Pengasuhan Positif

Temu bual Khas: Prof Muhaya

Dalam isu kali ini, Positive Parenting berpeluang menemubual Datuk Profesor Dr Che Muhaya Binti Haji Mohamad. Beliau dilahirkan pada 1958 di Kampung Ladang, Terengganu.

Seperti kebiasaan zaman itu, bapa Prof Muhaya membesarkan anak dengan gaya yang sangat autoritarian dan tegas. Beliau seorang bapa yang mementingkan disiplin. Kesemua anak-anaknya harus bangun, mandi dan bersedia untuk solat Subuh pada 6.30 pagi. Selepas solat, tibalah masa untuk membaca dan mengulangkaji pelajaran.

Bagaimanapun, bapanya seorang yang penyayang dan berpandangan jauh. Beliau kerap memberikan motivasi kepada anak-anak dengan memberitahu bahawa mereka mampu menjadi arkitek, doktor, mahupun jurutera. Beliau juga menyokong dan menggalakkan Prof Muhaya untuk belajar dengan tekun. Satu lagi nilai yang dipupuk oleh bapanya dalam diri Prof Muhaya ialah sikap pemurah dan belas kasihan terhadap golongan miskin.

Ibu bapa pada zaman 60-an dan 70-an kebanyakannya garang serta kerap meninggikan suara dan berteriak pada setiap kesalahan anak-anak mereka. Cara Prof Muhaya membesarkan anak sendiri sangat dipengaruhi oleh cara beliau dibesarkan dan beliau sangat menekankan disiplin. Bagaimanapun, beliau tidak pernah menggunakan paksaan agar anak-anaknya belajar. Misalnya, jika ada antara anak-anaknya tidak mahu mengulangkaji untuk SPM, beliau akan berkata sesuatu seperti, “Bayangkan, jika kamu menonton TV setiap masa dan tidak mengulangkaji, pada hari kamu memperoleh keputusan nanti, adakah kamu akan senyum gembira atau menangis?”

Beliau mengakui, gaya beliau membesarkan anak seperti gaya ibu bapanya membesarkannya, tetapi dalam versi yang lebih lembut. “Apabila saya ingat kembali, saya tahu saya sememangnya sedikit garang. Bagaimanapun, saya semakin lembut apabila usia meningkat. Apabila saya menjadi seorang nenek, saya akui saya benar-benar berbeza dengan semasa saya menjadi ibu dahulu,” katanya.

Prof Muhaya yang juga Pengarah di Prof Muhaya Eye & LASIK Centre (PMELC) berkata, sebagai ibu bapa, rasa tanggungjawab sangat tinggi untuk memastikan anak-anak mendapat yang terbaik. “Kita mahu memastikan anak-anak kita memperoleh pendidikan yang baik, kerjaya yang baik, dan masa depan yang cerah. Pada zaman 80-an dan 90-an, saya mengutamakan pencapaian akademik kerana ia boleh menjamin kerjaya yang baik dan masa depan yang selamat. Bagaimanapun, sebagai seorang nenek, perspektif saya terhadap hidup sudah berubah,” katanya.

Prof Muhaya (gambar ihsan dari Lensa Arshad)

Membesarkan anak banyak tertumpu pada kecemerlangan akademik kerana ia penting untuk kejayaan dan kelangsungan hidup seseorang memandangkan melanjutkan pelajaran ke universiti biasanya akan menjamin pekerjaan yang stabil. Ini boleh menyebabkan tekanan dan persaingan dalam kalangan kanak-kanak.

Beliau berkata, apabila beliau berjumpa dengan mereka yang seusia dengannya, kebanyakan daripada mereka menunjukkan kesan buruk daripada kaedah ini. Contohnya, rakan sebayanya yang mempunyai ibu bapa garang, kurang menghargai anakanak dan kerap marah, mereka cenderung mempunyai keyakinan diri yang rendah dan terlalu mementingkan kesempurnaan. Mereka juga mudah murung dan tidak gembira jika gagal mencapai matlamat mereka.

Walaupun beliau percaya anak-anak boleh memilih untuk menjadi apa yang mereka mahu, beliau juga percaya, siapa yang mereka pilih untuk jadi adalah sangat penting. Beliau sentiasa membayangkan cucu-cucunya membesar menjadi orang yang menyumbang kepada masyarakat, berakhlak mulia dan mengamalkan nilai-nilai murni.

Nenek yang berusia 60 tahun itu juga mengakui yang beliau lebih penyayang, kurang tegas dan juga memanjakan cucu-cucunya. Pada awalnya, beliau kerap membelikan mereka pelbagai baju dan mainan, tetapi kini, beliau cuba mendidik mereka tentang kepentingan bersikap pengemas dan bersih sambil mengurangkan pembelian barang mewah untuk mereka.

Beliau menyokong cucu-cucunya diajar untuk memperkasakan diri demi meningkatkan imej diri mereka. Imej diri yang positif akan membawa kepada kelakuan yang positif.

“Nenek dan datuk sering terjatuh dalam jerat ini, dan saya sendiri pun tidak boleh lari. Anak-anak saya terpaksa berhadapan dengan saya mengenainya, dan memandangkan saya tidak mahu memaksa nilai-nilai saya ke atas mereka, saya biar mereka teruskan dengan cara mereka. Sebaliknya, saya memerhati dan menyukai cara anak-anak saya membesarkan cucu-cucu saya, dan ini buat saya rasa sangat bersyukur,” katanya.

Beliau juga mengakui, beliau mahu anak-anaknya yakin dengan diri mereka, oleh itu beliau kerap menunjukkan penghargaan terhadap kelakuan baik mereka dengan memberitahu betapa beliau bangga dengan mereka. Beliau jarang memberi kritikan.

Prof Muhaya mengenang semula, “Bapa saya seorang tentera, jadi ketepatan waktu sangat diutamakan. Saya dibenarkan keluar bermain dengan syarat saya harus pulang ke rumah tepat pada 6 petang, kemudian mandi dan bersedia untuk solat. Bapa saya juga sering menyoal kami tentang apa yang kami sudah baca atau pelajari.”

Evolusi cara membesarkan anak

Pada pendapatnya, perbezaan terbesar dalam cara membesarkan anak ialah tahap ketegasan dan kekurangan penekanan pada komunikasi antara ibu bapa dan anak. Kanak-kanak tidak dibenarkan atau tidak harus berkata apa-apa; peranan mereka hanyalah untuk mendengar dan mematuhi ibu bapa dan orang tua. Walaupun ini mungkin memudahkan ibu bapa kerana anak-anak lebih patuh dan kurang terlibat dalam sebarang kelakuan tidak baik, terdapat kesan buruk pada kemudian hari.

Prof Muhaya yang juga seorang penceramah motivasi dan perkembangan kendiri, rasa bersyukur kerana pengasuhan moden membawa kepada ibu bapa yang lebih berpengetahuan, yang mampu memupuk anak-anak yang lebih kreatif dan inovatif. “Saya optimis bahawa semakin masa berlalu, setiap generasi akan bertambah baik. Agama juga sangat penting kerana ia menyediakan kita dengan asas untuk alam akhirat di mana kita akan dipertanggungjawabkan dengan semua amalan kita semasa hidup. Apa sahaja yang kita lakukan, kita mahu anak-anak kita gembira dan lebih gemar memberi daripada menerima,” katanya.

Prof Muhaya bersama suami tercinta, Dato’ Azmi Jamion

Ibu bapa zaman sekarang lebih terbuka, penyayang, baik dan berpengetahuan. Terdapat kesedaran lebih tinggi bahawa setiap anak mempunyai potensi tersendiri, dan ibu bapa kini juga menumpukan pada aspek lain dalam perkembangan anak, bukan hanya akademik. Bagaimanapun, beliau percaya disiplin harus dikekalkan, dan berpendapat ia semakin berkurangan kerana ibu bapa kini banyak mengalah dengan anak-anak mereka.

Ibu bapa masa kini lebih terbuka dalam usaha mereka untuk mencapai keseimbangan antara tidak memanjakan anak dan tidak terlalu tegas, untuk membina keyakinan diri dan sikap berdikari. “Anak-anak ialah cerminan anda sendiri. Ibu bapa harus menunjukkan kasih sayang tidak berbelah-bagi dan menerima mereka seadanya. Ini akan membantu mereka membina imej diri yang positif dan belajar mencintai dan menerima diri mereka. Disiplinkan mereka sewajarnya, tetapi pastikan tumpuan anda ialah kelakuan mereka dan anda tetap menyayangi mereka walau apa pun,” nasihatnya.

Prof Muhaya (duduk) bersama anak perempuan kedua beliau, Noor Atiyah Azmi

Tiada ‘rahsia’

Disiplin dan fokus ialah kunci menjadi seorang ibu dan juga wanita berkerjaya yang berjaya. “Saya menjadi seorang ibu semasa tahun akhir di sekolah perubatan. Walaupun saya baru sahaja melahirkan anak 16 hari sebelum itu, saya sudah pun membuat rondaan di wad untuk memeriksa pesakit-pesakit saya kerana saya sangat fokus untuk lulus peperiksaan. Saya teruskan mengulangkaji sambil menyusukan anak perempuan saya. Saya melakukan pelbagai tugasan dalam satu masa untuk lulus dalam peperiksaan. Dengan izin Tuhan, saya terpilih sebagai pelajar terbaik untuk tugasan O&G walaupun dengan separuh kehadiran. Jadi, saya boleh katakan yang ‘rahsia’ saya hanyalah disiplin, fokus dan izin Tuhan,” kata Prof Muhaya.

Sebagai doktor, beliau kerap kerja sehingga lewat dan ini membuatkan dia rasa bersalah kerana tidak dapat meluangkan banyak masa untuk anak-anak. Bagaimanapun, anak-anaknya memahami yang kesibukan beliau adalah untuk perkara yang baik – untuk membantu orang ramai. Beliau percaya ini sebabnya dua anak perempuannya kini menjadi doktor.

“Jika anda tidak gembira dengan anak-anak, ia bermakna anda tidak menjadi teladan yang baik atau tidak menggunakan gaya pengasuhan yang sewajarnya, mengikut usia dan peringkat perkembangan mereka. Sebagai ibu bapa, kita harus fleksibel kerana terdapat banyak kaedah dalam melakukan sesuatu perkara. Cuba jadi fleksibel, lihat apa yang berlaku dan ubah cara jika perlu,” nasihatnya.

Tiada yang lebih buruk daripada…

Menurut Prof Muhaya, dosa terbesar oleh mana-mana ibu bapa adalah memberikan gajet kepada anak-anak. Anak-anak yang menjadi ketagih dengan gajet boleh menjadi anti-sosial dan lebih suka bermain dengan gajet daripada berinteraksi dengan keluarga dan rakan-rakan. “Pertama sekali, banyak kajian menunjukkan rangsangan berlebihan boleh menyebabkan berkurangnya kebolehan kognitif. Kedua, ia boleh menyebabkan rabun jauh kepada kanak-kanak, lalu memaksa mereka memakai kaca mata sejak kecil. Ketiga, ini boleh menyebabkan mereka menjadi anti-sosial. Akhir sekali, ia seperti jalan keluar yang mudah bagi ibu bapa. Saya sangat menentang perkara ini kerana terdapat risiko pada kemudian hari,” katanya.

“Membesarkan anak ialah satu tugas yang besar, jadi ibu bapa harus bersedia untuk menanggung tanggungjawab tersebut. Pada pendapat saya, jika anda gembira untuk berkahwin dan menimang cahaya mata, anda juga harus gembira untuk menjadi ibu bapa. Sekurang-kurangnya 90% daripada pengasuhan anak harus dilakukan oleh ibu bapa, kerana merekalah yang akan ada sepanjang hidup anak-anak. Nenek dan datuk, atau pembantu rumah tidak harus menanggung lebih daripada 10% ‘bebanan ibu bapa’. Rasionalnya mudah, datuk dan nenek tidak akan ada selamanya dan pembantu rumah tidak akan bekerja dengan sesebuah keluarga sampai bila-bila. Maka, ibu bapa perlu mempunyai hubungan rapat dengan anak-anak mereka,” katanya.

“Bagi saya, ibu bapa harus menganggap anak-anak sebagai pelaburan akhirat mereka. Harta paling bermakna untuk sesiapa sahaja ialah anak-anak mereka dan kebahagiaan abadi ialah anak-anak soleh. Anak-anak ialah masa depan kerana mereka akan hidup lebih lama lagi,” katanya.

Ini boleh dicapai dengan menumpukan pada tiga perkara: motivasi dalaman agar mereka boleh berjaya, karakter yang baik, dan hubungan yang baik. Perkara-perkara luaran seperti mahu menjadi kaya, terkenal atau cantik tidak harus digalakkan. Tinggalkan perkara sedemikian dan jadilah diri yang sebenar. Terimalah anak-anak anda seadanya, baik atau buruk! Ingatlah, seorang anak boleh menderita kerana: “Saya tidak cukup bagus” dan “Saya tidak cukup disayangi”. Dua perkara ini merupakan punca semua masalah dunia.

Santapan minda

“Saya tidak cukup bagus” – Prof Muhaya memberi amaran, mengkritik anak-anak dan membezakan mereka dengan orang lain ialah langkah yang salah. Ini boleh menjadikan mereka terlalu mementingkan kesempurnaan, dan meningkatkan kemungkinan mereka mengalami tekanan, keresahan dan kemurungan.

“Saya tidak cukup disayangi” – tidak menunjukkan kasih sayang yang mencukupi akan menyebabkan mereka cuba mencari kasih sayang dari sumber lain. Seseorang yang tidak berasa disayangi dengan secukupnya mungkin sukar untuk menyayangi diri sendiri dan orang lain, lalu membawa kepada perhubungan yang bermasalah.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen