Pengasuhan Positif

Ibu, Katil Saya Basah…

Jika anak anda masih kencing malam walaupun sudah dilatih untuk ke tandas (biasanya pada ≥ 5 tahun), tanganilah perkara itu dengan tenang. Enuresis, atau biasanya dirujuk sebagai kencing malam, ialah keadaan di mana anak anda tidak mampu mengawal pundi kencingnya semasa tidur, lalu mengakibatkan mereka terkencing secara tidak sengaja.

Kanak-kanak yang mengalami enuresis malam sukar mengawal pundi kencing mereka, lalu menyebabkan situasi di mana mereka terkencing ketika tidur. Penting untuk anda TIDAK mendenda atau memalukan mereka hanya kerana kencing malam. Ia perkara yang tidak dapat dikawal olehnya, dan dia sendiri mungkin berasa lebih malu berbanding yang anda bayangkan.

Berapa kerap enuresis berlaku?

Umur 5-10 tahun – 5-10%
Umur 11-14 tahun – 2-3%
Umur ≥ 15 tahun – 1-2%

(1 daripada 100 dalam populasi mungkin berterusan sehingga zaman dewasa!)

Apakah sebabnya?

Terdapat beberapa sebab yang berkemungkinan membawa kepada masalah ini.

  • Hormon: Badan menghasilkan hormon antidiuretik (ADH) yang menyebabkan kurang air kencing terhasil semasa tidur. Kekurangan ADH mungkin membawa kepada air kencing yang banyak dihasilkan semasa tidur.
  • Pundi kencing: Spasma otot mungkin menyebabkan pundi kencing tidak mampu menahan lebih banyak air kencing. Sesetengah orang juga mungkin mempunyai pundi kencing yang lebih kecil berbanding saiz normal.
  • Genetik/Keturunan: Kanak-kanak lebih tua yang mengalami enuresis biasanya mempunyai salah seorang ibu atau bapa yang juga pernah mengalami masalah ini pada usia yang sama.
  • Tidur terlalu nyenyak: Anak anda mungkin tidur terlalu nyenyak sehingga sukar bangun untuk kencing.
  • Diuretik: Bahan kimia tertentu (contohnya, kafein, minuman berkarbonat) boleh menyebabkan kencing yang lebih kerap.
  • Keadaan kesihatan: Keadaan kesihatan tertentu boleh menyebabkan enuresis sekunder. Ini termasuklah diabetes, abnormaliti saluran kencing (dilahirkan dengan struktur saluran kencing yang luar biasa), sembelit, dan jangkitan saluran kencing (UTI). Trauma saraf tunjang, seperti saraf tunjang yang cedera akibat jatuh, kecederaan sukan atau kemalangan kenderaan juga memainkan peranan dalam menyebabkan enuresis, walaupun jarang berlaku.
  • Tekanan: Kejadian yang menyebabkan trauma seperti perceraian ibu bapa, kematian (rakan atau ahli keluarga), perpindahan ke tempat baharu, pertukaran sekolah atau sebarang perubahan lain boleh menyebabkan stres pada kanak-kanak. Ini boleh menyebabkan enuresis.

Menangani masalah ini

Dapatkan nasihat pakar pediatrik anak anda untuk mengetahui lebih lanjut tentang enuresis malam agar kemungkinan masalah kesihatan lain dapat disingkirkan. Ini akan melibatkan pemeriksaan fizikal dan sejarah kesihatannya. Pemeriksaan fizikal mungkin melibatkan analisis air kencing bagi menguji tanda-tanda penyakit.

Memandangkan enuresis malam tidak semestinya disebabkan oleh penyakit, jangan bimbang jika keputusan ujian menunjukkan ‘normal’. Pakar pediatrik mungkin bertanya maklumat yang dirasakan tidak berkaitan, seperti tabiatatau corak tidur, pergerakan penghadaman, dan tanda atau simptom kencing (contohnya, keinginan untuk kencing yang kerap, atau rasa sakit/pedih semasa kencing).

Masalah ini akan mengambil sedikit masa dan anak anda mungkin akan terus mengalami kencing malam. Buat sementara waktu, anda boleh cuba menangani masalah ini dengan:

  • Menggunakan cadar kalis air: Alas tilam dengan cadar kalis air untuk memastikan tilam kekal kering.
  • Akses mudah untuk ke tandas: Letakkan kedudukan katilnya hampir dengan tandas. Jika dia tidur di atas katil dua tingkat, biarkan dia tidur di tingkat bawah.
  • Jangan manjakannya: Jangan kejutkan dia untuk ke tandas kerana ini tidak membantu dalam jangka masa panjang. Kanak-kanak lebih tua juga mungkin perlu menukar baju/cadar mereka pada waktu malam, jadi anda boleh sediakan baju/cadar lebih.
  • Jangan minum sebelum waktu tidur, & makan malam lebih awal: Ini membantu mengurangkan jumlah cecair dalam badannya, agar pundi kencingnya tidak penuh. Ini mengurangkan kemungkinan anak anda kencing malam serta meminimumkan jumlah air kencingnya. Bagaimanapun, pastikan anda memberikannya air yang banyak semasa siang hari untuk mencegah dehidrasi.
  • Makanan/minuman yang harus dielakkan: Secara umumnya, elakkan kopi, teh, coklat, dan air berkarbonat yang mengandungi kafein kerana ia bertindak sebagai diuretik, yang menyebabkan kita mahu kencing.

Penggera kencing malam

Gajet kecil ini (atau alarm pad)mempunyai pengesan dan penggera yang akan mengejutkan anak anda jika dia kencing malam. Ini adalah untuk ‘melatih’ anak anda bangun sendiri agar lama-kelamaan, dia akan bangun ke tandas sebelum terkencing.

Apa yang penting dia bangun dengan pantas sebelum katil sudah basah. Semakin pantas dia bangun, semakin berkesan cara itu dalam mengubah tabiat kencing malamnya. Bagaimanapun, bersabarlah kerana ia mungkin akan mengambil masa sekurang-kurangnya sebulan sebelum anda dapat melihat sebarang perubahan. Malangnya, kaedah ini mungkin tidak sesuai jika dia berkongsi bilik dengan orang lain (contohnya, adik-beradik atau ibu bapa).

Bertenang dalam menanganinya

Pakar pediatrik juga mungkin akan memberikan ubatan tertentu. Namun, tiada ubat yang telah terbukti dalam merawat kencing malam sepenuhnya, dan ia juga mungkin akan berlaku semula apabila pengambilan ubat dihentikan. Komitmen ibu bapa/penjaga adalah sangat penting dalam memastikan masalah enuresis dapat diatasi dan bukan hanya bergantung sepenuhnya kepada rawatan ubatan.

Berita baiknya ialah kencing malam biasanya akan berhenti dengan sendiri. Jika anda rasa bimbang, berbincanglah dengan pakar pediatrik untuk mendapatkan cadangan bagi menangani masalah itu. Sebagai alternatif, anda boleh bertanya ibu bapa anda sendiri untuk mengetahui sama ada anda pernah mengalami masalah sama dahulu, dan jika ya, bagaimana mereka menanganinya.

Sumbangan daripada Persatuan Pediatrik Malaysia.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen