Telefon pintar menawarkan pelbagai kelebihan pada zaman ini, dan ia cara yang mudah untuk berhubung. Anda boleh menelefon atau menghantar mesej kepada anak anda untuk bertanya khabarnya atau memberitahu rancangan anda kepadanya pada bila-bila masa sahaja. Semasa kecemasan, telefon pintar membenarkan anda menghubungi satu sama lain dengan pantas. Kanak-kanak bersekolah juga mungkin meminta telefon pintar mereka sendiri sebagai cara untuk mereka berhubung dengan rakan-rakan. Bagaimanapun, mungkin ada kesan yang tidak diingini yang akan menjejaskan kesihatan mental dan fizikal anak anda.
Tiada umur tetap
Menetapkan umur tertentu sebagai satu cara untuk menentukan anak anda bersedia atau tidak untuk memiliki telefon pintar adalah tidak disyorkan. Lebih wajar untuk menilai kompetensi penggunaan telefon anak anda, kematangan dan sikap bertanggungjawabnya.
Tumpukan perhatian kepada cara dia menjaga barangan miliknya (adakah dia selalu menghilangkan barangannya, dll.), sama ada dia bertanggungjawab dan boleh dipercayai, dan sekiranya anda boleh mempercayainya untuk mematuhi peraturan anda. Jika tanda-tandanya positif, dia mungkin bersedia untuk memiliki telefon pintarnya sendiri. Perkara seterusnya adalah sama ada dia benar-benar memerlukannya atau tidak.
Kesan tidak diingini
Antara masalah yang mungkin berlaku adalah:
- Berkurangnya hubungan antara ibu bapa dan anak. Dia mungkin lebih banyak menghabiskan masa dengan telefon untuk menghantar mesej kepada rakan-rakan, meluangkan masa untuk permainan video, atau melayari media sosial. Ini boleh mengurangkan masa berkualiti bersama keluarga.
- Mengehadkan kreativiti. Terlalu bergantung kepada telefon pintarnya untuk menghabiskan masa akan menjadikannya kurang kreatif. Ingatkah bagaimana kita ‘mencipta’ sendiri permainan untuk meluangkan masa kita semasa kanak-kanak?
- Berpotensi menjadi sumber ketagihan. Dengan adanya media sosial, internet, serta aplikasi permainan dan sembang, terdapat banyak perkara yang boleh menjadikannya ketagih. Ini boleh mengganggu prestasi akademiknya, menyebabkan masalah kelakuan (seperti membuat perangai apabila tidak dibenarkan menggunakan telefon) atau menyebabkan kekurangan tidur. Cara terbaik untuk mencegah perkara ini adalah memastikan anda mengawasi penggunaan telefonnya dan memupuk tabiat penggunaan telefon yang baik dalam dirinya, seperti, mengajarnya bagaimana untuk menetapkan had untuk ‘masa telefon’ dan mematuhinya.
- Buli siber. Telefon pintar mungkin baik untuk interaksi sosial, tetapi ia juga sumber kepada pelbagai masalah, terutamanya buli siber. Pastikan anda mendidik anak anda tentang perkara ini untuk mengelakkan dirinya menjadi mangsa, atau seorang pembuli siber.
- Melakukan pelbagai tugas serentak. Ramai kanak-kanak (dan orang dewasa!) berpendapat mereka mampu melakukan pelbagai tugas secara serentak tetapi ia bermaksud seseorang itu tidak menumpukan sepenuh perhatian kepada apa yang mereka sepatutnya lakukan. Jika anak anda sedang berjalan atau mengayuh basikal, dia harus kekal fokus dan menumpukan sepenuh perhatian kepada sekelilingnya. Menghantar mesej atau bermain dengan telefon pintar, terutamanya berdekatan atau di atas jalan raya sangat bahaya! Kajian psikologi kognitif menunjukkan bahawa kita sebenarnya tidak melakukan tugas secara serentak, kita hanya mengalihkan perhatian daripada satu tugasan kepada tugasan lain dengan pantas.
Awasi anak anda
Pastikan anda mengawasi penggunaannya. Bagaimanapun, terdapat perbezaan antara mengawasi dan ‘mengintip’ kerana anak anda pasti mahukan ruang peribadinya juga. Oleh itu, penting untuk mewujudkan kepercayaan, hubungan ibu bapa dan anak yang rapat, dan komunikasi yang terbuka.
Yakinkan anak anda dia boleh meluahkan apa sahaja kepada anda, terutamanya jika dia menerima mesej, perbualan, atau panggilan pelik yang membuatkan dirinya tidak selesa. Jika anda mahu memasukkan perkhidmatan pengesan lokasi GPS, buatlah dengan pengetahuannya. Berhati-hati untuk tidak menyalahgunakannya dengan meminta setiap maklumat tempat yang dia pergi, kerana ia menunjukkan anda tidak mempercayainya.
Berikan panduan kepadanya
Isu lebih besar di sini adalah untuk mendidiknya tentang cara menggunakan telefon pintar sewajarnya. Beberapa garis panduan yang anda boleh patuhi termasuklah:
- Mulakan dengan telefon yang asas. Jika tujuan anda adalah untuk kekal berhubung menerusi mesej atau panggilan,telefon biasa sudah mencukupi. Ia juga akan mengajarnya bahawa telefon ialah alat, bukan permainan. Anda kemudian boleh memberinya telefon pintar jika dia mampu mematuhi peraturan anda.
- Tetapkan had. Tidak boleh menggunakan telefon semasa waktu keluarga, contohnya semasa makan bersama-sama, ketika keluarga berkumpul, dll. Jika dia tidak mematuhinya, anda mungkin harus menetapkan had yang lebih ketat:
- Gunakan pelan dengan jumlah tetap dan arahkan dia membayar caj lebihan
- Hadkan atau halang akses internetnya kecuali pada waktu tertentu
- Jangan jawab nombor tidak dikenali. Ajarnya untuk tidak menjawab panggilan, mesej, atau perbualan daripada orang yang tidak dikenali.
- Patuhi arahan anda sendiri. Paling penting, patuhi arahan anda! Jadilah contoh yang baik dalam membentuk kelakuan anak anda. Jika tidak, mesej anda akan terjejas dan anda akan hilang kepercayaan yang sangat sukar untuk diperoleh semula.
- Ajarkan kemahiran sosial. Kemahiran etika sosial, penyelesaian konflik dan pengurusan emosi sangat penting terutamanya dengan penggunaan media sosial. Dapatkan bantuan jika ragu-ragu: anak anda ialah individu bawah umur dan seharusnya dapatkan bantuan dan nasihat anda jika dia ragu-ragu untuk melakukan sesuatu. Pastikan anda memeriksa penggunaan dan aktivitinya menerusi pengawasan teratur.
Keselamatan adalah penting
Keselamatan harus sentiasa menjadi keutamaan, jadi anda harus mengajarnya cara menggunakan telefon pintar secara bertanggungjawab dan selamat. Ini termasuklah perkara seperti keselamatan di jalan raya, pemangsa seksual (keselamatan dalam talian) dan juga buli siber (untuk mengelakkan anak anda menjadi mangsa atau pesalah). Akhir sekali, ingatlah, telefon pintar bukanlah satu keperluan, tetapi satu keistimewaan – jika anak anda tidak bersedia, lebih baik dia tidak memilikinya langsung. Sebelum dia boleh memiliki telefon pintar, anda sebagai ibu bapa harus yakin anak anda tahu cara untuk mengendalikan telefon pintar dengan bertanggungjawab dan selamat. Biar dia buktikan yang dia layak dengan menunjukkan sikap matang dan amanah untuk memiliki telefon pintar.
Dengan kerjasama Persatuan Psikologi Klinikal Malaysia.
Komen