Pengasuhan Positif

Fakta Sebenar Meningitis

Meningitis ialah keradangan akut yang berlaku pada meninges, selaput perlindungan yang membaluti otak dan saraf tunjang. Meningitis boleh disebabkan oleh jangkitan bakteria atau virus, dan punca lain. Meningitis bakteria boleh membawa maut terutamanya apabila disebabkan oleh kuman seperti S. pneumoniae, N. meningitidis, H. influenzae.

Fakta atau mitos?

Anda mungkin pernah dengar tentang meningitis dan betapa bahayanya penyakit ini. Bagaimanapun, terdapat beberapa salah faham yang harus diperbetulkan.

1. Meningitis mudah dikesan, jadi saya akan tahu serta-merta jika anak saya dijangkiti.

Meningitis sebenarnya mudah terlepas daripada dikesan kerana simptom seperti demam panas dan sakit kepala di peringkat awal sama seperti selsema dan penyakit biasa yang lain. Kanak-kanak menunjukkan simptom yang sedikit berbeza daripada orang dewasa. Simptom boleh bertambah dalam beberapa jam atau beberapa hari. Jika mana-mana simptom berikut muncul secara tiba-tiba dan serius, dapatkan rawatan segera. Rawatan awal sangat penting.

Mereka yang lebih 2 tahun

  • Demam panas
  • Sakit kepala yang teruk
  • Kekejangan leher
  • Kekeliruan
  • Loya atau muntah-muntah
  • Mengantuk dan terlalu penat
  • Tiada selera
  • Sensitif kepada cahaya
  • Ruam keunguan

Bayi baru lahir dan anak kecil

  • Demam panas
  • Tangisan nyaring
  • Enggan menyusu
  • Kekejangan badan dan leher
  • Mengantuk dan mudah terganggu
  • Ubun-ubun membonjol (bahagian lembut di kepala bayi)
2. Hanya bayi dan anak kecil boleh menghidap meningitis, jadi anak remaja saya selamat.

Bayi bawah setahun paling biasa menghidap meningitis, tetapi ia boleh menjangkiti sesiapa sahaja tanpa mengira umur. Sesetengah kumpulan lebih mudah dijangkiti meningitis seperti mereka yang tidak mengambil vaksin wajib, anak kecil, remaja, orang tua, wanita mengandung, mereka yang tinggal beramai-ramai (pelajar di sekolah berasrama atau kanak-kanak di pusat jagaan), dan mereka yang mempunyai sistem imun berisiko (contohnya pesakit AIDS/kencing manis).

3. Vaksin boleh menyebabkan meningitis.

Vaksin yang mencegah meningitis telah terbukti selamat dan tidak menyebabkan meningitis. Sama dengan semua vaksin lain, mungkin akan ada sedikit kesan sampingan seperti kemerahan/bengkak di tempat suntikan atau demam, tetapi ini jarang berlaku.

Vaccination

4. Saya boleh melawat pesakit meningitis kerana ia tidak berjangkit.

Bakteria yang menyebabkan meningitis tidak mampu hidup lama di luar badan manusia, tetapi ia masih boleh tersebar menerusi titisan udara dan sentuhan langsung dengan orang yang dijangkiti. Terdedah kepada rembesan pesakit (contohnya, batuk, bersin, ciuman, berkongsi alatan makan, rokok atau berus gigi) boleh membuatkan anda dijangkiti. Bagaimanapun, sentuhan biasa seperti bersalaman atau berada dalam bilik yang sama tidak akan menyebarkan meningitis.

5. Ahli keluarga saya sudah mengambil vaksin meningitis, jadi kami terlindung sepenuhnya.

Satu vaksin tidak dapat memberi perlindungan penuh terhadap semua bakteria yang menyebabkan meningitis. Terdapat pelbagai vaksin untuk melindungi anda daripada beberapa jenis bakteria yang berbeza, seperti vaksin konjugat meningokokus (MCV4), vaksin konjugat pneumokokus (PCV10 dan13), atau vaksin Haemophilus influenzae jenis B (Hib). Vaksin Hib termasuk dalam Program Imunisasi Kebangsaan dan diberikan secara percuma kepada semua bayi Malaysia dalam 4 dos. Manakala, vaksin meningokokus wajib diambil bagi semua yang akan melaksanakan ibadat haji atau umrah. Kerajaan sedang berusaha untuk memasukkan vaksin PCV ke dalam Program Imunisasi Kebangsaan. Sementara ini berlaku, ia boleh didapati di klinik dan hospital swasta.

Family protected with vaccine

6. Satu cara mengesahkan meningitis ialah dengan melihat kewujudan ruam.

Ruam keunguan tidak semestinya timbul apabila menghidap meningitis dan biasanya muncul agak lewat. Ruam menunjukkan bahawa jangkitan sudah merebak ke darah. Simptom boleh bertambah teruk dengan cepat dan menyebabkan kematian dalam kurang daripada 24 jam. Jangan tunggu ruam muncul untuk mendapatkan rawatan.

Meningitis mungkin bukan satu penyakit biasa tetapi ia tidak harus diambil ringan, kerana ia boleh membawa kesan buruk. Komplikasi yang boleh berlaku termasuklah kehilangan pendengaran, kesukaran pembelajaran, sawan, amputasi, dan paling teruk, kematian. Meningitis boleh membawa maut, maka pencegahan menerusi vaksinasi dan amalan kebersihan ialah pilihan terbaik untuk ibu bapa dan anak-anak.

Sumbangan daripada Persatuan Pediatrik Malaysia.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen