Pengasuhan Positif

Adakah Probiotik Berkesan?

Probiotik ialah mikroorganisma hidup yang juga digelar sebagai bakteria ‘baik’ kerana ia memberikan faedah kesihatan yang positif kepada kita.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mentakrifkan probiotik sebagai mikroorganisma hidup yang, apabila diambil pada jumlah yang mencukupi, akan memberikan faedah kesihatan kepada kita.

Probiotik memainkan pelbagai peranan di dalam badan kita seperti:

Awas!

Disbiosis ialah keadaan di mana mikroorganisma usus hilang keseimbangannya antara bakteria baik dan tidak baik. Keadaan ini mungkin disebabkan oleh jangkitan kuman, penggunaan antibiotik yang berpanjangan serta tidak wajar, tekanan yang berpanjangan, pemakanan yang terlalu tinggi protein dan sulfat, dan keradangan yang kronik. Antara tanda-tanda disbiosis atau simptom umum disbiosis adalah cirit-birit.

Manfaat lain probiotik

Jawapan mudahnya ialah, ya! Probiotik memang berkesan untuk sesetengah masalah usus kita. Contohnya, kepada mereka yang mengalami:

  • Sindrom usus rengsa (IBS): Banyak kajian secara konsisten telah menemui bahawa probiotik boleh mengurangkan kekembungan perut atau usus kita. Sesetengah strain probiotik boleh melegakan atau mengurangkan simptom bagi pesakit yang mengalami sakit abdomen atau sembelit yang disebabkan oleh IBS.
  • Cirit-birit: Sesetengah strain probiotik boleh juga mengurangkan tempoh cirit-birit akut, cirit-birit yang berkaitan dengan penggunaan antibiotik yang berpanjangan, cirit-birit yang dihidapi oleh pengembara, cirit-birit berkaitan dengan kemoterapi, atau cirit-birit yang disebabkan oleh radiasi. Pengambilan probiotik boleh membantu menambah semula populasi bakteria baik, lalu membantu menyeimbangkan mikrobiota usus anda. Probiotik membantu mengukuhkan dinding usus dan juga merangsang mekanisme pembaikan usus.

Data berkenaan dengan penggunaan probiotik dan kanser kolon adalah sangat terhad, tetapi apa yang ditemui setakat ini ialah pengambilanprobiotik berpotensi mengurangkan penanda bio (iaitu protein atau kimia tertentu yang dihasilkan badan) yang dikaitkan dengan kanser kolon.

Kesan pada sistem imun

Satu kajian tempatan yang baru sahaja selesai menunjukkan bahawa pengambilan probiotik (Lactobacillus acidophilus dan Lactobacillus paracasei) boleh mempengaruhi sistem imun secara positif. Kajian ini dijalankan untuk melihat pengaruh kepada pengambilan probiotik terhadap tiga pengantara kimia yang dirembeskan oleh sel imun badan kita. Kandungan pengantara kimia yang tinggi menunjukkan berlakunya keradangan di dalam badan kita yang membuatkan kita tidak sihat. Hasil penyelidikan ini menunjukkan kesan yang positif terhadap kandungan pengantara kimia yang semakin rendah di kalangan subjek yang sihat dan juga yang menghidapi IBS setelah pengambilan probiotik.

Panduan mudah untuk kesihatan lebih baik

Mulakan dengan memakan makanan kaya probiotik. Sumber-sumbernya termasuklah produk makanan yang ditapai seperti minuman susu berkultur, tempe, kimchi, yogurt buatan sendiri (tairu), dan pulut tapai. Ini akan membantu memastikan anda sentiasa menambah semula bakteria baik dalam usus anda.

Di samping mengambil probiotik atau makanan yang kaya probiotik, anda juga harus memakan makanan serat yang mencukupi. Ini membantu mengawal pergerakan usus, meningkatkan pengeluaran najis, lalu mengurangkan risiko masalah seperti buasir, penyakit divertikulum, dan juga kanser kolon. Tambahan pula, makanan yang berserat juga adalah makanan kepada bakteria usus yang baik. Makanan yang berserat ini dikenali sebagai prebiotik. Sumbernya termasuk buah-buahan, sayur-sayuran, bijirin penuh dan kekacang.

Faktor gaya hidup yang sihat seperti mendapat tidur dan senaman yang mencukupi, meminum air secukupnya, menguruskan tahap stres anda serta memakan makanan yang berkhasiat. Walaupun probiotik boleh memberikan anda banyak faedah kesihatan, jangan sesekali memperlekehkan kepentingan amalan gaya hidup yang sihat. Mengubah gaya hidup anda memerlukan usaha tetapi hasilnya pasti berbaloi!

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen