Pengasuhan Positif

Jangkitan Telinga: Mencegah Lebih Baik

Jangkitan telinga adalah salah satu penyebab utama kanak-kanak bertemu pakar pediatrik. Di Malaysia, dianggarkan sekurang-kurangnya setengah juta kes jangkitan telinga tengah berlaku dalam setahun bagi kanak-kanak bawah dua tahun. Jangkitan telinga tengah, juga dikenali sebagai otitis media, ialah jangkitan telinga yang biasa berlaku. Ia boleh dibahagikan kepada beberapa jenis: otitis media akut atau kronik, dan otitis media berefusi. Satu lagi jangkitan telinga ialah otitis eksterna akut, yang menjejaskan liang telinga luar.

Otitis media akut (AOM) ialah jangkitan bakteria/virus di telinga tengah, akibat sakit lain seperti selsema, alahan atau jangkitan pernafasan lain. Ini menyebabkan tiub Eustachia (tiub yang menghubungkan telinga tengah ke saluran pernafasan) tersumbat dan bengkak, menyebabkan terkumpulnya cecair di dalam telinga tengah. Ini menjadikannya tempat yang senang untuk kuman membiak. Ia berlaku dalam masa 3 minggu sehingga kurang daripada 3 bulan. Otitis media kronik pula ialah lelehan dari telinga yang berlaku selama lebih 3 bulan. Otitis media kronik kurang menyakitkan tetapi lelehan akan berterusan keluar dari telinga. Sementara itu, otitis media berefusi (OME) ialah keradangan dan pengumpulan cecair di telinga tengah tanpa sebarang jangkitan. Cecair yang terkumpul mungkin akan berterusan selepas AOM sudah pulih. OME mungkin tiada simptom yang jelas, tetapi jika ia berterusan berlaku, kanak-kanak itu mungkin mudah mengalami jangkitan telinga dan pendengarannya mungkin terjejas.

Otitis eksterna ialah jangkitan pada liang telinga, iaitu tiub yang bermula dari luar telinga hingga ke gegendang. Ia selalunya disebabkan oleh bakteria, kadangkala oleh virus atau kulat. Jangkitan mungkin disebabkan oleh perbuatan mencucuk objek ke dalam telinga atau apabila kelembapan terperangkap di dalam telinga selepas berenang atau mandi. Tidak seperti otitis media, otitis eksterna tidak datang bersama penyakit lain.

Apakah tanda-tandanya?

Otitis Media Akut
  • Sakit telinga
  • Sukar mendengar
  • Cecair mukoid pekat meleleh keluar dari telinga
  • Demam dan sakit kepala
  • Sukar untuk tidur
  • Hilang keseimbangan
  • Hilang selera makan
Otitis Eksterna
  • Sakit telinga
  • Sukar mendengar
  • Cecair jernih keluar dari telinga
  • Sakit semasa menekan atau menarik telinga
  • Gatal di telinga

Siapa yang berisiko?

Otitis media: Kanak-kanak berumur 6 bulan hingga 2 tahun lebih mudah mengalami otitis media kerana tiub Eustachia mereka lebih sempit dan mendatar, menjadikan cecair sukar untuk mengalir keluar dan mudah tersumbat. Ia juga sering berlaku semasa musim sejuk atau selsema. Kualiti udara yang tidak baik, akibat terdedah kepada asap rokok atau pencemaran udara juga meningkatkan risiko jangkitan telinga. Kanak-kanak yang dihantar ke pusat penjagaan atau mempunyai ramai adik-beradik juga berisiko tinggi untuk mendapat jangkitan.

Otitis eksterna: Lebih biasa dialami kanak-kanak sehingga awal usia remaja mereka akibat saiz dan bentuk liang telinga mereka. Otitis eksterna ini biasa berlaku kepada mereka yang kerap berenang. Masalah kulit seperti ekzema atau psoriasis juga meningkatkan risiko mengalami otitis eksterna, dan juga penggunaan kosmetik atau produk rambut yang boleh merengsa kulit.

Bahaya yang tak diduga

Biasanya, jangkitan telinga tidak membawa kepada komplikasi jangka panjang, tetapi jangkitan yang kerap berlaku atau berterusan boleh membawa kepada komplikasi serius seperti rosak pendengaran, lalu mengakibatkan perkembangan dan pertuturan yang lewat. Jangkitan boleh pulih sendiri dalam masa seminggu. Doktor mungkin memberikan antibiotik dalam bentuk ubat titis telinga atau larutan oral jika perlu. Ubat sakit atau kaedah lain juga mungkin diberikan untuk melegakan rasa sakit.

Walaupun AOM ialah penyakit biasa, ia juga faktor risiko kepada komplikasi lain yang boleh membawa maut, seperti mastoiditis akut, abses leher, meningitis, dan bakteremia, yang berlaku apabila bakteria yang menyebabkan jangkitan tersebar ke organ penting seperti otak dan peparu. Strain bakteria sama yang biasanya ditemui dalam telinga tengah yang dijangkiti, seperti Haemophilus influenzae dan Streptococcus pneumoniae, juga boleh membawa kepada komplikasi serius yang boleh menyebabkan kecacatan seumur hidup, seperti kehilangan pendengaran, dan juga kematian.

Pencegahan ialah langkah terbaik

Langkah pencegahan lazim termasuklah mengamalkan penjagaan kebersihan bagi mencegah selesema dan penyakit lain. Ajarkan anak anda untuk membasuh tangan dengan kerap dan secara betul, dan untuk menutup mukanya semasa bersin atau batuk. Juga, elakkan anak anda terdedah kepada asap rokok dan pencemaran udara. Sebaiknya, berikan susu badan kepada anak anda sekurang-kurangnya pada enam bulan pertama. Susu badan mengandungi antibodi yang menawarkan perlindungan daripada jangkitan telinga.

Vaksinasi juga boleh mencegah jangkitan telinga. Vaksin pneumokokal berkonjugat sangat berkesan menentang beberapa strain bakteria yang biasanya menyebabkan jangkitan telinga. Ini termasuklah strain yang juga menyebabkan penyakit serius seperti meningitis dan pneumonia. Maka, vaksinasi juga membantu mencegah penyakit berkaitan di samping jangkitan telinga. Suntikan flu bermusim juga mampu membantu mencegah jangkitan telinga. Dapatkan nasihat doktor tentang vaksin yang sesuai untuk anak ada. Jangkitan telinga mungkin penyakit biasa yang berlaku kepada kanak-kanak, tetapi ingat, terdapat risiko untuk berlakunya komplikasi lain yang lebih serius.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen