleh mengancam nyawa ibu dan anak. Dalam sesetengah situasi, ibu muda yang keseorangan dan terdesak mungkin cuba menyembunyikan kelahiran dan mengabaikan bayinya.

Bakal ibu, tanpa mengira umur, memerlukan sokongan emosi dan sosial daripada keluarga dan rakan, kerana badan mereka sedang melalui perubahan semasa kehamilan. Sokongan berterusan juga penting selepas kelahiran, terutamanya untuk mereka yang cenderung mengalami kemurungan selepas bersalin. Ibu muda yang tidak berkahwin mungkin tidak akan menerima sokongan jika mereka dipulaukan keluarga. Meskipun keluarga memberikan sokongan, mereka mungkin dihantar ke rumah perlindungan untuk menjaga privasi. Walaupun ini dapat melindungi mereka daripada khabar angin yang kurang menyenangkan, pengasingan daripada ibu bapa dan keluarga terdekat boleh menyebabkan remaja ini berasa keseorangan, takut dan terasing.

Mengenal pasti tanda-tanda

Datuk Dr Zulkifli Ismail, pakar perunding pediatrik, berkata simptom fizikal ketara seperti rasa mual di waktu pagi, kerap muntah, perubahan selera, sering keletihan, kenaikan berat badan, dan juga kerap kencing, adalah tanda-tanda seseorang remaja itu mungkin hamil.

Perubahan pada kelakuan dan penampilannya juga mungkin tanda kehamilan. Remaja hamil mungkin lebih beremosi dan mudah marah berbanding biasa. Dia juga mungkin lebih berahsia dan kerap berkurung dalam bilik daripada biasa. Dia juga lebih suka memakai pakaian longgar, besar atau berwarna gelap untuk menyembunyikan bentuk badannya. Bagaimanapun, dalam sesetengah kes, kehamilan mungkin tidak disedari oleh remaja itu sendiri atau keluarganya jika simptom kehamilannya tidak ketara atau tiada simptom, ataupun dia mengalami haid tidak teratur atau berlebihan berat badan. Ujian kehamilan patut dibuat jika ada sebarang keraguan.

Apa harus anda lakukan?

Dr Marret memberikan nasihat berikut: Cara terbaik untuk membantu remaja yang mungkin hamil adalah mengambil berat tentang keperluan kesihatannya, dan juga memastikan kesejahteraan dan keselamatannya. Jangan cepat membuat kesimpulan atau bersikap prejudis. Ingatlah bahawa pelbagai situasi boleh menyebabkan mereka hamil (lihat Kotak 1) dan mereka mungkin menghadapi tekanan psikologi yang serius.

Jika anak perempuan anda memaklumkan dia hamil atau anda mengesyaki dia mungkin hamil, bertenang dan berikannya sokongan. Penting bagi ibu bapa untuk memahami dan menyokongnya kerana respons seperti ini akan menggalakkannya untuk meluahkan dan berkongsi masalahnya.

Seterusnya, sahkan kehamilan itu. Pemeriksaan kesihatan dengan doktor penting untuk kepastian, walaupun anda sudah memeriksa dengan kit ujian kehamilan. Setelah disahkan, dapatkan rawatan antenatal segera. Ini penting untuk mengetahui peringkat kehamilan itu, dan memastikan kesejahteraan ibu dan bayi. Nasihat pakar juga penting untuk membuat keputusan berkenaan cara terbaik menghadapi kehamilan, bergantung kepada peringkat dan sebarang komplikasi kesihatan.

Jika kes itu melibatkan penganiayaan seks atau rogol, laporkan kepada polis. Doktor boleh bekerjasama dengan polis dan jabatan kebajikan untuk memastikan keselamatan dan melindungi gadis yang dianiaya secara seksual.

Pastikan anak anda memperoleh jagaan antenatal sehingga kelahiran. Bincang dengannya dan tentukan jika lebih baik untuknya tinggal di rumah atau berpindah ke rumah perlindungan sehingga bayi lahir. Jika tinggal di rumah perlindungan, pastikan komunikasi dengan ahli keluarga yang menyokongnya dikekalkan. Dengan mengambil kira keadaan keluarga, bincang dengannya sama ada lebih baik menjaga bayi itu atau memberikan bayi itu sebagai anak angkat. Doktor boleh mengesyorkan organisasi kebajikan yang boleh membantu proses pengambilan anak angkat.

Remaja yang hamil akibat penganiayaan seks boleh menghadapi tekanan emosi dan psikologi. Dapatkan nasihat profesional untuk merawat dan menyokongnya. Jika meneruskan kehamilan itu membahayakan kesihatan fizikal atau mentalnya, pengguguran yang sah dari segi undang-undang boleh dilaksanakan jika dia sanggup. Ini hanya boleh dilakukan oleh pakar yang sah di hospital untuk mengawasi dan mengendali komplikasi seperti pendarahan serius atau jangkitan.

Pengguguran di klinik pesakit luar oleh doktor tidak berpengalaman tanpa latihan dan kemudahan sokongan adalah berisiko untuk anak anda. Ia boleh menyebabkan kecederaan serius pada rahim yang mungkin mengganggu kehamilannya pada masa depan. Seorang wanita tidak boleh dipaksa melakukan pengguguran tanpa kebenarannya kerana ini satu kezaliman ke atas tubuhnya, dan boleh menjejaskan kesejahteraan mentalnya dalam jangka masa pendek dan panjang.

Sokongan sewajarnya perlu diberikan kepada anak anda untuk membina hidupnya pada masa hadapan. Tunjukkan yang anda mengambil berat dan mahukan yang terbaik baginya. Dia harus memperoleh maklumat dan kaunseling daripada doktor tentang cara mencegah kehamilan tidak dirancang dan mengelakkan penyakit kelamin. Galakkan anak anda untuk menghabiskan pendidikannya. Jika dia tidak berminat atau tidak mampu bertahan di sekolah, cari peluang untuk anak anda menerima latihan kemahiran menurut minat dan bakatnya.

Didik untuk cegah

Pendidikan mempunyai peranan besar dalam mencegah kehamilan remaja. En Hairil berkongsi beberapa inisiatif kerajaan seperti komponen PEERS (Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial) dalam beberapa subjek di sekolah. “Terdapat juga KafeTEEN, iaitu pusat rakan sebaya untuk remaja, yang membantu mereka mengamalkan gaya hidup positif menerusi perbincangan remaja dan perkhidmatan kaunseling oleh profesional. LPPKN juga memperkenalkan modul PEKERTI di dalam aktiviti di beberapa sekolah untuk mendidik dan memberikan kesedaran tentang kesihatan sosial dan reproduktif,” tambahnya.

Berkenaan peranan ibu bapa, Datuk Dr Zulkifli, sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Pengasuhan Positif, menasihatkan, “Ibu bapa ialah guru terbaik untuk memperkenalkan subjek peribadi yang sensitif ini kepada anak-anak. Mulakan dengan pembelajaran ringkas pada usia kecil dan teruskan secara berperingkat apabila semakin matang. Jika anak anda tahu bahawa mereka boleh membincangkan topik ini dengan anda, mereka akan lebih cenderung mendapatkan bantuan dan nasihat anda apabila menghadapi situasi sukar atau mengelirukan.”

Jelasnya, “Ibu bapa boleh bermula dengan mengajar anak-anak di tadika tentang istilah tepat bagi bahagian kemaluan mereka dan cara membezakan sentuhan selamat dan tidak selamat. Apabila mereka semakin matang, jelaskan bahawa perubahan fizikal adalah normal semasa membesar. Ajar mereka cara menangani perasaan dan minat terhadap jantina berlawanan, sambil menekankan kepentingan saling menghormati. Akui keperluan mereka untuk mempunyai rakan yang menyokong dan galakkan mereka menyertai aktiviti sukan dan sosial yang sihat. Tetapkan sempadan jelas bagi perlakuan mereka terhadap orang lain menurut nilai budaya dan agama anda. Nasihatkan mereka cara untuk mengelakkan situasi di mana mereka dipaksa untuk melakukan aktiviti seksual. Berikan amaran bahawa persekitaran dengan pengambilan alkohol dan dadah meningkatkan risiko aktiviti seksual. Ingatkan mereka bahawa mereka berhak ke atas tubuh mereka sendiri dan berhak menolak sebarang permintaan seksual. Lelaki harus diajar untuk menghormati wanita dan hak wanita untuk berkata “tidak”. Mereka harus diberitahu bahawa menyebabkan seorang perempuan hamil sebelum berkahwin adalah tidak bertanggungjawab dan tidak boleh diterima. Mereka harus diingatkan bahawa hubungan seks dengan perempuan bawah 16 tahun adalah salah dari segi undang-undang dan mereka boleh didakwa.”

Remaja harus diberikan panduan untuk mendapatkan nasihat sewajarnya berkenaan kaedah pencegahan kehamilan dan penyakit kelamin. Remaja perempuan harus dinasihatkan tentang kepentingan mendapatkan bantuan rawatan segera bagi mengelakkan kehamilan, jika mereka diserang secara seksual atau terdedah kepada seks tidak selamat.

Selain pendidikan, keluarga yang mengambil berat dan menyokong juga penting dalam mencegah perlakuan seksual yang berisiko dalam kalangan remaja. Beliau menekankan bahawa keluarga harus membina hubungan rapat dengan anak-anak sejak kecil dan terus berkomunikasi dengan mereka semasa remaja, terlibat dalam kehidupan mereka, menggalakkan mereka mengasah bakat mereka dan membina hubungan baik yang sihat dengan rakan sebaya mereka. Beliau menyimpulkan, “Berikan perhatian apabila mereka meluahkan masalah dan bantulah mereka mencari penyelesaian. Ingat, remaja yang disokong keluarga dan menumpukan pada pendidikan dan kerjaya kurang cenderung untuk terlibat dalam hubungan seksual pada usia muda.”

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen