Pengasuhan Positif

Harapan Ibu Bapa: Meletakkan Jangkaan yang Betul

Bersama Dato’ Dr Andrew Mohanraj, Perunding Psikiatri dan Presiden Persatuan Kesihatan Mental Malaysia; Pn Loh Sit Fong, Perunding Psikologi Klinikal, En. Hairil Fadzly Bin Md. Akir, Timbalan Pengarah Pengurusan dan Dasar Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Datuk Dr Zulkifli Ismail, Setiausaha Agung Persatuan Pediatrik Asia Pasifik

Ia adalah biasa untuk ibu bapa meletakkan harapan dan impian terhadap anak mereka, malah sebelum mereka dilahirkan sekalipun, tetapi hati-hati! Jika impian anda bertukar menjadi harapan yang tidak realistik, anda mungkin akan terlalu menumpukan kesempurnaan. Ini akan memberi kesan kepada anak anda, menyebabkannya berasa seperti telah gagal, terutamanya jika dia tidak mampu memenuhi jangkaan anda.

Pada waktu sama, meletakkan harapan yang rendah atau tiada harapan langsung juga berbahaya kerana mungkin membawa kepada kekurangan tujuan dan hala tuju dalam hidupnya. Akademi Pediatrik Amerika (AAP) mencadangkan agar kanak-kanak dipersiapkan dengan matlamat yang memberikan mereka tujuan dan hala tuju. Kurangnya perkara ini boleh menyebabkan anak tersebut membesar menjadi individu yang kurang bermotivasi.

Perunding psikiatri, Dr Andrew Mohanraj, bersetuju dengan AAP, sambil menyatakan, “Ibu bapa harus belajar cara meletakkan harapan mereka. Paling penting, jangkaan mereka harus mengambil kira empat faktor utama, iaitu umur anak, tahap kematangan, batas fizikal atau mental dan batas ibu bapa sendiri.”

Pn Loh Sit Fong, perunding psikologi klinikal, juga bersetuju dan berkata “Jika anda pelajari lebih banyak tentang perkembangan kanak-kanak, anda lebih berkemungkinan untuk mempunyai jangkaan yang wajar dengan umur anak. Ini perkara yang bagus kerana ia akan mengelakkan kaedah disiplin atau denda yang tidak wajar, yang boleh mengakibatkan hubungan ibu bapa dan anak yang tidak serasi.”

“Jika anda sesuaikan jangkaan dengan realiti, anda tidak akan kecewa” ~Terrel Owens

Mengikut cara betul

AAP mencadangkan ibu bapa meletakkan harapan yang realistik, tidak terlalu tinggi mahu pun terlalu rendah, kerana ia aspek penting dalam membantu anak anda mengembangkan kecekapan dan keyakinan diri yang sihat. Jangkaan yang realistik membawa kesan baik dengan menggalakkan dan membenarkan anak menunjukkan prestasi pada tahap optimum tersendiri, tanpa meletakkan tekanan berlebihan ke atas mereka.

“Ini membuatkannya rasa selamat dan percaya, yang membantu hubungan ibu bapa dan anak. Ia juga membantu mengembangkan sikap berdikari dan bertanggungjawab. Satu lagi aspek untuk diambil kira adalah bagi ibu bapa untuk mempunyai sifat menerima dan memperakui sebarang kesilapan yang mereka lakukan sepanjang membesarkan anak, yang akan menjadi satu pengajaran hidup yang baik buat anak anda juga,” kata Dr Andrew, yang juga Presiden Persatuan Kesihatan Mental Malaysia.

En. Hairil Fadzly Bin Md. Akir, Timbalan Pengarah Pengurusan dan Dasar Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara, LPPKN berkata, “Jangan sesekali merendahkan kepentingan menjalinkan persefahaman antara anak dan anda. Ini bermakna ibu bapa perlu berkomunikasi secara efektif dengan anak mereka.”

Tiada jalan mudah untuk ini, kerana ibu bapa harus meneroka kekuatan anak mereka. Dalam melakukannya, mereka akan mewujudkan persekitaran yang menggalakkan dan memupuk anak mereka. Contohnya, jika anda berharap anak anda menjadi bakat muda piano atau violin tetapi anak anda pekak ton, ini akan mendatangkan kegagalan.

“Ciri-ciri lain seperti bertanggungjawab dan beretika kerja selalunya lebih penting dalam menentukan kejayaannya pada masa depan sebagai seorang dewasa. Jadi tetapkan harapan yang seimbang, iaitu tidak terlalu menumpukan kepada sesuatu bakat sahaja tetapi kemahiran hidup lain juga. Ingatlah, harapan anda boleh, dan seharusnya, dinilai dari masa ke semasa. Ini akan menjadikan harapan anda fleksibel dan realistik,” kata Pn Loh.

Kesabaran itu sifat mulia

“Dalam menguruskan anak anda, mungkin ada kalanya kesabaran anda diuji. Ingatlah untuk bersabar. Terdapat pelbagai cara boleh digunakan, seperti menarik nafas untuk menenangkan diri, mengira perlahan sehingga sepuluh atau lebih, atau mungkin mengambil masa untuk bertenang,” cadang Dr Andrew.

Beliau juga menasihati, “Jangan abaikan usaha untuk mewujudkan hubungan dan komunikasi antara anda dan pasangan. Tiada apa lebih teruk daripada ibu bapa yang mempunyai harapan berbeza, terutama jika salah satunya berkonflik dengan yang lain. Ini bukan sahaja akan mengelirukan anak anda, tetapi juga menjadi sumber utama kekecewaan yang tidak baik untuk kesihatan.”

Mensabotaj Harapan Sendiri

Pn Loh, ahli Persatuan Psikologi Klinikal Malaysia, memberi amaran, “Tidak mustahil bagi ibu bapa yang berniat baik untuk mensabotaj harapan sendiri; ini boleh berlaku jika anda sering membuat perbandingan dengan adik beradiknya, sepupu, atau anak orang lain. Mengkritik kebolehan, sikap, atau karakternya juga akan membawa kepada hasil tidak diingini pada masa depan.”

Beliau menasihati ibu bapa untuk menumpukan pada kelakuan yang tidak diingini, bukan menjadikannya peribadi atau bersangka buruk. Kesilapan lain yang biasa dilakukan ibu bapa adalah mendesak anak-anak mereka menurut kehendak (ingatlah, setiap anak unik dan berbeza) dan mengungkit kembali kesalahan berulang kali.

En Hairil menekankan kepentingan hubungan ibu bapa dan anak. Beliau menegaskan walaupun anak-anak harus berterima kasih dengan pemberian ibu bapa, menjadi ibu bapa juga bermaksud meletakkan keperluan anak lebih daripada keperluan sendiri. Contohnya, mengisi masa menonton cerita dengan anak anda boleh dianggap sebagai masa kuantiti tetapi bukan masa kualiti. Kehadiran anda sahaja tidak mencukupi kerana mereka perlukan perhatian juga.

Bapa lima anak itu juga menyatakan yang anak-anak sentiasa memerhati, walaupun apabila ibu bapa fikir mereka tidak memerhati, jadi cara layanan ibu bapa atau cara mereka berinteraksi sesama sendiri sememangnya penting. Jangan merendahkan kuasa teladan ibu bapa, kerana perbuatan lebih berkesan berbanding perkataan.

“Kaedah lama membesarkan anak dengan memberitahu mereka “Buat apa yang saya suruh, bukan apa yang saya buat” tidak lagi berguna, kerana kanak-kanak belajar dengan meniru dan ibu bapa adalah contoh terdekat. Tambahan lagi, menyuruhnya membuat sesuatu yang anda sendiri tidak amalkan boleh menjejaskan autoriti anda,” kata En Hairil.

Suara Anak-anak Harus Didengar

Anda juga wajar membincangkan harapan anda dengan anak anda (terutamanya yang lebih tua). En Hairil mencadangkan, “Adakan proses rundingan dalam persekitaran kondusif dan lakukannya dengan cara yang tidak formal. Penting untuk menetapkan jangkaan berdasarkan kesefahaman untuk mengurangkan tekanan dan stres.”

Bergantung pada kebolehan anak, anda mungkin perlu membahagikan jangkaan anda kepada beberapa fasa, iaitu menetapkan matlamat satu demi satu. Anak-anak akan lebih gembira dan lebih bermotivasi untuk mencapai yang terbaik, terutamanya apabila mereka melihat kemajuan pencapaian mereka.

“Ramai ibu bapa akan melakukan segalanya untuk anak-anak, kecuali membenarkan mereka menjadi diri mereka sendiri” ~ Kata-Kata Hikmah Keibubapaan: Banksy

Elak Menjadi Keterlaluan

Sesetengah ibu bapa mungkin memburukkan keadaan dengan menafikan anak mereka daripada membuat keputusan sendiri. Tidak mengapa untuk menyediakan kemudahan terbaik untuk anak anda, namun memanjakannya dengan keterlaluan bukan caranya. Pn Loh menegaskan beberapa petanda yang menunjukkan anda keterlaluan termasuklah:

Melakukan segalanya untuk anak – ini mungkin anda jika anak anda bersekolah rendah tapi anda masih mengikat tali kasutnya, membasuhkan tangannya selepas makan, mengutip barangan yang disepahkannya, membuat kerja sekolahnya dan lain-lain.

Terlalu manjakan anak dengan kemewahan – mengadakan sambutan hari lahir besar-besaran, membelikan telefon pintar terbaru (dan menggantikannya setiap kali ia hilang), dan lain-lain.

“Kebanyakan ibu bapa juga cuba melindungi anak mereka daripada bahaya. Bagaimanapun, tidak membenarkan mereka menangani konflik sendiri atau belajar dari kesilapan boleh menghalang mereka daripada mempelajari cara melakukannya apabila dewasa,” kata Pn Loh.

Beliau menasihati ibu bapa untuk memberi peluang kepada anak mereka menangani masalah sendiri dan menahan keinginan untuk campur tangan serta merta, melainkan ia sesuatu yang mengancam keselamatan atau nyawa mereka.

“Biar anak anda tahu anda ada untuk mereka, tetapi berikan mereka kebebasan untuk menanganinya sendiri,” tambah Dr Andrew.

Peranan Ibu Bapa Berevolusi

Mempunyai rutin tetap boleh memberikan rasa stabil dan selamat kepada anak-anak. Bagaimanapun, ibu bapa mungkin akan perlu berhadapan dengan realiti hidup. Ibu bapa dengan anak kecil yang bakal ke sekolah perlu membuat penyesuaian, bukan sahaja pada jadual mereka tetapi juga mentaliti mereka.

Zaman si kecil anda yang penuh sukaria akan berakhir tidak lama lagi, dan pengalaman baharu akan tiba, dengan rakan baharu, alam remaja, belajar memandu, mencari kolej atau universiti sesuai, dan dalam sekelip mata, dia akan berkahwin!

Datuk Dr Zulkifli Ismail, Setiausaha Agung Persatuan Pediatrik Asia Pasifik (APPA) & Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Pengasuhan Positif, memberi nasihat, “Bersedia untuk perubahan, dan lebih penting lagi, bersedia untuk menilai semula jangkaan anda apabila dia semakin membesar dan matang. Pada peringkat awal, ibu bapa mempunyai banyak tanggungjawab. Bagaimanapun, apabila dia makin membesar, anda harus melepaskan amanah sedikit demi sedikit kepada mereka. Perubahan ini mungkin meresahkan, terutamanya jika anda berterusan memikirkan dirinya sebagai bayi kecil anda.”

Isi-isi penting yang mahu ditekankan oleh Datuk Dr Zulkifli adalah:

  1. Memahami dan menerima bahawa hubungan anda harus sentiasa disesuaikan – apabila anak anda membesar, dia akan melalui peringkat tertentu, jadi jangan ketinggalan.
  2. Elakkan daripada melayan anak anda seperti budak kecil jika dia sudah besar – tiada apa yang lebih memalukan bagi seorang remaja daripada mempunyai ibu dan bapa yang mengawalnya (terutama di hadapan rakan-rakan).
  3. Bersedia untuk lepaskan mereka – risau akan anak anda apabila dia semakin membesar dan matang menjadi dewasa adalah normal, tetapi pada satu tahap anda harus melepaskannya untuk berdikari.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen