Pengasuhan Positif

Mitos tentang Jaundis Neonatal

Jaundis ialah keadaan di mana kulit dan bahagian putih mata menjadi kekuningan, akibat kandungan bilirubin yang tinggi dalam darah. Bilirubin ialah bahan kuning yang biasanya terhasil apabila sel darah merah dipecahkan. Kemudian, bilirubin dimetabolismekan oleh hati untuk disingkirkan daripada badan. Lebih kurang satu dalam dua bayi mengalami jaundis neonatal pada hari-hari terawal selepas dilahirkan.

Dalam peralihan selepas kelahiran, hemoglobin janin (HbF) akan dimusnahkan dan digantikan oleh hemoglobin dewasa (HbA). Kemusnahan HbF ini menghasilkan zat besi dan bilirubin. Jika hati bayi tidak dapat menyingkirkan semua bilirubin berlebihan ini, maka jaundis fisiologikal akan terjadi, iaitu penyebab utama jaundis dalam bayi baru lahir. Ia sering berlaku apabila bayi berumur 2-4 hari dan mengambil masa 2 minggu untuk pulih. Ia biasanya tidak berbahaya, jika tahap bilirubin kekal stabil.

Jika bayi anda yang baru lahir kelihatan kuning, pakar pediatrik akan melakukan ujian darah untuk menentukan tahap bilirubin. Jika ia tidak serius, anda boleh terus menjaganya seperti biasa dan dinasihatkan untuk menyusukannya dengan kerap. Ini menggalakkan pergerakan usus yang kerap bagi menyingkirkan bilirubin menerusi najis. Penilaian berjadual dengan doktor juga diperlukan.

Rawatan yang sering diberi ialah fototerapi, di mana bayi baru lahir diletakkan di bawah cahaya biru khas, yang membantu memecahkan lebihan bilirubin. Terapi ini juga boleh dilakukan di rumah dengan alat yang sama. Dalam kes yang serius, transfusi pertukaran darah mungkin diperlukan untuk mencegah kerosakan otak.

Mitos dan salah faham

Terdapat pelbagai salah faham berkaitan jaundis. Berikut ialah penjelasan berhubung mitos-mitos yang banyak dipercayai.

Mitos: Jaundis neonatal disebabkan oleh makanan, ubat-ubatan, keadaan ketika hamil atau keturunan ibu.

Fakta: Berdasarkan kajian sains semasa, tiada kaitan antara faktor-faktor ini dan jaundis neonatal. Jaundis juga tidak mungkin diwarisi daripada ibu kepada anak. Selain jaundis ringan yang bersifat fisiologi, jaundis neonatal yang serius jarang berlaku, disebabkan oleh keadaan patologi seperti:

  • Ketidaksepadanan jenis darah antara ibu dan bayi (iaitu apabila ibu mempunyai darah Rh-negatif dan bayi mempunyai darah Rh-positif; antibodi ibu memasuki darah bayi menerusi plasenta dan memusnahkan sel darah merahnya, lalu menghasilkan bilirubin). Ibu yang berdarah kumpulan O+ dan bayi yang darahnya kumpulan lain juga boleh menyebabkan jaundis.
  • Bayi dengan kekurangan glukos-6-fosfat dehidrogenase (G6PD).
  • Bentuk sel darah yang abnormal (contohnya anemia sel sabit).
  • Penyakit yang menjejaskan hati dan saluran hempedu (contohnya fibrosis sistik, hepatitis).
  • Jangkitan semasa lahir (contohnya rubella, sifilis).

Mitos: Jaundis neonatal tidak berbahaya dan tidak memerlukan perhatian.

Fakta: Kebanyakan masanya, jaundis neonatal tidak berbahaya, tetapi ibu bapa harus sentiasa memantau keadaan bayi dan mengawasi tahap bilirubin bagi mencegahnya menjadi semakin teruk. Tahap bilirubin yang tinggi boleh menjejaskan pendengaran dan menyebabkan kernikterus, sejenis kerosakan otak. Dapatkan nasihat doktor dengan segera jika situasi berikut berlaku:

  • Jaundis muncul dalam 24 jam selepas lahir (jaundis patologi).
  • Peningkatan jaundis yang pantas.
  • Keputusan pemeriksaan bayi baru lahir menunjukkan kekurangan G6PD.
  • Bayi dalam keluarga sebelum ini mengalami jaundis neonatal yang serius.
  • Najis berwarna pucat atau air kencing gelap.
  • Bayi anda dilahirkan sebelum cukup bulan.

Mitos: Jaundis boleh dirawat dengan terapi cahaya matahari.

Fakta: Ini tidak disyorkan kerana ia tidak berkesan dan mungkin berbahaya. Bayi baru lahir boleh mengalami dehidrasi apabila diletakkan di bawah matahari, menjadikan keadaannya semakin teruk. Sinaran matahari dan sinar UV boleh menyebabkan kulit terbakar yang menyakitkan kepada kulit bayi baru lahir yang nipis.

Mitos: Berikan air kepada bayi baru lahir untuk ‘menyingkir’ jaundis.

Fakta: Kadangkala, bayi baru lahir yang diberikan susu ibu secara eksklusif mungkin mengalami jaundis yang lebih lama, tetapi ia bukanlah sebab untuk berhenti memberikan susu ibu atau memberikan bayi air biasa. Asalkan ibu tidak mengambil ubatan tradisional, dan bayi itu sihat dan bertambah berat badan, pemberian susu ibu secara eksklusif perlu diteruskan. Malah, ibu disyorkan untuk memberikan susu ibu kepada bayi baru lahir sekurang-kurangnya 8 hingga 12 kali sehari pada hari-hari pertama kelahiran bagi menangani jaundis.

Mitos: Susu kambing boleh membantu mengurangkan jaundis.

Fakta: Tiada kajian klinikal yang mengesahkan susu kambing berkesan untuk jaundis neonatal. Tambahan pula, sistem penghadaman dan hati bayi baru lahir belum matang dan tidak dapat menghadam susu kambing (dan lembu), yang mana kandungan nutriennya juga tidak memenuhi keperluan bayi baru lahir, berbanding susu ibu.

Mitos: Bayi baru lahir yang mengalami jaundis mungkin akan mengalaminya lagi.

Fakta: Kebanyakan kes jaundis neonatal bersifat fisiologi dan hanya berlaku pada beberapa hari pertama bayi. Jaundis yang dialami semasa dewasa tiada kaitan dengan jaundis neonatal.

Walaupun biasa berlaku, jaundis neonatal masih boleh membawa kepada komplikasi serius jika tidak diurus dan dirawat dengan baik. Penting untuk berunding dengan pakar pediatrik anak anda bagi mengawasi jaundis yang dialami pada beberapa hari pertama selepas kelahiran. Maklumkan keraguan anda kepada doktor bagi mengelakkan maklumat tidak tepat berkaitan jaundis.

Sumbangan daripada Persatuan Pediatrik Malaysia.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen