Pengasuhan Positif

Obesiti: Pencegahan Awal Kunci Utama

Malaysia merupakan negara dengan kadar obesiti tertinggi di Asia Tenggara. Ini adalah berdasarkan laporan ‘Mencegah Obesiti di ASEAN’ 2017 oleh Unit Risikan Ekonomi, yang merangkumi Malaysia, Singapura, Indonesia, Thailand, Vietnam dan Filipina. Ini sepatutnya menjadi titik kesedaran agar rakyat Malaysia sedar bahawa berat badan berlebihan dan obesiti ialah masalah serius yang tidak boleh diambil mudah.

Orang ramai perlu sedar bahawa berat badan berlebihan dan obesiti mempunyai kesan serius kepada kesihatan. Ia boleh membawa kepada pelbagai penyakit tidak berjangkit (non-communicable diseases, NCD) seperti diabetes, kanser, dan penyakit jantung. Selain tubuh badan, kesihatan mental juga terjejas oleh masalah ini. Jika trend ini berterusan, negara kita mungkin menghadapi kerugian seperti peningkatan perbelanjaan kesihatan dan penurunan produktiviti kerja.

Berat badan berlebihan dan obesiti adalah masalah yang disebabkan oleh deposit lemak berlebihan dalam badan. Satu cara untuk mengenal pasti dan mengawal masalah ini adalah dengan mengukur indeks jisim tubuh (IJT). Penting untuk menjaga kesihatan bermula dari dalam kandungan dan sejak kecil.

Mengawal berat badan berlebihan dan obesiti

Obesiti dan berat badan berlebihan adalah keadaan di mana terdapat lebihan lemak terkumpul yang menjejaskan kesihatan. Pada asasnya, ia berlaku apabila berat seseorang lebih daripada berat yang ideal untuk ketinggiannya. Menentukan peratusan lemak badan secara tepat adalah sukar, jadi IJT sering digunakan sebagai satu petunjuk mudah untuk menganggar dan mengelaskan obesiti dalam kalangan dewasa dan kanak-kanak.

 

Bagaimanapun, penilaian IJT kanak-kanak sedikit berbeza berbanding orang dewasa. Memandangkan kadar pertumbuhan kanak-kanak berbeza mengikut umur, carta IJT-untuk-umur digunakan untuk menentukan pertumbuhan kanak-kanak berdasarkan piawaian pertumbuhan. Carta itu boleh dimuat turun daripada laman web Pengasuhan Positif di https://mypositiveparenting.org/. Semasa menilai IJT-untuk-umur anak anda, gunakan carta yang betul bagi umur dan jantina mereka. Pantau IJT anak anda secara berkala bagi memastikan pertumbuhan dan perkembangannya berada pada tahap sepatutnya dan ia akan membantu anda mengenal pasti tanda-tanda utama berat badan berlebihan.

Obesiti adalah keadaan kompleks yang disebabkan oleh pelbagai faktor. Ibu bapa harus sedar bahaya obesiti dan tidak menganggap kegemukan kanak-kanak sebagai sesuatu yang normal atau tidak berbahaya. Kajian menunjukkan kanak-kanak obes lebih cenderung menjadi obes apabila dewasa, malah meningkatkan risiko mereka untuk menghidap NCD pada masa depan. Bagaimanapun, mencegah obesiti adalah tidak mustahil.

Statistik bahaya

Obesiti sedang meningkat di seluruh dunia dan juga di Malaysia. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan kes obesiti sedunia meningkat 3 kali ganda sejak 1975. Menurut Dr Tee E Siong, Pakar Pemakanan dan Presiden Persatuan Pemakanan Malaysia, tinjauan di serata negara menunjukkan peningkatan prevalens obesiti dalam kalangan dewasa dan kanak-kanak. Hasil tiga tinjauan terbaru dalam kalangan kanak-kanak sekolah di negara ini melaporkan prevalens tinggi iaitu pada lebih kurang 30% mengalami berat badan berlebihan dan obesiti (rujuk jadual):

 

Menurut Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS), terdapat peningkatan tetap dalam prevalens obesiti dan berat badan berlebihan dalam kalangan dewasa di Malaysia. Data NHMS menunjukkan peningkatan mendadak pada akhir 1990-an. Dari 1996 sehingga 2015, terdapat peningkatan 1.5 kali ganda dalam kadar berat badan berlebihan dan yang lebih membimbangkan, peningkatan 3 kali ganda dalam kadar obesiti. “Jumlah ini berada pada tahap membimbangkan di mana hampir separuh populasi dewasa di Malaysia (47.7%) mengalami sama ada berat badan berlebihan atau obesiti,” tegas Dr Tee. Trend ini secara berperingkat akan membawa kepada peningkatan NCD seperti diabetes dan penyakit jantung dalam kalangan penduduk Malaysia jika tiada langkah serius diambil untuk menangani masalah ini. “Jumlah ini menunjukkan masih kurangnya kesedaran dalam masyarakat kita tentang bahaya obesiti. Apa yang lebih utama adalah mendidik masyarakat tentang langkah pencegahan awal untuk menyelesaikan punca masalah tersebut agar trend itu boleh dikawal,” tambahnya.

Punca masalah

Obesiti disebabkan oleh beberapa faktor risiko. Pemakanan yang tidak sihat adalah penyumbang utama peningkatan obesiti di Malaysia. “Kekayaan budaya makanan Malaysia adalah sesuatu yang patut dibanggakan, tetapi ia juga antara penyebab kedudukan obesiti kita yang tertinggi di Asia Tenggara jika kita tidak makan dengan berhati-hati,” kata Dr Tee. Beliau menyatakan pengambilan makanan dan minuman berlebihan yang tinggi kalori, gula, garam dan minyak, kerap makan lewat malam, atau pengambilan snek yang kurang berkhasiat adalah antara contoh tabiat pemakanan yang menyumbang kepada obesiti. Faktor lain termasuklah kekurangan aktiviti fizikal dan senaman. Kanak-kanak kini kurang menghabiskan masa bermain di luar, kerana lebih banyak masa dihabiskan dengan aktiviti sedentari seperti menonton TV, bermain permainan video, dan melayari media sosial. Pemakanan tidak sihat dan gaya hidup tidak aktif akan menyebabkan kalori dan berat badan berlebihan.

Selain itu, faktor keluarga juga menyebabkan obesiti. Disposisi genetik dan ahli keluarga dengan masalah berat badan meningkatkan kemungkinan kanak-kanak mengalami berat badan berlebihan. Kelakuan keluarga seperti tabiat makan dan aktiviti fizikal juga berperanan dalam masalah ini. Begitu juga faktor psikologi seperti tekanan, kegelisahan, atau kemurungan akibat masalah peribadi boleh menyebabkan kanak-kanak dan orang dewasa makan secara berlebihan dan makan banyak makanan tidak sihat, lalu meningkatkan risiko obesiti. Sementara itu, walaupun faktor sosioekonomi tidak begitu ketara berbanding faktor lain, namun prevalens obesiti di kalangan demografik tertentu boleh dikaitkan dengan faktor seperti sumber dan akses kepada makanan sihat yang terhad dan kekurangan masa dan ruang yang selamat untuk melakukan aktiviti fizikal.

Ancaman kesihatan

Kombinasi faktor risiko ini membawa kepada berat badan berlebihan dan obesiti, lalu menyebabkan pelbagai komplikasi dan kesan buruk terhadap individu. Menurut Datuk Dr Zulkifli Ismail, Setiausaha Agung Persatuan Pediatrik Asia Pasifik, obesiti adalah salah satu faktor risiko metabolik utama bagi NCD (diabetes, kanser, dan penyakit kardiovaskular). Kanak-kanak obes berkemungkinan besar menghidap tekanan darah dan kolestrol tinggi, yang membawa kepada strok dan penyakit kardiovaskular lain pada masa depan. Obesiti juga meningkatkan risiko masalah toleransi glukosa, ketahanan insulin dan diabetes jenis 2. Komplikasi kesihatan lain juga boleh timbul, seperti masalah pernafasan (contoh, asma dan apnea tidur), dan masalah penyakit sendi seperti osteoartritis.

Statistik NCD dan faktor risiko berkaitan sudah menunjukkan akibat masalah berat badan. Data NHMS menunjukkan prevalens yang meningkat dua kali ganda bagi diabetes, iaitu daripada 8.3% pada 1996 kepada 17.5% pada 2015.

Statistik ini juga menunjukkan peningkatan lebih dua kali ganda bagi masalah kandungan kolestrol tinggi dalam darah, daripada 20.7% (2006) kepada 47.7% (2015). Prevalens tekanan darah tinggi pula kekal tinggi iaitu 30% dalam tempoh yang sama. Faktor risiko NCD seperti tekanan darah tinggi, serta kandungan gula dan kolesterol dalam darah yang tinggi berkait rapat dengan berat badan berlebihan dan obesiti. Kesemuanya jelas meningkatkan jumlah pesakit NCD dan menyebabkan kesan buruk kepada masyarakat.

“Obesiti menyebabkan pelbagai kesan psikologi dan sosial, terutamanya bagi kanak-kanak, kerana mereka lebih sensitif,” kata Datuk Dr Zulkifli. Obesiti boleh menyebabkan kanak-kanak kurang keyakinan diri, mengalami imej badan negatif, kegelisahan, dan kemurungan. Kanak-kanak obes juga menghadapi masalah di sekolah dan dengan rakan-rakan. Mereka mungkin diejek dan dibuli kerana saiz mereka, mempunyai prestasi akademik dan kemahiran sosial yang kurang memuaskan, serta mudah letih dalam kelas. Oleh kerana saiz mereka yang besar, kanak-kanak obes juga boleh membuli rakan-rakannya yang lain.

Mencegah sejak awal

Oleh kerana obesiti boleh menyebabkan kesan negatif yang berpanjangan, langkah awal perlu diambil untuk mencegahnya. Bak kata pepatah, “mencegah adalah lebih baik daripada mengubati.” Pencegahan obesiti patut dimulakan seawal kehamilan dan berterusan sehingga tumbesaran awal kanak-kanak. Seluruh keluarga berperanan penting dalam memupuk tabiat sihat dan persekitaran rumah yang kondusif untuk memastikan perkembangan kanak-kanak yang baik.

Bagaimanakah obesiti boleh dicegah sejak dalam kandungan ibu? Dr H Krishna Kumar, mantan Presiden Persatuan Obstetrik dan Ginekologi Malaysia, memberitahu bahawa tabiat ibu ketika hamil boleh memberi kesan kepada berat badan bayi semasa lahir, serta risiko bayi untuk menjadi obes. Tanpa mengira genetik ibu dan berat badan ibu sebelum hamil, peningkatan berat badan ibu semasa mengandung boleh menaikkan berat badan bayi ketika lahir, dan seterusnya menambah risiko bayi untuk mengalami berat badan berlebihan dan obesiti semasa membesar. “Ibu sering beranggapan mereka perlu makan lebih untuk dirinya dan juga bayi. Benar, mendapatkan nutrisi mencukupi penting untuk kesihatan ibu dan bayi tetapi ia bukan alasan untuk anda makan berlebihan sehingga makan untuk dua orang. Sepatutnya, anda lebih menjaga pemakanan anda dan mengambil hidangan lebih sihat,” jelas Dr Krishna.

Selain itu, wanita obes atau mempunyai sejarah diabetes dalam keluarga boleh mendapat diabetes gestasi, iaitu keadaan paras glukosa darah tinggi semasa hamil yang pulih selepas bayi lahir. Ada kajian menunjukkan yang bayi mereka lebih cenderung untuk menjadi obes serta mendapat diabetes atau NCD lain di masa depan. Oleh itu, wanita obes dinasihatkan untuk mengurangkan berat badan mereka sebelum cuba hamil, sebagai langkah mencegah diabetes gestasi.

Peningkatan berat badan yang dicadangkan untuk ibu mengandung

Wanita mengandung dengan IJT pra-mengandung yang berbeza mempunyai had kenaikan berat gestasi berbeza. Peningkatan berat badan yang dicadangkan adalah seperti berikut:

Banyak kajian cuba mencari kaitan antara keadaan kehamilan dan tumbesaran awal kanak-kanak, dan bagaimana ia boleh memberi kesan terhadap kecenderungan mendapat NCD dan masalah kesihatan lain. Kajian ini dikategorikan di bawah satu bidang perubatan baru iaitu Asal Usul Perkembangan Kesihatan dan Penyakit (DOHaD). DOHaD menumpukan kepada persekitaran semasa perkembangan awal manusia, termasuklah interaksi antara faktor persekitaran dan genetik, yang boleh mempengaruhi kesihatan dan risiko penyakit. Bagi manusia, 1000 hari pertama kehidupan kanak-kanak adalah tempoh kritikal untuk perkembangan mental dan fizikal. Dalam bidang DOHaD, tempoh 1000 hari bermula pada hari persenyawaan (Hari 0), berterusan sepanjang kehamilan (Hari ke-270), dan sehinggalah hari ulang tahun kedua (Hari ke-1000).

Tegas Dr Tee, “Semasa tempoh 1000 hari itu, menyediakan nutrien yang tepat dan mencukupi penting untuk memastikan kesihatan dan kesejahteraan kanak-kanak pada masa hadapan.” Selain memastikan tabiat pemakanan sihat untuk wanita mengandung, bayi bawah dua tahun juga perlu diberikan jumlah makro dan mikronutrien yang sepatutnya. Bayi patut diberikan susu badan secara eksklusif sejak lahir sehingga berumur enam bulan dan ibu yang menyusukan harus menjaga pemakanannya agar mengandungi nutrien penting untuk memastikan susu badan yang dihasilkan adalah berkhasiat. Pemakanan yang mencukupi juga berperanan penting dalam pemberian makanan pelengkap, iaitu ketika bayi mencecah 6 bulan. Dari umur setahun sehingga dua tahun, ibu bapa harus terus memastikan anak mereka mendapat keperluan nutrien yang secukupnya.

Amalan pemakanan yang tidak baik dalam tempoh 1000 hari itu boleh menyebabkan malpemakanan: kekurangan atau berlebihan nutrien. Kanak-kanak kekurangan nutrien lebih mudah menghidap penyakit kronik, mempunyai tumbesaran dan perkembangan lemah, dan mempunyai perkembangan kelakuan dan kognitif yang terbantut, yang menyukarkan proses pembelajaran pada masa depan. Selain itu, kanak-kanak berlebihan nutrien pula akan mengalami berat badan berlebihan dan obesiti, meningkatkan risiko berat badan berlebihan dan obesiti semasa dewasa. Ini akan meningkatkan risiko mereka menghidap diabetes, kanser, dan penyakit jantung.

Pendekatan holistik untuk pencegahan

Pencegahan obesiti harus bermula dengan mendidik dan mewujudkan kesedaran dalam kalangan ibu bapa. Pemakanan berperanan penting dalam pencegahan obesiti. “Mengamalkan pemakanan sihat dan berkhasiat adalah pendekatan penting dalam menangani obesiti,” tegas Dr Tee. Garis panduan umum dalam mengamalkan pemakanan sihat adalah dengan mengambil pelbagai makanan daripada kumpulan makanan utama secara seimbang dan dalam kuantiti yang sederhana. Kurangkan gula, garam, minyak dan lemak serta ambil lebih buah-buahan dan sayur-sayuran dalam hidangan. Sebaiknya pilihlah bijirin penuh. Ibu bapa harus prihatin dengan pengambilan makanan ahli keluarga untuk mencegah masalah berat badan. Jika anda rasa anak anda mempunyai berat badan berlebihan dan tidak pasti apa tindakan seterusnya, artikel pada muka surat 32 menjelaskan cara untuk anda bertindak.

Persekitaran rumah dan tabiat keluarga juga merupakan elemen penting dalam pencegahan obesiti. Kanak-kanak banyak meluangkan masa mereka di rumah, dan keluarga mempunyai pengaruh besar pada perkembangan kanak-kanak,” jelas Datuk Dr Zulkifli. Untuk sebuah keluarga yang sihat, ibu bapa harus menjadi tauladan dan mereka sendiri harus mengamalkan gaya hidup sihat. Tabiat dan kelakuan ibu bapa akan diikuti oleh anak, kerana ibu bapa adalah guru pertama mereka. Untuk hidangan keluarga, banyakkan memasak di rumah menggunakan bahan segar dan berkhasiat dengan cara memasak yang lebih sihat seperti mengukus. Ambil kira keperluan nutrisi kanak kanak semasa membeli barang rumah. Pengambilan makanan segera dan snek kurang sihat (dengan kandungan lemak, minyak, gula, dan garam yang tinggi) harus dikurangkan atau dielakkan sama sekali.

Keluarga patut menghabiskan lebih banyak masa melakukan aktiviti fizikal seperti berjoging, berbasikal, atau mendaki bukit bersama-sama. Menyertai sukan seperti badminton atau bola sepak amat digalakkan. Sekurang-kurangnya 60 minit aktiviti fizikal, yang boleh dilakukan dalam beberapa sesi, perlu dilakukan setiap hari. Kurangkan aktiviti sedentari seperti menonton TV dan bermain dengan peranti. Amalkan amalan tidur yang baik dengan tidur awal pada waktu yang tetap. Memupuk tabiat sihat dalam keluarga penting untuk mencegah masalah berat badan berlebihan dan obesiti. Jika anda perlukan idea agar keluarga anda lebih aktif, dapatkan maklumat lanjut di muka surat 39.

Terdapat pelbagai cara lain untuk menjadi keluarga sihat dan menangani obesiti. Ingatlah, pencegahan obesiti harus bermula dari rumah dan seawal mungkin. Sebuah keluarga yang sihat akan melahirkan anak yang sihat.

Bersama Dr Tee E Siong, Pakar Pemakanan dan Presiden Persatuan Pemakanan Malaysia; Datuk Dr Zulkifli Ismail, Setiausaha Agung, Persatuan Pediatrik Asia Pasifik; Dr H Krishna Kumar, Pakar Obstetrik & Ginekologi dan Mantan Presiden Persatuan Obstetrik dan Ginekologi Malaysia.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen