Pengasuhan Positif

Membesarkan Anak yang Berdaya Tahan dan Kuat

Evolusi dan perubahan berlaku pantas dalam dunia hari ini. Sebagai ibu bapa, keinginan untuk melindungi anak daripada liku-liku kehidupan adalah normal. Bagaimanapun, demi mempersiapkan mereka untuk kehidupan apabila dewasa, kita harus memupuk mereka agar berdaya tahan. Ini penting untuk membolehkan mereka bangkit semula apabila gagal dan menghadapi sebarang kemungkinan dengan tenang. Daya tahan bukanlah sifat semula jadi dan biasanya diperoleh daripada faktor luaran, bermula dengan ibu bapa dan penjaga.

Pengalaman guru terbaik

Setiap pengalaman dalam hidup membantu membina daya tahan. Galakkan anak anda meneroka persekitaran mereka secara berdikari. Sesetengah ibu bapa mungkin mempunyai kenangan manis menangkap ikan di longkang berdekatan rumah, memburu katak atau berudu, atau mungkin bergelumang dalam lumpur di padang ketika bermain bola sepak selepas hujan. Jangan nafikan peluang untuk anak anda menimba pengalaman dan kenangan mereka sendiri!

Kanak-kanak harus meluangkan sekurang-kurangnya satu jam untuk bermain di luar setiap hari:

  • Berbasikal di taman
  • Berjalan, berlari, atau bermain di taman berdekatan
  • Bermain layang-layang
  • Bermain badminton atau bola sepak

Family flying kite at the park

Hujung minggu ialah masa terbaik untuk diluangkan bersama keluarga:

  • Berkelah di taman atau di tempat rekreasi lain
  • Menikmati suasana di pantai
  • Merentas rimba
  • Berkhemah pada hujung minggu

Family at the beach

Bermain di luar adalah penting agar kita memperoleh Vitamin D daripada matahari. Ia juga memberikan anak anda peluang meneroka kekuatan, kebolehan dan kelemahan mereka menerusi risiko yang terkawal. Aktiviti taman permainan yang ringkas seperti monkey bar boleh mencabar anak anda untuk jadi lebih berani, berdikari dan tabah untuk sampai ke penghujung.

Bermain sorok-sorok boleh mencabar mereka menjadi lebih pandai menyesuaikan diri dalam pelbagai situasi atau keadaan. Bermain dengan kanak-kanak lain membantu membina stamina dan persaingan sihat. Terdapat juga aktiviti lain yang menarik seperti mendaki tembok, luncur ais, dan taman trampolin. Pada hari yang tidak sesuai untuk keluar (akibat hujan atau jerebu), gunakan kreativiti dan benarkan anak anda bermain permainan tradisional di dalam rumah seperti teng-teng.

Pentingnya tubuh yang kuat

Walaupun memupuk daya tahan emosi adalah penting, ibu bapa juga harus menjaga kesihatan fizikal anak mereka. Tubuh yang kuat bermakna anak anda akan kurang jatuh sakit, jadi anda tidak perlu bimbang apabila dia bermain di luar.

Walaupun ini akan mendedahkannya kepada lebih banyak kuman dan bahaya lain, pendedahan ini akhirnya akan menjadikan tubuh lebih kuat. Sesetengah saintis percaya kepada ‘hipotesis kebersihan’, yang menyatakan zaman kanak-kanak yang terlalu terkongkong, dengan pendedahan yang sangat sedikit kepada kuman, bakteria dan mikroorganisma lain, akan menghalang sistem imun daripada mencapai potensi sepenuhnya, lalu kanak-kanak itu mungkin akan membesar menjadi seorang dewasa yang mudah jatuh sakit atau terkena alahan.

Child's leg hurt from falling

Jadi, jangan terlalu bimbang jika ada sedikit kekotoran, calar, atau luka. Ia sebahagian daripada proses membesar dan merasai kegembiraan bermain, kesakitan daripada lutut yang luka apabila jatuh, serta keberanian dan ketahanan untuk bangkit dan terus bermain. Mendedahkan anak anda kepada dunia luar bukan sahaja akan membina perwatakannya, tetapi juga menguatkan tubuhnya secara fizikal.

Di samping itu, keperluan pemakanannya harus dipenuhi untuk tumbesaran dan perkembangan yang baik. Mempunyai tubuh yang kuat dan sihat bermakna anak anda tidak akan terlepas banyak peluang dan pengalaman. Secara ringkasnya, perkara asas untuk tubuh yang sihat dan kuat adalah:

  • Memastikan anak anda aktif secara fizikal setiap hari
  • Menyediakan nutrien berkhasiat kepada anak anda menerusi pemakanan seimbang dan sihat
  • Memastikannya mendapat rehat atau tidur yang cukup setiap hari
  • Kekal terhidrasi dengan meminum air secukupnya setiap hari

Children at the playground

Daya tahan anak anda seharusnya dipupuk untuk mendapatkan tubuh dan minda yang sihat dan kuat. Bagaimanapun, pendekatan yang digunakan perlu sesuai dengan peringkat perkembangannya. Ingat juga bahawa setiap kanak-kanak berbeza, jadi bersedialah untuk menggunakan strategi atau pendekatan berbeza dengan setiap kanak-kanak untuk mendapatkan hasil yang anda mahukan.

Sumbangan daripada Persatuan Pediatrik Malaysia.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen