Pengasuhan Positif

Tekanan Darah Tinggi Ketika Hamil

Salah satu masalah perubatan paling lazim ketika hamil ialah tekanan darah tinggi atau hipertensi. Gangguan hipertensif kehamilan atau hypertensive disorders of pregnancy (HDP) merupakan antara punca utama kematian perinatal dan maternal di seluruh dunia.

Terdapat empat penyakit yang diklasifikasikan di bawah HDP.

Praeklampsia-eklampsia: Praeklampsia terjadi apabila hipertensi dikesan selepas 20 minggu kehamilan, diiringi proteinuria (protein berlebihan di dalam kencing) atau lain-lain tanda kerosakan organ multisistemik. Praeklampsia boleh melarat kepada eklampsia, iaitu serangan sawan atau fasa konvulsif gangguan ini dan boleh mengakibatkan komplikasi teruk, termasuk kematian.

Hipertensi kronik: Masalah hipertensi yang sedia ada sebelum hamil atau yang dikesan sebelum minggu 20 kehamilan diklasifikasikan sebagai hipertensi kronik.

Hipertensi kronik bertindih dengan praeklampsia: Wanita yang menghidap hipertensi yang sedia ada lebih berkemungkinan didiagnos menghidap praeklampsia. Dalam keadaan ini, tekanan darah akan menjadi lebih teruk dan tanda-tanda praeklampsia akan muncul semasa kehamilan.

Hipertensi gestasi: Masalah ini terjadi apabila hipertensi dikesan selepas 20 minggu kehamilan, tetapi tiada tanda-tanda lain berkaitan praeklampsia seperti proteinuria.

Siapa yang berisiko?

Ada pelbagai jenis kehamilan di mana anda paling berisiko mendapat HDP, seperti kehamilan pertama, apabila hamil dengan lebih dari satu kandungan, atau jika anda berumur lebih 40 tahun. Risiko juga tinggi jika anda obes sebelum kehamilan, ada ibu atau adik-beradik yang pernah mendapat HDP, pernah mendapat HDP sendiri, atau menghidap diabetes, penyakit ginjal, artritis reumatoid, lupus, atau skleroderma.

Simptom-simptom HDP

Hipertensi kronik yang sedia ada mungkin sukar dikesan kecuali melalui pengawasan tekanan darah anda, tetapi terdapat beberapa simptom lain untuk praeklampsia.

Di rumah

  • Sakit kepala yang teruk
  • Sakit di tengah atau sebelah kanan, lazimnya di bahagian sebelah kiri tulang rusuk
  • Penglihatan kabur, hilang penglihatan sementara, atau sensitif pada cahaya
  • Mual atau muntah-muntah yang teruk
  • Sukar bernafas
  • Bengkak kaki atau tangan yang teruk
  • Kurang air kencing

Di klinik

  • Bacaan tekanan darah 140/90 mm Hg, diambil dua kali, dalam masa sekurang-kurangnya 4 jam
  • Proteinuria atau tanda-tanda lain masalah buah pinggang
  • Sindrom HELLP (hemolisis, paras enzim hati meningkat, atau kiraan platelet rendah)

Kemungkinan komplikasi

  • Pengurangan aliran darah ke uri (placenta), mengakibatkan pertumbuhan terbantut, kurang berat lahir, atau kelahiran pramatang
  • Uri lekang, yang boleh mengakibatkan pendarahan yang banyak
  • Kelahiran pramatang mungkin perlu dilakukan untuk mencegah komplikasi yang mengancam nyawa
  • Penyakit kardiovaskular di masa akan datang

Mengendalikan HDP

Doktor anda mungkin mengarahkan beberapa cara untuk mengendalikan hipertensi anda mengikut jenis HDP. Sila rujuk kepada doktor sebelum mengambil sebarang langkah untuk mengatasi keadaan anda.

Pemeriksaan pranatal secara tetap: Setelah didiagnos menghidap HDP, adalah penting anda mendapat nasihat doktor secara tetap dan berjadual untuk mengawasi simptom HDP dan sebarang komplikasi. Berat badan dan tekanan darah anda akan diambil, dan ujian darah serta air kencing yang kerap akan dijalankan. Ini juga akan mengesahkan keadaan anda agar rawatan dan penjagaan yang sempurna dapat diberi, memandangkan terdapat kemungkinan terjadinya praeklampsia walaupun pada diagnosis awalnya ialah hipertensi gestasi.

Ubat-ubatan yang betul: Sekiranya anda memang sudah menghidap hipertensi, anda perlu mendapat nasihat doktor untuk memastikan ubat-ubatan anda selamat untuk kehamilan. Beberapa ubat hipertensi, seperti angiotensin-converting enzyme (ACE) inhibitors, angiotensin II receptor blockers, dan renin inhibitors, mungkin tidak sesuai untuk wanita hamil. Jangan tukar atau berhenti mengambil ubat anda tanpa merujuk kepada doktor. Juga dapatkan nasihat doktor anda mengenai ubat yang boleh dibeli di kaunter untuk masalah kesihatan yang lain.

Langkah pencegahan: Wanita yang beriko tinggi juga disaran untuk mengambil aspirin dos rendah atau suplemen kalsium karbonat (CaCO3) sebagai langkah pencegahan bagi praeklampsia dan HDP. Untuk mencegah sawan eklampsia dan uri lekang pada wanita yang disahkan menghidap praeklampsia, magnesium sulfat boleh diberi. Langkah pencegahan ini harus diambil setelah disaran dan diarahkan oleh doktor anda.

Diet sempurna dan sihat: Kawal pengambilan gula, garam dan lemak anda. Tingkatkan pengambilan buah dan sayur dalam diet untuk membekalkan nutrien yang mencukupi untuk anda dan bayi anda. Minum air secukupnya. Lazimnya, anda perlu mengurangkan pengambilan garam untuk mengawal hipertensi, tetapi wanita hamil perlukan garam yang cukup. Ikut nasihat doktor anda mengenai perkara ini.

Gaya hidup sihat: Wanita yang berlebihan berat badan dan menghidap hipertensi dinasihatkan untuk menurunkan berat badan sebelum hamil. Apabila hamil, anda dinasihatkan untuk mengawasi berat badan dan cuba untuk tidak bertambah berat badan terlalu banyak. Anda juga perlu mengelak daripada merokok, minum alkohol, dan dadah. Bahan-bahan tersebut boleh memburukkan lagi tekanan darah dan menyumbang kepada pelbagai masalah kesihatan yang boleh memudaratkan anda dan bayi anda. Kekal aktif dengan selalu melakukan senaman yang sesuai bagi wanita hamil seperti berjalan pantas atau berkebun. Walau bagaimanapun, berhati-hati agar tidak memaksa diri dan ambil berat tentang kehamilan anda.

Tekanan darah tinggi semasa hamil adalah masalah yang berleluasa, terutama di negara seperti Malaysia di mana terdapat ramai penduduk yang menghidap hipertensi. Maka, adalah amat penting untuk mengetahui cara untuk mengendalikan keadaan anda. Langkah paling penting ialah mengekalkan jadual pemeriksaan pranatal yang tetap dengan doktor anda dan sentiasa mengawasi tekanan darah. Langkah-langkah lain yang disebutkan harus juga diambil untuk mengawal tekanan darah dan memelihara kesihatan anda dan bayi anda.

Dengan kerjasama Persatuan Obstetrik dan Ginekologi Malaysia.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen