Sedarkah anda bayi 3 bulan anda mengenali suara anda dan senyum apabila melihat anda? Pada usia 4-6 bulan, dia mula membebel, ketawa, mengikut arah bunyi dengan mata, dan peka terhadap muzik. Pada hari jadinya yang pertama, dia akhirnya menyebut ‘Ma’ atau ‘Ba’ untuk memanggil anda, dan ini melakar kenangan manis yang tidak dapat dilupakan dalam perjalanan membesarkan anak anda.
Apa itu pertuturan dan bahasa?
Pertuturan: Cara kita mengeluarkan bunyi dan perkataan, termasuk artikulasi, suara, dan kepetahan
Bahasa: Cara kita menggunakan perkataan untuk bertukar maklumat, termasuk secara lisan, tidak lisan dan komunikasi bertulis
Masalah yang mungkin berlaku
Semua kanak-kanak mencapai aras perkembangan pada kelajuan sendiri, namun mereka perlu diberi perhatian jika terdapat kelewatan perkembangan yang jelas. Seorang anak dikatakan mengalami kelewatan pertuturan dan bahasa apabila dia tidak memperolehi kemahiran pertuturan dan bahasa yang sewajarnya mengikut umur pada awal tempoh tumbesaran.
Kelewatan pertuturan dan bahasa adalah berbeza tetapi berkait rapat dengan gangguan pertuturan dan bahasa. Secara umumnya, kelewatan adalah penjelasan bagi keadaan anak kecil semasa awal tempoh perkembangan; bagaimanapun, ia dianggap gangguan jika ia berterusan melepasi tempoh perkembangan awal dan menjejaskan fungsi anak.
Gangguan pertuturan dan bahasa
Gangguan pertuturan (bunyi) berlaku apabila seorang anak mempunyai masalah mengeluarkan bunyi pertuturan dengan betul dan bersesuaian dengan umurnya, menjadikan percakapannya sukar difahami. Manakala, gagap (Gangguan Kefasihan yang bermula sejak Kanak-kanak) merujuk kepada keadaan di mana bunyi, suku kata, atau perkataan diulangi atau dipanjangkan sehingga mengganggu aliran percakapan normal. Dalam kedua-dua keadaan, anak itu boleh memahami atau menyuarakan idea dengan perkataan dan frasa, tetapi ucapannya mungkin sukar difahami apabila didengar, terutama bagi orang tidak dikenali.
Sementara itu, gangguan bahasa berlaku apabila kelewatan pertuturan dan bahasa tidak beransur pulih apabila anak itu semakin membesar (sesetengah kanak-kanak dengan kelewatan seperti ini akan beransur pulih dan dianggap ‘lambat bercakap’). Dia sukar memahami apa yang dikatakan orang lain (bahasa reseptif) atau mempunyai masalah untuk berkongsi apa yang difikirkannya (bahasa ekspresif). Contohnya, dia boleh menyebut perkataan dengan baik, tetapi tidak dapat membuat frasa dua perkataan pada umur 2 ½ tahun. Kerap juga anak dengan gangguan bahasa juga turut mempunyai gangguan pertuturan.
Pengesanan awal adalah sangat penting
Ia mungkin sukar untuk ibu bapa membezakan jika anak mereka cuma sedikit perlahan dalam mencapai perkembanganpertuturan atau bahasa, atau jika terdapat masalah yang memerlukan perhatian perubatan. Rujuk anak anda kepada pakar pediatrik serta-merta sekiranya anda bimbang atau melihat tanda-tanda berikut:
Tanda amaran bagi kelewatan pertuturan dan bahasa / gangguan bahasa (kemudiannya)
Sekitar 12 – 15 bulan
- Tidak memahami nama objek-objek biasa, seperti ‘botol’ dan ‘kereta mainan’
- Tidak merujuk anda secara khusus seperti menggunakan ‘ma’ atau ‘ba’
- Tidak mengeluarkan langsung sebutan yang bermakna
Sekitar 18 – 21 bulan
- Tidak memahami frasa biasa, seperti, ‘cium ibu’, ‘peluk ayah’ dan ‘jangan buat itu’
- Tidak tunjuk ke arah bahagian badan yang disebut oleh orang lain
- Tiada atau sedikit perbendaharaan kata, contohnya ‘kucing’ dan ‘kereta’
Sekitar 24 bulan
- Tidak memahami arahan atau soalan ringkas, contohnya ‘Ambil kasut kamu’, ‘Mahu minum?’ atau ‘Di mana ayah?’
- Tidak mengucapkan sekurang-kurangnya 25 perkataan berbeza
- Tidak menggabungkan dua perkataan bersama-sama, contohnya ‘minum susu’ dan ‘pergi keluar’
- Hanya boleh meniru percakapan dan tindakan, tidak bercakap secara spontan
Sekitar 36 bulan
- Tidak memahami arahan atau soalan lebih panjang seperti ‘Ambil kasut dan letak dalam kotak’ atau ‘Apa yang kamu mahu untuk makan tengahari kali ini?’
- Tidak menggabungkan perkataan ke dalam frasa lebih panjang seperti ‘mahu makan biskut’ dan ‘tolong saya ibu’
Tanda amaran bagi gangguan pertuturan
- Sebutan sangat tidak matang untuk umurnya, iaitu menggunakan hanya beberapa bunyi atau corak pertuturan
- Tidak menyebut perkataan seperti yang sepatutnya mengikut umur
Tanda amaran bagi gagap
- Bunyi, sebahagian daripada perkataan, perkataan atau frasa diulang banyak kali, contohnya, ‘D d d d dan saya nak yang itu’, ‘Dan dan dan saya nak yang itu’
- Bunyi dipanjangkan, contohnya ‘Daaaaaaaaan saya mahu yang itu’
- Dia cuba bercakap dan tiada bunyi yang keluar
- Mata berkedip-kedip dan muka berkerut semasa bercakap
Apa yang berlaku?
Masalah pertuturan mungkin disebabkan oleh masalah oral seperti masalah dengan lidah atau lelangit. Ia juga boleh disebabkan oleh masalah oral-motor di mana terdapat masalah di bahagian otak yang melibatkan pertuturan, menjadikannya sukar untuk mengawal koordinasi bibir, lidah, dan rahang untuk menghasilkan bunyi. Masalah bahasa pula mungkin berkait dengan masalah lain seperti kecederaan otak dan gangguan spektrum autisme.
Masalah pertuturan dan bahasa juga mungkin disebabkan oleh masalah pendengaran (biasanya akibat kerosakan pendengaran kongenital, jangkitan telinga tengah kronik atau telinga rekat (glue ear)). Juga terdapat bukti kukuh bahawa waktu skrin yang berlebihan (waktu dihabiskan menonton TV atau gajet) dan kekurangan rangsangan boleh menyebabkan kelewatan ini. Ia juga mungkin sebahagian daripada masalah lebih besar iaitu kelewatan perkembangan global atau kekurangan intelek.
Pengesanan awal dan intervensi awal ialah tindakan utama dalam kelewatan pertuturan dan bahasa. Sikap tunggu dan lihat boleh memberi kesan buruk kepada masa depan anak anda. Ibu bapa harus sedar dan berunding dengan pakar pediatrik serta merta jika mereka mempunyai sebarang kebimbangan kerana ini boleh menjejaskan tumbesaran dan perkembangan anak.
Sumbangan daripada Persatuan Pediatrik Malaysia.
Komen