Pengasuhan Positif

Meningkatkan Kesuburan

Kadar kesuburan rakyat Malaysia pada 2016 adalah paling rendah pernah dicatat, menurut laporan Vital Statistics Malaysia 2017. Kadar kesuburan terkini setiap wanita berumur 15-49 tahun adalah 1.9 bayi, iaitu penurunan daripada 2.0 bayi pada 2015.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan lebih 10% wanita gagal mengandung walaupun dalam hubungan stabil selama lima tahun atau lebih. Masalah kemandulan ini dialami oleh lelaki dan wanita. Umumnya, kemandulan ditakrifkan sebagai ketidakmampuan untuk hamil selepas setahun atau lebih berhubungan kelamin tanpa perlindungan. Jadi, bagaimanakah anda dan pasangan meningkatkan peluang menimang cahaya mata?

7 cara meningkatkan kesuburan

Pelbagai faktor boleh menyumbang kepada kesuburan lelaki dan wanita. Berikut adalah beberapa langkah yang boleh diambil untuk meningkatkan kesuburan.

1. Jaga Berat Badan Anda

Berlebihan atau kekurangan berat badan boleh mempengaruhi kesuburan anda. Bagi wanita, kandungan lemak dalam badan boleh mempengaruhi kitaran haid. Wanita berlebihan atau kekurangan berat badan mungkin mempunyai kitaran haid yang tidak menentu dan kurang berovulasi, sekaligus merendahkan peluang mereka untuk hamil. Lelaki berlebihan atau kekurangan berat badan cenderung mempunyai kepekatan sperma rendah, manakala lelaki obes pula dikaitkan dengan mati pucuk. Jadi, pastikan Indeks Jisim Tubuh anda pada tahap normal semasa mencuba untuk hamil. Amalkan gaya hidup sihat dengan menjaga pemakanan dan bersenam selalu.

2. Fikir Sebelum Minum

Terlalu banyak pengambilan kafein atau alkohol boleh menjejaskan kesuburan anda. Bagi lelaki, nafsu dan kualiti sperma mereka akan berkurang, manakala untuk wanita, pengambilan alkohol berlebihan menyebabkan peluang untuk hamil tipis dan mungkin mengambil masa lebih lama untuk hamil. Pengambilan kafein berlebihan (>500 mg sehari) boleh membawa kesan negatif kepada tahap kesuburan wanita. Satu kajian mendapati wanita yang meminum 4-7 cawan kopi setiap hari mempunyai hampir 80% peluang lebih tinggi untuk keguguran kandungan. Hadkan pengambilan alkohol dan kopi apabila sedang cuba hamil, dan berhenti meminumnya serta-merta apabila mengandung.

3. Berhenti Merokok

Lelaki yang merokok didapati mempunyai kualiti sperma dan kapasiti persenyawaan yang lebih rendah. Bagi wanita, merokok menyebabkan kerosakan telur, lalu menjejaskan proses persenyawaan dan penempelan. Satu kajian menunjukkan wanita yang kurang merokok (0-10 batang sehari) mempunyai kadar kehamilan yang lebih tinggi (52.2%) berbanding wanita yang lebih banyak merokok (34.1%). Merokok semasa mengandung turut membahayakan bayi dalam kandungan. Berhenti merokok jika anda hamil.

4. Ketahui Tingkap Kesuburan

Ambil tahu tentang kitaran haid dan ‘tingkap kesuburan’ anda. Ovulasi biasanya berlaku pada hari ke-14 dalam kitaran anda, dan tingkap kesuburan adalah hari ovulasi dan 4-5 hari sebelumnya. Ini boleh diguna pakai jika anda mempunyai kitaran haid yang teratur iaitu 21 hingga 35 hari. Tingkap kesuburan anda boleh ditentukan dengan kit ramalan ovulasi yang dijual di farmasi atau dengan mencatat perubahan harian pada suhu badan asas. Anda boleh meningkatkan peluang hamil dengan mengadakan hubungan kelamin secara kerap pada waktu tingkap kesuburan.

5. Perhubungan Intim Berterusan

Apabila sedang berusaha mendapatkan bayi, anda patut lebih banyak melakukan hubungan seks, malah hubungan kelamin yang berterusan boleh memulihkan kitaran haid dan hormon. Hubungan intim yang kerap meningkatkan kualiti sperma lelaki, menangguh hubungan kelamin pula membawa kesan sebaliknya. Namun, cuba untuk tidak menjadikannya satu tugasan dan meletakkan tekanan ke atas pasangan dan diri anda sendiri.

6. Gunakan Pelincir Sesuai

Pelincir berguna apabila anda kerap melakukan hubungan seks, tetapi pilihan pelincir boleh memberi kesan kepada pergerakan dan fungsi sperma. Pastikan pelincir tidak mempunyai sebarang agen spermisid. Jangan gunakan pelincir komersial berasaskan air kerana ia boleh membantutkan pergerakan sperma. Sesetengah pelincir semula jadi juga tidak sesuai, seperti air liur dan minyak zaitun. Anda boleh mendapatkan pelincir yang mesra sperma di farmasi.

7. Carilah Ketenangan

Tekanan dan kemurungan juga boleh menyebabkan kemandulan. Tekanan boleh menjejaskan kualiti sperma lelaki dan mengurangkan peluang mengandung untuk wanita. Tekanan juga menyebabkan kitaran haid yang tidak teratur, sekaligus menjejaskan peluang hamil. Mekanisme bagaimana tekanan boleh menjejaskan kesuburan masih tidak jelas tetapi kajian telah menunjukan terdapat hubungan antara tekanan dan kemandulan. Kawal tekanan anda menerusi kaedah penenangan atau dapatkan sokongan daripada pakar kesihatan mental.

Mitos vs Fakta

Sesetengah makanan seperti soya atau nanas didakwa mempunyai kesan negatif kepada kesuburan tetapi tiada bukti kukuh menunjukkan memakan sesuatu makanan akan memberi kesan negatif atau positif pada kesuburan.

Banyak lagi cara untuk meningkatkan kesuburan dan menambah peluang menimang cahaya mata dengan pasangan anda. Perkara penting adalah untuk kekal positif, percaya kepada pasangan dan teruskan mencuba. Petua ini adalah untuk mengoptimumkan peluang anda, tetapi petua berbeza mempunyai tahap kejayaan berbeza. Jika anda tidak mampu hamil atau mengandung walaupun selepas setahun melakukan hubungan seks tanpa perlindungan, sebaiknya anda dan pasangan mendapatkan nasihat pakar kesuburan untuk memeriksa jika terdapat masalah kesuburan.

Dengan kerjasama Persatuan Obstetrik dan Ginekologi Malaysia.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen