Pengasuhan Positif

Rapatkan Hubungan dengan Hobi!

Pada zaman media sosial ini, lebih ramai yang suka menghabiskan waktu terluang mereka dengan aktiviti pasif, seperti menonton TV dan melayari internet. Aktiviti waktu lapang yang aktif seperti bersukan dan hobi semakin tidak popular, terutamanya dalam kalangan anak muda hari ini. Ini satu kerugian kerana sukan dan hobi ialah cara yang baik untuk memupuk hubungan rapat antara ahli keluarga. Apabila ahli keluarga mempunyai minat atau hobi yang sama, mereka boleh meluangkan masa melakukan perkara yang mereka sukai bersama.

Jom buat bersama!

Apabila bercakap tentang masa bersama menerusi hobi, ia bukan hanya bermaksud membawa anak-anak anda ke kelas tarian atau menyokong mereka dari tepi padang bola. Ia bermaksud melakukan sesuatu perkara yang anda dan anak anda minat. Mempunyai objektif sama akan menggalakkan anak-anak anda berkongsi perasaan kepada anda, lalu mewujudkan hubungan yang rapat. Jadi, apa harus anda lakukan?

  • Tanamkan minat: Pupuk minat mereka terhadap hobi anda dengan membenarkan mereka bersama anda semasa anda melakukan hobi itu. Jelaskan dan kongsikan keseronokan semasa melakukan hobi tersebut. Beri peluang untuk mereka turut serta dengan meminta pendapat atau bantuan mereka. Layan soalannya menggunakan bahasa yang mudah difahami kanak-kanak.
  • Tetapkan masa: Tetapkan masa dalam jadual untuk melakukan hobi itu. Contohnya, anda boleh peruntukkan petang Sabtu pada setiap dua minggu untuk sesi badminton dengan anak-anak anda. Penting untuk memastikan hobi itu dilakukan pada waktu terluang agar anda tidak kelam-kabut dan anak anda tidak rasa terpaksa.
  • Mula dengan mudah: Berikan mereka sesuatu yang mudah dan sesuai terlebih dahulu. Anda boleh mengajarkan tahap yang lebih sukar apabila mereka menunjukkan minat lebih mendalam dan mereka lebih berkemampuan. Jika mereka berminat dengan fotografi, berikan mereka guna kamera yang mudah digunakan dengan tetapan auto dahulu, bukan terus mengajarkan mereka tetapan manual pada kamera DSLR profesional.
  • Bersabar: Bagi memastikan anak anda seronok melakukan hobi itu, ia haruslah menarik, santai dan istimewa. Fahami bahawa anak anda mungkin akan melambatkan anda dan anda mungkin tidak dapat melakukannya seperti biasa. Bersabarlah apabila mereka menyepahkan alatan anda. Ingat, tujuan anda adalah untuk meluangkan masa berkualiti bersama-sama.
  • Sokong mereka: Jika anak-anak anda berasa kecewa dengan hobi itu (contohnya, mereka kerap gagal menunggang basikal tanpa roda latihan), puji usaha mereka dan berikan nasihat. Berikan galakan dan maklum balas yang membina, bukan kritikan. Apabila mereka menguasai kemahiran baru, galakkan mereka dengan memberikan alatan berkaitan, atau melawat tempat yang menarik

Apa yang kita boleh buat?

There are many activities and hobbies that you can enjoy with your kids. Here are some examples.

Sukan

Bersukan merupakan cara yang baik untuk kanak-kanak menjadi aktif, belajar bekerjasama, dan melatih koordinasi badan. Ia antara hobi yang umum, tetapi pastikan jenis sukan itu sesuai dengan umur dan kemampuan mereka. Contoh: bola sepak, badminton, bola keranjang, berenang, memanjat dinding, dan kasut roda.

Aktiviti keluarga

Menghabiskan masa di luar ialah cara yang baik untuk bersenam, mengurangkan tekanan, dan mendapatkan vitamin D daripada cahaya matahari. Kanak-kanak juga boleh belajar menghargai alam sekitar. Contoh: berjalan di taman/hutan, melihat bintang, memancing, berbasikal, dan berkhemah.

Seni dan kraftangan

Kanak-kanak boleh mengembangkan sisi kreatif mereka dengan seni dan kraf. Ia juga aktiviti menarik yang dapat melatih koordinasi tangan dan mata mereka. Contoh: catan, origami, membuat buku skrap, dan membina model.

Koleksi

Mengumpul barangan boleh mengajar anak-anak kemahiran menyusun atur dan mengira. Mereka juga akan belajar menghargai kecantikan dan keunikan setiap barang dalam koleksi mereka. Contoh: setem, syiling, poskad, cangkerang, atau penutup botol!

Permainan & teka-teki

Ini akan mengajar anak-anak pemikiran kritikal dan kemahiran menyelesaikan masalah. Mereka juga akan mempelajari cara merancang strategi. Contoh: susun suai gambar, kiub Rubik, dam, catur, dan sudoku.

Seni persembahan

Belajar membuat persembahan boleh meningkatkan keyakinan diri anak-anak anda. Ia juga boleh menjadi cara kreatif untuk anak anda melahirkan perasaannya. Contoh: menyanyi, bermain gitar atau piano, menari, dan persembahan silap mata.

Kemahiran hidup

Mengajarkan kemahiran hidup sejak kecil akan melengkapkan diri mereka dengan kemahiran berguna untuk masa depan. Mereka juga akan belajar untuk menyukai tugasan rumah. Contoh: memasak, membuat kek, berkebun, menjahit, pertukangan kayu, dan kerja-kerja enjin.

Terdapat pelbagai hobi berbeza yang anda dan anak-anak boleh cuba. Dengan adanya hobi, anda boleh meluangkan masa bersama-sama anak anda dengan bermakna, lalu mewujudkan hubungan yang kuat dan melakar memori indah dalam keluarga. Selain itu, hobi boleh membantu anda membina hubungan baru, menangani tekanan dari kerja atau sekolah, dan mengembangkan karakter anda. Jika anda sudah pun mempunyai hobi, cuba libatkan anak anda juga; jika tidak, carilah hobi bersama-sama anak anda hari ini!

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen