Pengasuhan Positif

Cirit-birit Akut di Kalangan Kanak-kanak

Cirit-birit akut adalah masalah yang besar dan kerap berlaku kepada kanak-kanak. Dianggarkan 1.8 juta kanak-kanak serata dunia meninggal dunia setiap tahun akibat penyakit cirit-birit, kebanyakannya melibatkan kanak-kanak bawah 5 tahun di negara membangun.

Cirit-birit adalah pembuangan najis yang kerap, lembut dan berair yang berbeza dari kebiasaan. Kanak-kanak dengan cirit-birit mungkin hilang selera, muntah, mengalami penurunan berat badan atau demam. Simptom lain termasuk sakit di bahagian abdomen, loya, najis berdarah dan kembung perut. Jika cirit-birit menjadi teruk dan berlanjutan, dehidrasi kemungkinan berlaku dan boleh membahayakan kanak-kanak.

Apakah sebabnya?

Cirit-birit boleh berlaku secara akut (kurang daripada dua minggu) atau kronik (melebihi dua minggu). Biasanya, cirit-birit di kalangan kanak-kanak adalah cirit-birit akut.

Cirit-birit akut

Gastroenteritis: Gastroenteritis adalah keradangan usus akibat jangkitan, biasanya oleh virus, tetapi juga termasuk jangkitan bakteria dan parasit. Penyebab utama gastroenteritis ialah rotavirus. Keracunan makanan: Cirit-birit dan muntah-muntah disebabkan oleh pengambilan air atau makanan yang dicemari bakteria seperti Campylobacter, Salmonella, dan Escherichia coli.

Keracunan makanan: Cirit-birit dan muntah-muntah disebabkan oleh pengambilan air atau makanan yang dicemari bakteria seperti Campylobacter, Salmonella, dan Escherichia coli.

Penggunaan berterusan antibiotik, ubat tahan sakit atau laksatif (julap): Sesetengah ubatan boleh memberi kesan kepada keseimbangan mikrobiota dalam usus, membenarkan bakteria tidak baik seperti Clostridium difficile membiak, lalu menyebabkan cirit-birit.

Alahan makanan: Alahan makanan tertentu juga boleh menyebabkan cirit-birit.

Cirit-birit kronik

Intolerans laktosa: Pengambilan susu dan produk tenusu boleh menyebabkan cirit-birit bagi mereka yang mempunyai intolerans laktosa, kerana ketidakupayaan mereka untuk menghadam laktosa.

Alahan protein susu lembu: Cirit-birit boleh menjadi salah satu reaksi alahan terhadap protein dalam susu lembu dalam sistem imun kanak-kanak.

Sistem imun yang lemah: Jangkitan HIV, gangguan sistem imun, dan penggunaan ubatan yang menyekat sistem imun boleh menyebabkan cirit-birit.

Gangguan penghadaman lain: Ini termasuk penyakit keradangan usus seperti penyakit Crohn dan kolitis ulseratif, dan juga gangguan proses penyerapan seperti penyakit coeliac dan fibrosis sistik.

Amaran!

Antara komplikasi cirit-birit di kalangan kanak-kanak yang paling membimbangkan ialah dehidrasi kerana badan manusia memerlukan jumlah cecair tertentu untuk berfungsi secara normal. Cirit-birit sederhana atau serius boleh menyebabkan kehilangan cecair yang banyak. Dehidrasi serius adalah berbahaya dan boleh menyebabkan jangkitan, sawan, masalah buah pinggang, dan kematian jika tidak dirawat dengan cepat. Bayi dan anak kecil boleh mengalami dehidrasi dalam masa kurang 24 jam jika tiada rawatan diberikan.

Hubungi dan dapatkan nasihat dari doktor jika anak anda menunjukkan tanda-tanda berikut:

  • Pening dan sakit kepala
  • Mulut, lidah dan bibir kering
  • Air kencing berwarna kuning gelap, sedikit atau tiada langsung
  • Sedikit atau tiada air mata
  • Mata tenggelam
  • Teramat letih, mengantuk dan mudah meragam

Tanda-tanda berikut juga harus diberi perhatian; dapatkan nasihat doktor anda serta-merta:

  • Demam panas
  • Darah atau mukus dalam najis
  • Sakit di bahagian abdomen
  • Penurunan berat badan, anemia
  • Pernafasan laju dan singkat
  • Pendarahan atau ruam pada kulit

Apa yang perlu dilakukan?

Kebanyakan kes cirit-birit akut beransur pulih dalam beberapa hari. Bagi menguruskan simptom dan mencegah cirit-birit menjadi semakin teruk, amalkan langkah-langkah ini.

  • Hidrasi. Minum banyak airbagi menghidrasi semula badan selepas kehilangan air akibat cirit-birit. Elakkan minuman bergas, kafein dan alkohol kerana cirit-birit boleh jadi semakin teruk. Larutan rehidrasi oral juga boleh digunakan untuk menggantikan kehilangan cecair dan elektrolit. Ia mengandungi nisbah air, gula dan garam yang betul. Untuk bayi, teruskan menyusu badan kerana ia kekal pilihan terbaik untuk mereka.
  • Elakkan makanan tertentu. Produk tenusu, makanan berlemak, makanan serat tinggi, atau makanan yang berperisa boleh menyebabkan keadaan semakin teruk. Elakkan mengambil makanan ini untuk beberapa hari. Ambil makanan lembut atau diet cecair buat sementara waktu.
  • Dapatkan nasihat doktor. Ubatan anti-cirit-birit seperti loperamida mungkin dapat membantu orang dewasa, tetapi mungkin tidak sesuai dan tidak selamat untuk kanak-kanak. Dapatkan nasihat doktor sebelum memberikannya kepada anak anda. Kes-kes yang diakibatkan oleh sebab spesifik seperti penyakit kronik coeliac, perlu diuruskan dengan sepatutnya menurut nasihat doktor.
  • Ambil probiotik. Probiotik boleh memulihkan keseimbangan mikrobiota usus dengan meningkatkan bakteria baik dalam usus. Probiotik boleh diambil dalam bentuk kapsul atau cecair dan dalam makanan tertentu seperti yogurt dan kimchi. Sesetengah jenis probiotik lebih berkesan untuk masalah tertentu. Contohnya, strain yis Saccharomyces boulardii didapati berkesan dalam merawat cirit-birit akut serta cirit-birit yang dikaitkan dengan antibiotik (memandangkan probiotik yis tidak terjejas oleh antibiotik).

Ramai anak kecil mengalami cirit-birit akut sebelum berumur tiga tahun. Jika ditangani dan dirawati dengan betul, ia akan beransur pulih tanpa komplikasi yang teruk. Walau bagaimanapun, sentiasa dapatkan nasihat dari doktor anda jika cirit-birit berlaku secara berpanjangan. Amalkan kebersihan yang terbaik bagi mengelakkan jangkitan kepada diri sendiri dan orang lain.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen