Pengasuhan Positif

Bersediakah Kita Hadapi Wabak Influenza?

Musim flu di Amerika Syarikat tahun ini yang terburuk sejak wabak H1N1 pada 2009 dahulu. Peratus kemasukan pesakit luar disebabkan penyakit seakan influenza (Influenza-like Illnesses, ILI) mencapai tahap ketiga tertinggi sejak 15 tahun lalu. Sejak Oktober 2017 hingga Mac 2018, lebih 100 kanak-kanak meninggal dunia kerana wabak ini. Sementara itu, sekolah-sekolah di Hong Kong ditutup seminggu awal sebelum cuti Tahun Baru Cina bagi mengawal sebaran wabak flu itu, kerana dua kematian kanak-kanak sudah tercatat.

Musim flu global

Di rantau beriklim sederhana, wabak bermusim biasanya berlaku pada musim sejuk. Strain paling prevalen di peringkat global pada musim ini adalah strain influenza A H3N2, selain daripada strain lain seperti H1N1 dan influenza B. Musim flu di Amerika Utara kali ini dilaporkan lebih serius, seperti musim flu di Australia tahun lepas. Di Eropah, terdapat peningkatan kematian melibatkan flu dalam kalangan warga emas. Di Asia Timur, strain B mendominasi rantau itu, manakala H3N2 juga menyumbang secara signifikan di sesetengah tempat. Di Hong Kong, wabak ini menyebabkan krisis di hospital dengan meningkatnya kes ILI. Katil-katil ditambah kerana pesakit yang dimasukkan melebihi kapasiti asal dan jururawat terpaksa bekerja lebih masa akibat kekurangan kakitangan.

Di Malaysia dan rantau tropika lain, influenza berlaku sepanjang tahun. Terdapat peningkatan laporan antara bulan April dan Julai, serta November dan Januari, kemungkinan akibat wabak flu musim sejuk di hemisfera utara dan selatan; pelancong dari rantau tersebut mungkin membawa penyakit ini masuk Malaysia. Flu juga sering disebut dalam media memandangkan ia bukanlah penyakit yang jarang berlaku di sini.

Bersediakah kita?

Krisis di HK membangkitkan kebimbangan berkenaan kesediaan kita menghadapi wabak flu. Semasa pandemik influenza pada tahun 1918, seramai 500 juta orang dijangkiti, mengakibatkan sekitar 50 juta kematian. Musim flu dianggap satu epidemik apabila jumlah kes flu lebih tinggi berbanding biasa. Sementara itu, pandemik flu berlaku apabila adanya jangkitan strain influenza baru yang meluas di seluruh dunia. Dengan 100 tahun pengalaman pascapandemik tahun 1918, kita mempunyai lebih banyak alatan dan pengetahuan untuk menghadapi wabak influenza, tetapi pandemik yang serius boleh memberi tekanan kepada sistem rawatan kesihatan.

Kerajaan perlu mempunyai pelan kecemasan pandemik yang terancang untuk menangani keperluan kakitangan, ubatan antiviral, dan infrastruktur seperti ventilator, katil dan beg intravena (IV). Orang awam juga harus dididik berkenaan pencegahan influenza, sama ada menerusi vaksinasi atau etika kesihatan asas seperti kebersihan tangan dan pemakaian penutup mulut dan hidung.

Komplikasi serius akibat flu

Flu mungkin kelihatan seperti selsema biasa, tetapi simptomnya boleh bertambah teruk dan boleh mengakibatkan komplikasi lebih parah, terutamanya dalam kalangan mereka yang berisiko tinggi seperti orang dewasa 65 tahun ke atas, kanak-kanak bawah 4 tahun, pesakit jantung atau paru-paru, pesakit dengan keimunan rendah, dan wanita mengandung. Komplikasi termasuklah pneumonia virus atau bakteria, dehidrasi, dan jangkitan telinga atau hidung, terutamanya dalam kalangan kanak-kanak. Penyakit jangka panjang, seperti kegagalan jantung kongestif atau asma, boleh bertambah buruk akibat flu. Komplikasi lain termasuklah radang jantung, otak, atau tisu otot, serta kegagalan pelbagai organ. Ini boleh mengakibatkan seseorang dimasukkan ke hospital, dan dalam kes tertentu, kematian. Kumpulan berisiko tinggi tidak patut mengabaikan sebarang gejala flu dan perlu merujuk kepada pakar kesihatan.

Pencegahan menerusi vaksinasi

Bagi mengawal penyebaran influenza, kadar vaksinasi yang tinggi dalam kalangan penduduk diperlukan. Program Imunisasi Kebangsaan tidak merangkumi vaksin flu, tetapi sesiapa berumur lebih 6 bulan disaran mendapatkan suntikan flu tahunan, terutamanya kumpulan berisiko tinggi. Vaksinasi tahunan diperlukan untuk perlindungan terbaik kerana virus flu sentiasa bermutasi, dan tindak balas imun badan daripada vaksinasi akan menurun mengikut masa, maka formulasi vaksin flu perlu sentiasa dikemaskini.

Langkah berjaga-jaga lain termasuklah mengamalkan etika kebersihan asas. Orang sakit harus tinggal di rumah, banyak berehat, dan minum banyak air. Pelancong yang akan ke negara dengan musim flu dicadangkan mendapatkan vaksinasi dua minggu sebelum bertolak untuk membolehkan keimunan terbentuk. Malah, mereka yang menghidap flu tidak patut keluar! Dalam kes pandemik, vaksin mungkin tidak didapati pada mulanya, tetapi vaksin khusus untuk strain baharu boleh dihasilkan dengan cepat dan mudah hari ini. Penyelesaian ideal semestinya untuk menghasilkan vaksin flu universal yang memberi perlindungan daripada semua atau hampir semua strain flu, dengan perlindungan yang bertahan lebih lama atau seumur hidup.

Wabak H1N1 yang melanda seluruh dunia meninggalkan impak pada Malaysia apabila lebih 12,000 kes dilaporkan. Kesannya mungkin lebih teruk jika bukan kerana Pelan Persediaan Pandemik Influenza Kebangsaan (NIPPP). Bagaimanapun, pandemik seterusnya mungkin lebih teruk. Lebih banyak kajian dan pengawasan terhadap prevalens flu perlu dijalankan di Malaysia untuk perancangan lebih baik, dan usaha untuk meningkatkan kesedaran pencegahan flu perlu diteruskan.

Sumbangan daripada Persatuan Pediatrik Malaysia.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen