Seluruh negara gempar apabila kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) meningkat secara mendadak dalam kalangan kanak-kanak pada Julai dan Ogos tahun ini. Lebih 50,000 kes dilaporkan, iaitu peningkatan sebanyak 120% berbanding tahun lepas.
Di Eropah, kes campak mencatat rekod tertinggi tahun ini. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan lebih banyak kes dicatatkan pada separuh pertama 2018 berbanding mana-mana tempoh 12 bulan dalam dekad ini.
Kedua-dua wabak itu memberi kesan pada kanak-kanak, menyebabkan kemasukan ke hospital dan kematian. Sekolah dan tadika di Malaysia terpaksa ditutup selepas ramai pelajar dijangkiti HFMD. Kanak-kanak lebih mudah dijangkiti kerana sistem imun mereka belum matang sepenuhnya. Mereka suka meneroka persekitaran, dan ini mendedahkan mereka kepada kuman. Komplikasi serius boleh terjadi akibat penyakit berjangkit, jadi penting bagi ibu bapa memastikan kesejahteraan kanak-kanak dengan mengambil langkah mencegah jangkitan.
Bahaya penyakit berjangkit
Ini ialah persoalan yang kerap dibangkitkan apabila sesuatu wabak berlaku: mengapa ia sering terjadi setiap tahun? Tahun lepas, wabak difteria menular luas, manakala tahun ini, giliran HFMD pula. Demam denggi pula ancaman yang berterusan di banyak tempat berisiko di Malaysia. Entah penyakit berjangkit mana yang akan jadi tajuk berita tahun hadapan?
Menurut Dato’ Dr Musa Mohd Nordin, pakar perunding pediatrik dan neonatologi, kunci utama untuk menjawab persoalan ini adalah dengan mengetahui apakah sebenarnya penyakit berjangkit. “Jangkitan berlaku apabila kuman menyerang badan dan mula merebak, menyebabkan badan bertindak balas. Penyakit yang disebabkan oleh jangkitan dipanggil penyakit berjangkit,” katanya. Penyakit tidak berjangkit pula, seperti kanser atau diabetes, disebabkan oleh faktor seperti genetik, gaya hidup dan persekitaran.
Jangkitan berlaku akibat pelbagai agen jangkitan atau kuman. “Antara punca utama jangkitan termasuk bakteria, yang menyebabkan penyakit seperti sakit tekak dan jangkitan saluran kencing, dan virus, yang menyebabkan penyakit seperti HIV/AIDS dan influenza,” katanya. Kuman lain seperti kulapuk, protozoa dan pelbagai parasit juga boleh menyebabkan penyakit berjangkit.
“Terdapat pelbagai jenis penyakit berjangkit dan setiap satunya mempunyai simptom tersendiri. Tetapi secara umumnya, simptom seperti demam, cirit-birit, batuk dan keletihan adalah biasa apabila dijangkiti,” jelasnya. Bagaimanapun, sesuatu jangkitan tidak semestinya membawa kepada penyakit. “Seseorang boleh dijangkiti tanpa menunjukkan sebarang simptom. Dalam kes ini, dia dikira sebagai pembawa tanpa simptom,” tambahnya. Terdapat juga kes di mana simptom hanya akan muncul pada peringkat penyakit yang lebih lewat.
Sebar kesedaran, bukan kuman
Penyakit berjangkit boleh tersebar secara meluas dan bertukar menjadi wabak kerana kurangnya kesedaran atau keprihatinan di kalangan orang awam. “Masih ramai orang yang tidak sedar akan cara berbeza penyakit berjangkit boleh tersebar,” kata Dr Mary Joseph Marret, pakar perunding pediatrik. “Sesetengah ibu bapa masih menghantar anak-anak mereka ke sekolah walaupun mereka sakit. Mereka mungkin beri alasan yang tiada siapa boleh menjaga anak mereka yang sakit, tetapi tindakan inilah yang akan mendedahkan kanak-kanak lain kepada jangkitan,” tambahnya.
Kuman boleh tersebar melalui pelbagai cara. “Penyakit berjangkit yang tersebar daripada seseorang kepada seseorang yang lain dipanggil ’contagious disease’. Ini termasuk jangkitan melalui sentuhan fizikal langsung, seperti bercium dan bersentuhan, dan penyebaran titisan cecair apabila seseorang batuk atau bersin,” jelasnya. “Menggunakan atau menyentuh sesuatu yang digunakan oleh seseorang yang dijangkiti, seperti berkongsi penyedut air atau berus gigi, juga boleh menyebarkan jangkitan,” tambahnya. Ini berlaku kerana cecair badan daripada seseorang yang dijangkiti seperti air liur dan lelehan hidung mengandungi virus atau bakteria yang menyebabkan jangkitan.
“Penyakit berjangkit juga boleh tersebar daripada binatang kepada manusia. Contohnya, anda boleh dijangkiti toksoplasmosis jika tidak berhati-hati semasa mengendalikan najis kucing,” katanya. Sesetengah penyakit seperti denggi atau malaria disebarkan oleh vektor seperti nyamuk. “Vektor itu tidak menyebabkan penyakit tetapi membawa parasit daripada satu mangsa kepada mangsa yang lain,” tambahnya. Makanan atau minuman, yang tidak dimasak dengan elok atau tercemar, juga boleh menjadi sumber jangkitan, kerana pelbagai kuman seperti E. coli mungkin mencemari makanan tersebut.
Menyedari faktor risiko juga penting untuk menghalang jangkitan. “Anda lebih berkemungkinan untuk jatuh sakit jika sistem imun tidak berfungsi dengan baik atau masih belum matang sepenuhnya, seperti dalam kanak-kanak kecil,” katanya. “Orang lebih tua mempunyai risiko lebih tinggi dijangkiti akibat penyakit yang sedia ada. Individu dengan penyakit yang menjejaskan sistem imun seperti HIV/AIDS juga lebih mudah terkena jangkitan. Satu lagi kumpulan yang berisiko ialah mereka yang menerima rawatan yang boleh menjejaskan sistem imun, contohnya pesakit yang mendapat rawatan kemoterapi atau radiasi untuk kanser.”
Pencegahan kunci utama
Mengetahui bagaimana penyakit berjangkit merebak dan siapa yang berkemungkinan dijangkiti adalah penting dalam merancang strategi untuk menghalang penyakit berjangkit, dan kemudiannya, mengawal wabak. Rawatan lebih baik boleh diberikan kepada mereka yang berisiko, dan langkah sewajarnya boleh diambil untuk mencegah jangkitan. Satu kaedah penting dalam pencegahan jangkitan adalah dengan mengamalkan kebersihan.
Membasuh tangan mungkin kelihatan remeh, tetapi ia kaedah perlindungan terbaik daripada kuman. “Kuman di tangan anda boleh menjangkiti anda semasa menyentuh hidung, mata, atau mulut. Ajar anak anda basuh tangan mereka dengan sabun dan air secara teliti selama 10 hingga 15 saat sebelum dan selepas menyediakan makanan dan makan, selepas batuk, bersin atau menggunakan tandas, dan selepas bermain di luar atau menyentuh haiwan peliharaan,” kata Datuk Dr Zulkifli Ismail, seorang pakar perunding pediatrik dan pakar kardiologi pediatrik. Tetapi adakah sabun antibakteria satu keperluan? “Kajian menunjukkan bahawa sabun antibakteria tidaklah lebih berkesan membersihkan kotoran berbanding sabun biasa. Malahan, penggunaan sabun antibakteria yang berlebihan boleh menyebabkan peningkatan bakteria tahan antibiotik,” jelasnya.
Satu lagi aspek kebersihan adalah untuk mengamalkan adab semasa sakit. “Jika anak anda sakit, biarkan dia berehat di rumah. Galakkannya untuk menggunakan tisu atau sapu tangan apabila batuk atau bersin, bukan pada tangan kosong. Kuman lebih berkemungkinan tersebar dengan tangan berbanding melalui udara. Ingatkannya untuk tidak berkongsi barangan peribadinya, seperti botol air, perkakas makan, berus gigi atau tuala. Apabila keluar, dia harus memakai topeng muka sekiranya dia sakit,” pesannya.
“Memandangkan pengambilan makanan tercemar adalah satu cara anda boleh dijangkiti, penyediaan dan penyimpanan makanan yang selamat adalah penting bagi pencegahan,” kata Dr Mary. Beliau berkongsi beberapa petua:
- Basuh tangan anda dan pastikan permukaan dapur bersih semasa memasak.
- Basuh buah-buahan dan sayur-sayuran dengan teliti sebelum makan.
- Pastikan daging, ayam, dan makanan laut dimasak sepenuhnya.
- Jangan sesekali makan telur mentah atau kurang masak.
- Masak makanan sejuk beku sebaik sahaja dinyahbekukan.
- Jangan tinggalkan saki-baki makanan pada suhu bilik untuk tempoh berpanjangan.
- Alatan dan permukaan yang digunakan dalam penyediaan daging, ayam, dan makanan laut mentah tidak patut bersentuhan dengan makanan yang dimasak.
Pembersihan rumah juga perlu dilakukan secara berjadual. “Sentiasa bersihkan lantai, bilik air, karpet, dan tingkap dengan air dan sabun. Jika seseorang baru jatuh sakit di rumah anda, gunakan disinfektan untuk menyingkirkan kuman daripada permukaan dan barangan seperti kaunter dapur, meja, mainan, dan perkakas dapur,” katanya. Semasa di negara luar, ambil langkah berjaga-jaga. Tambahnya, “Dapatkan nasihat doktor anda jika anda perlukan vaksinasi khas seperti demam kuning, taun, atau demam kepialu di negara yang anda akan lawati. Ketahui tahap keselamatan makanan dan air di negara tersebut, dan ambil langkah untuk mencegah gigitan serangga.”
Tentang vaksin dan antibiotik
Apabila kes difteria melanda semula sejak beberapa tahun lepas, terdapat kebimbangan bahawa ia mungkin disebabkan oleh gerakan anti-vaksin yang makin menular di negara ini. Salah maklumat dan kurangnya kefahaman mungkin membawa kepada situasi ini, menyebabkan pengambilan imunisasi menurun. Maka, perlindungan yang diberikan oleh imuniti berkelompok terhadap penyakit yang boleh dicegah dengan vaksin mungkin terjejas, lalu mendatangkan wabak. “Barisan pertahanan terbaik bagi penyakit-penyakit berjangkit ini ialah vaksinasi. Amat penting bagi ibu bapa untuk memastikan anak-anak mereka divaksinkan menurut Program Imunisasi Kebangsaan,” kata Dr Musa.
Selain gerakan anti-vaksin, penyalahgunaan antibiotik yang meluas juga boleh menyebabkan wabak kerap meletus. “Antibiotik sangat berguna dalam melawan jangkitan bakteria sejak penemuan penisilin. Tetapi penggunaan berlebihan dan penyalahgunaan telah menyumbang kepada ketahanan antibiotik dalam sesetengah jenis bakteria,” jelas Dr Musa. “Antibiotik tidak harus digunakan sebagai rawatan untuk jangkitan virus seperti influenza. Ambillah antibiotik seperti yang diarahkan, dan sentiasa habiskan rawatan itu. Jangan guna antibiotik yang berlebihan atau yang dipreskripsi kepada orang lain,” nasihatnya.
Program Imunisasi Kebangsaan (NIP)
Vaksin termasuk dalam NIP
- BCG (Tuberkulosis)
- DTaP (Difteria, Tetanus, Pertusis)
- Hepatitis B
- Haemophilus Influenzae jenis B
- IPV (Polio)
- MMR (Campak, Beguk, Rubela)
- Virus Papilloma Manusia, HPV (perempuan sahaja)
- Ensefalitis Jepun (Sarawak sahaja)
Vaksin disarankan yang tiada dalam NIP
- Pneumokokus
- Influenza
- Rotavirus
- Cacar air (varicella)
- Meningokokus
- Hepatitis A
Kata-kata akhir
Kanak-kanak lebih berisiko menghidap penyakit berjangkit kerana sistem imun mereka masih belum matang sepenuhnya. Sesetengah penyakit berjangkit mungkin tidak begitu serius dan akan hilang secara sendiri, tetapi sesetengahnya ada akibat yang teruk dan boleh membawa maut. “Selamatkan anak anda daripada jangkitan dengan menjadikan kebersihan sebagai amalan dalam keluarga. Lindungi mereka daripada penyakit yang boleh dicegah dengan vaksin dengan mengikuti Program Imunisasi Kebangsaan dengan betul. Amalkan gaya hidup sihat dengan selalu bersenam dan makan secara seimbang bagi meningkatkan sistem imun,” pesan Dr Zulkifli.
Oleh Dato’ Dr Musa Mohd Nordin, Pakar Perunding Pediatrik & Neonatologi; Dr Mary Joseph Marret, Pakar Perunding Pediatrik; Datuk Dr Zulkifli Ismail, Pakar Perunding Pediatrik & Pakar Kardiologi Pediatrik.
Komen