Kehidupan ibu bapa moden sangat mencabar, terutama apabila kedua-duanya bekerja. Ibu bapa tiada pilihan selain meninggalkan anak mereka dalam jagaan pihak ketiga seperti datuk dan nenek, penjaga, atau pusat jagaan.
Datuk dan Nenek
Dr Raja Juanita Raja Lope, Perunding Perkembangan dan Pakar Pediatrik Umum, bersetuju bahawa datuk dan nenek memainkan peranan khas dalam setiap keluarga. Mereka memanjakan cucu mereka dan kadangkala membiarkan mereka terlepas dengan perangai mereka. Bagaimanapun, masalah mungkin timbul apabila cara datuk dan nenek bertembung dengan ibu bapa.
Petua untuk menutup jurang ini:
- Berkomunikasi dengan jelas: Jelaskan jangkaan anda dan beritahu datuk dan nenek bagaimana mereka boleh membantu. Ini membuatkan mereka rasa penting. Dengar pendapat mereka apabila berbincang tentang aktiviti yang anda mahu anak anda lakukan, kerana mungkin datuk dan nenek yang akan menghantar dan mengambil mereka.
- Tangani perbezaan dengan tegas tetapi sopan: Berhati-hati dengan nada suara anda dan tekankan yang nasihat mereka sangat dihargai, tetapi anda hargai jika mereka akur dengan keputusan anda.
- Libatkan mereka: Datuk dan nenek mungkin memahami atau bersetuju dengan gaya asuhan dan nasihat kesihatan moden. Yakinkan mereka dengan melibatkan mereka dengan kelas keibubapaan, seminar, dan pertemuan dengan pakar pediatrik anak anda. Ini mendedahkan mereka kepada maklumat baru dan jawapan bagi persoalan mereka.
- Kekal positif: Elakkan membuat tanggapan buruk setiap kali datuk dan nenek melangkaui batas anda. Mereka mungkin berniat baik, jadi ambil komen atau maklum balas mereka dengan positif.
“Seperti hubungan lain juga, anda harus berusaha. Bagaimanapun, jika semua gagal, bersedialah untuk mencari penjaga alternatif yang akan mematuhi gaya anda jika datuk dan nenek berterusan enggan menerima cara anda membesarkan anak.”
Pilih Pusat Penjagaan yang Betul
Dr Rajini Sarvananthan, Perunding Perkembangan Pediatrik, mengemukakan tiga perkara penting jika anda mahu menghantar anak ke pusat penjagaan:
- Penjaga yang boleh menjaga dan memberikan panduan.
- Pusat itu harus ada persekitaran selamat untuk anak anda.
- Pusat itu harus mengadakan aktiviti sesuai untuk membantu perkembangan mental, fizikal, sosial dan emosi.
Ambil masa untuk memeriksa pusat itu, dan pastikan kebersihan, amalan, dan dasar pengurusan anak sejajar dengan jangkaan anda.
“Ketahui berapa ramai kanak-kanak di pusat itu dan berapa ramai kakitangan. Ini akan memberikan anda petunjuk baik sama ada anak anda menerima perhatian individu yang mencukupi,” nasihat Dr Rajini.
Faktor lain untuk diperiksa:
- Adakah ia berlesen atau berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)?
- Bolehkah anda singgah untuk melihat anak anda bila-bila masa?
- Adakah mereka memeriksa pelawat dengan menyemak kad pengenalan dan bertanya ibu bapa?
- Apa berlaku jika anda perlu mengambil anak anda lewat?
- Apakah kelayakan (latihan dan pengalaman) kakitangan di situ dan sudahkah mereka menghadiri Kursus Asas Asuhan Kanak-kanak(wajib untuk kelulusan JKM)?
- Pada waktu kecemasan, apakah tindakan yang mereka akan ambil? Adakah kakitangan terlatih dalam bantuan kecemasan?
- Adakah pusat itu selamat untuk kanak-kanak?
- Adakah kawasan bermain di luar selamat?
- Apa yang berlaku jika ada kanak-kanak yang sakit?
- Apakah jenis makanan yang mereka hidangkan dan berapa kali hidangan disediakan (contohnya, sarapan, minum pagi dan makan tengahari)?
- Bagi kanak-kanak bersekolah, adakah makanan disediakan oleh pusat penjagaan?
- Adakah mereka mengambil kira alahan, sekatan agama/budaya, dan pemakanan khas?
“Jika anda ada soalan lain, tulis dan ambil nota, ini akan membantu anda memilih antara pusat-pusat berbeza. Ingat, pusat penjagaan tidak mengambil alih sepenuhnya tanggungjawab anda – anda harus sentiasa memeriksa untuk memastikan keselamatannya.”
Pembantu Sepenuh Masa
Pn Loh Sit Fong, Perunding Psikologi Klinikal, mengemukakan pilihan mengambil penjaga sepenuh masa (contohnya, bibik, pengasuh, atau penjaga sepenuh masa). Bagaimanapun, beliau memberi amaran adanya kekurangan seperti:
- Anak anda mungkin lebih rapat dengan pembantu berbanding anda.
- Penderaan mungkin berlaku (contoh: penderaan fizikal seperti memukul bayi yang kuat menangis).
Bagi mengurangkan masalah-masalah ini, Pn Loh mencadangkan:
- Menyemak maklumat atau pengalaman pengasuh atau pembantu sebelum mengambilnya bekerja.
- Habiskan masa berkualiti dengan anak anda. Jangan hanya bergantung pada pembantu atau pengasuh.
- Layan pembantu atau pengasuh seperti ahli keluarga sendiri dengan rasa hormat. Ini akan membantunya mengekalkan kesihatan mental yang baik dan menunjukkan contoh baik kepada anak anda untuk belajar menghormati orang lain.
- Beri taklimat kepada pembantu atau pengasuh agar dia tahu apa harus dilakukan jika bayi menangis atau merengek dengan kuat. Sediakan senarai semak berkenaan apa yang perlu dilakukan dan senarai nombor untuk dihubungi semasa kecemasan. Jika anda mengesyaki dia mendera bayi anda, cuba letakkan kamera tersembunyi di rumah anda.
Terdapat kebaikan dan keburukan dengan setiap pilihan ini. Bagaimanapun, jangan lalai. Tanggungjawab membesarkan anak terletak pada bahu anda dan penglibatan ibu bapa sentiasa diperlukan.
Sumbangan daripada Persatuan Pediatrik Malaysia dan Persatuan Psikologi Klinikal Malaysia.
Komen