Pengasuhan Positif

Influenza- Adakah ANDA Berisiko?

Influenza adalah jangkitan virus yang amat mudah tersebar. Influenza lebih kurang sama dengan selesema. Virus flu menyerang sistem pernafasan, iaitu hidung, tekak dan peparu. Tanda dan simptom biasa termasuk keletihan, sakit badan dan seram sejuk, batuk, sakit tekak, demam, dan masalah gastrousus.

Siapa berisiko?

Influenza boleh mengakibatkan komplikasi serius seperti pneumonia, meningitis/ensefalitis, dan juga keradangan otot. Kanak-kanak kecil pula menghadapi kemungkinan komplikasi seperti konvulsi febril dan keradangan telinga tengah. Kumpulan paling berisiko tinggi termasuklah:

  • Kanak-kanak bawah lima tahun, terutamanya yang berumur bawah dua tahun, mudah dijangkiti kerana sistem imun mereka belum berkembang sepenuhnya. Walaupun pada musim flu sederhana, sehingga 7,000 kanak-kanak masuk ke hospital dan ia boleh meningkat sehingga 26,000 apabila wabak berlaku.
  • Ibu hamil telah ditunjukkan berisiko tinggi dijangkiti influenza. Demam boleh membahayakan janin, jadi ibu mengandung mungkin perlu masuk ke hospital akibat peningkatan risiko komplikasi. Bayi baru lahir dengan ibu yang dijangkiti influenza semasa hamil (terutamanya influenza serius) berhadapan dengan risiko lebih tinggi, seperti kelahiran pra-matang atau berat lahir rendah.
  • Sistem imun menjadi semakin lemah dengan umur, jadi warga emas (>65 tahun) lebih mudah dijangkiti influenza. Dalam kumpulan ini, kemasukan hospital berkaitan flu boleh mencecah setinggi 70%, dan kematian dianggarkan 70-90%.
  • Penghuni jangka panjang di asrama pelajar atau rumah penjagaan. Tinggal bersama-sama membawa kepada interaksi sosial yang rapat dan kerap (contohnya, berkongsi alatan dapur, penyedut minuman, cawan atau gelas, bersalaman, berpeluk, bercium dan menyentuh permukaan tercemar seperti tombol pintu atau alat senaman yang dikongsi) memudahkan virus tersebar.
  • Sesiapa sahaja, tanpa mengira umur, yang mengalami masalah kesihatan kronik seperti asma, palsi serebrum, gangguan sawan, kekurangan upaya intelek, diabetes, penyakit jantung, penyakit peparu, gangguan hati, atau sistem imun lemah akibat kanser atau HIV/AIDS, dll. Flu boleh memburukkan lagi masalah tersebut. Obesiti melampau juga meningkatkan risiko seseorang.

Langkah-langkah mengurangkan risiko influenza

  • Ambil vaksin suntikan flu setiap tahun.
  • Kekalkan kebersihan dengan membasuh tangan sebaiknya.
  • Jauhkan diri dan pakai topeng muka jika anda sakit
  • Gunakan tisu untuk menutup mulut bila batuk/ bersin. Jika anda gunakan tangan, basuh atau bersihkan segera.
  • Dapatkan rawatan segera jika anda mengesyaki anda mempunyai flu. Jangan tunggu sehingga komplikasi bertambah
  • Basuh/ sanitasi permukaan yang sering disentuh.

Mencegah influenza

Mendapatkan vaksin flu tahunan adalah cara paling berkesan untuk mencegah influenza dan komplikasinya. Vaksin influenza dikemas kini setiap tahun untuk menyasarkan strain influenza khusus yang sedang merebak. Ini disebabkan oleh perubahan dalam strain yang mengelilingi kita, mutasi virus influenza, dan keimunan berkurang daripada vaksinasi terdahulu.

Vaksinasi juga membantu melindungi bayi bawah 6 bulan (yang terlalu muda untuk vaksinasi flu) menerusi imuniti berkelompok, iaitu apabila orang di sekeliling bayi anda divaksin, risiko bayi dijangkiti flu lebih rendah. Untuk mengetahui lebih lanjut tentang vaksinasi dan perkara lain yang boleh anda lakukan untuk mengurangkan risiko flu, tanyalah doktor anda.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen