Pengasuhan Positif

Tabiat Ibu Bapa Boleh Mempengaruhi Anak Secara Negatif

Pernahkah anda mendengar anak anda mengeluarkan kata-kata kesat atau berbohong, dan terfikir, “Daripada mana dia belajar?” Satu teori yang dikenali sebagai Teori Pembelajaran Sosial yang dihasilkan dan ditulis oleh Albert Bandura, seorang pakar psikologi, menyatakan bahawa pembelajaran dipengaruhi oleh faktor psikologi dan rangsangan persekitaran. Ini bermakna kanak-kanak belajar dan membina sesuatu tabiat dengan memerhati persekitarannya.

Bak kata pepatah, ‘bagaimana acuan begitulah kuihnya’. Kanak-kanak biasanya belajar dengan meniru tingkah-laku orang di sekelilingnya, terutama ibu bapa, tanpa dapat membezakan sama ada tingkah laku tersebut baik atau buruk. Anda boleh memberitahu anak anda berulang kali supaya mengikut arahan anda, dan bukan tindakan anda, tetapi perkara sebaliknya yang akan berlaku. Kanak-kanak cenderung untuk mengingati mesej bukan lisan berbanding arahan lisan.

Kanak-kanak mencontohi tingkah-laku buruk anda

Tanpa menyedari bahawa anak anda belajar dengan memerhati tingkah laku anda, anda secara tidak langsung dan tidak sengaja boleh menjadi contoh buruk bagi mereka. Tabiat buruk, pilihan gaya hidup yang tidak baik, atau isu kesihatan mental boleh mempengaruhi anak anda secara negatif. Sebagai ibu bapa, kita selalu buta dengan tabiat buruk kita sendiri, jadi kita mungkin perlu berbincang dengan pasangan kita mengenainya. Perlu diingatkan bahawa kita hendaklah bersikap positif dalam menanganinya supaya kita dapat mengenalpasti dan mengubah tabiat buruk, dan tidak mengambil jalan mudah dengan menyalahkan satu sama lain.

Ketidakjujuran: Terdapat banyak sebab mengapa orang dewasa atau kanak-kanak berbohong. Mereka mungkin mahu lari daripada masalah, melindungi seseorang atau membuatnya kagum, atau alasan-alasan lain. Ibu bapa mungkin berbohong kepada anak-anak supaya mereka berkelakuan baik atau untuk menjaga hati mereka. Walau bagaimanapun, jika anda melakukannya secara berterusan, anda secara tidak langsung akan mengajar anak anda bahawa berbohong merupakan satu perkara yang biasa. Kanak-kanak boleh mengetahui jika ibu bapa mereka menipu, apabila mereka mendapati kenyataan sebenar berbeza daripada apa yang anda beritahu kepada mereka. Penipuan yang berniat baik juga boleh mengajar anak anda bahawa penipuan bukanlah sesuatu yang buruk. Kita perlu mengajar anak-anak kita bahawa mereka tidak perlu berbohong semata-mata untuk bersikap sopan atau dengan niat baik.

Mengeluarkan kata-kata kesat: Walaupun anda tidak mengeluarkan kata-kata kesat kepada anak anda, terdapat masa-masa di mana anda ingin memarahi atau mengeluarkan kata-kata kesat kepada seseorang yang bersikap kurang ajar dengan anda. Ini mungkin juga merupakan tabiat yang tidak disengajakan, di mana anda secara tidak sedar mengeluarkan kata-kata kesat apabila anda terkejut, contohnya ketika anda mendengar bunyi guruh. Tidak kira apa pun keadaannya, kanak-kanak sangat mudah terpengaruh dengan kata-kata kesat, meskipun mereka tidak memahami maksud perkataan itu. Mereka akan beranggapan bahawa perkataan itu merupakan satu perkataan yang menarik, atau cuba untuk menarik perhatian anda dengan menyebutnya, dan hanya akan memahami maksudnya apabila mereka besar kelak. Tabiat mengeluarkan kata-kata kesat pastinya akan mempengaruhi kanak-kanak dan lama-kelamaan akan sebati dalam diri mereka.

Masalah kemarahan/agresif: Dalam kajian ‘Patung Bobo’ yang dijalankan oleh Bandura, kanak-kanak yang melihat orang dewasa berkelakuan agresif atau baik terhadap patung didapati meniru dan melakonkan semula aksi yang dilihatnya. Kanak-kanak yang menyaksikan ibu-bapa mereka bertindak secara agresif juga didapati lebih berkemungkinan mempunyai masalah kemarahan/sikap agresif. Mereka mungkin berpendapat bahawa menjadi agresif dan marah boleh menyelesaikan masalah. Apabila mereka telah merasa adrenalin atau ‘kuasa’ yang datang dari kelakuan ini, ia boleh menjadi tabiat.

Tidak aktif: Ibu bapa sentiasa menyuruh anak mereka supaya menjadi aktif. Namun, pada masa yang sama, ibu bapa hendaklah mempertimbangkan sama ada mereka telah menjadi contoh tauladan yang baik bagi anak mereka. Ibu bapa yang tidak aktif atau malas lebih cenderung untuk tidak membawa anak mereka melakukan sebarang aktiviti rekreasi dan seterusnya, tidak dapat menggalakkan anak mereka supaya menjadi lebih aktif. Kanak-kanak akan bersemangat untuk melakukan aktiviti fizikal jika kedua-dua ibu bapa mereka juga aktif.

Penggunaan alkohol/rokok/dadah: Kanak-kanak dengan ibu bapa yang menggunakan alkohol, dadah, atau rokok lebih cenderung untuk mula menggunakan bahan tersebut. Melihat ibu bapa menggunakan alkohol atau rokok sebagai cara untuk menangani tekanan akan mengajar kanak-kanak bahawa bahan-bahan tersebut perlu untuk mengatasi masalah dalam hidup. Idea ini berbahaya dan boleh menyebabkan kanak-kanak menyalahgunakannya.

Ketagihan peranti/internet: Pada masa kini, anak-anak kecil juga telah diberi peranti sebagai alat untuk mengalih perhatian mereka supaya tidak berkelakuan buruk. Sesetengah ibu bapa berbuat demikian supaya mereka boleh menghadap peranti mereka sendiri. Apabila kanak-kanak meningkat dewasa, ibu bapa mungkin mahu mengehadkan penggunaan peranti, permainan video, atau media sosial. Bagaimanapun, ibu bapa yang turut sama ketagih dengan media sosial tidak mampu untuk meyakinkan dan menasihati anak mereka supaya mengawal penggunaan peranti.

Kebimbangan: Perasaan bimbang disebabkan peperiksaan akan datang atau tarikh akhir sesuatu projek adalah normal, namun ada tahapnya kebimbangan anda jadi keterlaluan. Ibu-bapa yang mempunyai masalah kebimbangan, yang sentiasa risau secara berlebihan akan memberi tanggapan bahawa dunia ini tidak selamat. Kesannya, anak-anak akan membesar dengan pandangan negatif terhadap dunia dan mereka sendiri boleh mendapat masalah kebimbangan.

Kemurungan: Kemurungan boleh disebabkan oleh beberapa perkara. Diabaikan ketika kecil juga merupakan salah satu penyebabnya. Ibu-bapa yang mengalami kemurungan bersikap dingin terhadap anak mereka, dan tidak sedar bahawa mereka mengabaikan anak-anak. Perkembangan emosi anak anak yang tidak mendapat kasih sayang dan perhatian daripada ibu bapa yang mengalami kemurungan ini akan dipengaruhi secara negatif. Ini boleh menjadi satu kitaran buruk jika masalah ini tidak diselesaikan.

Satu saranan positif yang boleh diamalkan adalah untuk bermuhasabah dengan tingkah laku anda, berbincang dengan pasangan, dan lihat jika anda mempunyai sebarang tabiat buruk yang dinyatakan di atas. Tabiat ini mungkin tidak kelihatan teruk dari pandangan anda, tetapi dapat memberi kesan negatif kepada perkembangan dan tingkah laku anak-anak. Selepas mengenalpasti masalah, anda perlu berazam untuk menyelesaikannya dan cuba untuk mendapatkan bantuan daripada sumber yang sepatutnya. Sentiasa berwaspada, kerana anak-anak sangat mudah dipengaruhi oleh tingkah laku anda, dan fikir terlebih dahulu sebelum melakukan atau mengucapkan sesuatu yang tidak baik di hadapan mereka.

Dengan kerjasama Persatuan Kesihatan Mental Malaysia.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen